Saturday, November 15, 2014

Cara betul nikmati minuman teh


Teh Nutrima keluaran MARDI merupakan teh yang berkualiti tinggi.


Menunya mudah, hanya minuman teh yang dihidangkan bersama skon (makanan ala-ala kek dan roti yang diperbuat daripada susu serta tepung gandum yang dijadikan menu petang ala Inggeris) bersalut jem strawberi, namun ia mampu membangkitkan selera.
Selain rasa yang menyegarkan, menikmati teh di puncak pusat pelancongan tanah tinggi di Cameron Highlands, Pahang itu sambil dikelilingi pemandangan hijau dan keindahan flora, sudah pasti memberikan kedamaian.Apatah lagi, iklimnya yang dingin dengan suhu nyaman sepanjang tahun antara 14 hingga 24 darjah Celsius berdasarkan kepada kedudukannya yang berada di ke­tinggian 1,400 dari paras laut.
Ia turut menaikkan perisa minuman itu dan diakui sekumpulan media yang membuat liputan di Taman Agroteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini.
“Teh di sini berkualiti tinggi, rasanya asli dan kaya dengan khasiat tersendiri. Umum sedia maklum bahawa terdapat pelbagai jenis teh seperti teh hitam (pilihan ramai), teh hijau, oolong (sejenis teh tradisional negara China), yang mempunyai
ba­nyak khasiat.
“Bagaimanapun, hampir sebahagian besar masyarakat mengamalkan cara penyediaan dan minum teh yang salah,” kata Pembantu Penyelidik Kanan MARDI, Mohd. Noor Bahauddin.
Kesilapan amalan itu menyebabkan khasiat yang terkandung dalam teh tidak dapat diperoleh secara 100 peratus. Lebih menyedihkan, apabila amalan tidak betul itu menghapuskan atau menghilangkan terus khasiat teh tersebut.
Kajian
Walhal, teh yang menjadi sebahagian amalan seharian manusia hari ini sudah diakui di beberapa negara sebagai antara minuman berkhasiat untuk kesihatan tubuh badan.
Dipetik daripada kajian seorang pakar dari University of Illinois, masalah gigi berlubang dan jangkitan gusi boleh dielakkan sekiranya mengamalkan meminum teh dengan cara betul.
Kandungan polyphenols di dalam­nya boleh mengurangkan bakteria di dalam mulut selain dapat mengurangkan nafas berbau yang menjadi masalah sebahagian orang.
Kajian kesihatan lain juga mendapati amalan minum teh baik untuk jantung, meningkatkan daya ingatan, melancarkan perjalanan darah, me­ngurangkan tekanan serta mengelak kanser.
Ini diperkukuhkan hasil kajian di Jepun, mendapati golongan warga emas yang mengamalkan minum teh hijau mempunyai daya ingatan lebih baik secara purata berbanding mereka yang jarang minum teh.
“Namun, semua ini hanya dapat diperoleh apabila meminum teh dengan cara dan kuantiti yang betul,” jelasnya.
Minuman ini telah diamalkan sejak 5,000 tahun dahulu di China dan adalah antara minuman tertua yang menjadi kegemaran masyarakat tidak kira peringkat umur.
Malahan, turut dijadikan adat dalam sesuatu perkahwinan.
Justeru, tidak menghairankan pelbagai produk teh berada di pasaran ketika ini dengan perisa-perisa menarik seperti strawberi, epal yang ditambahkan lagi kesedapan dengan hirisan lemon.
Teh tarik

Daun teh yang dipetik akan melalui proses menggiling menggunakan mesin khas.


“Kebanyakan orang minum teh dengan cara yang salah kerana hanya mementingkan kesedapan. Apabila saya jelaskan kepada mereka (pengunjung Taman Agroteknologi)
me­ngenai khasiat teh, ramai terkejut.
“Mereka tidak tahu bahawa cara penyediaan teh yang diamalkan selama ini boleh menjejaskan khasiatnya mendedahkan kepada risiko penyakit,” katanya.
Misalnya, teh tarik adalah minuman ke­gemaran hampir
majoriti besar masyarakat tempatan yang mana penggunaan susu berlebihan boleh mendedahkan mereka kepada risiko diabetes.
Teh kaya dengan khasiat dan sepatutnya membawa kebaikan kepada kesihatan akhirnya menjadi punca masalah kepada rangkaian penyakit.
Sedangkan dengan hanya me­minum teh sekurang-kurangnya dua kali sehari dapat menghindarkan penyakit seperti angin ahmar,
me­nguatkan tulang tetapi semuanya hanya berhasil apabila tidak mencampurkan bahan pemanis seperti susu dan gula.
“Bergantung cara hidup masyarakat. Kalau mereka mengamalkan hidup sihat, penyakit dapat dihindarkan.
“Masalahnya, masyarakat suka kepada benda sedap dan teh tarik itu adalah antara pengambilan tanpa kawalan boleh mendedahkan kepada penyakit,” katanya.
Selain mengurangkan campuran dua bahan pemanis itu, kandungan khasiat teh dapat dirasai sebaiknya melalui kaedah manual atau cara lama dalam penyediaannya.
Dengan menggunakan serbuk teh yang dibancuh air panas dan kemudian ditapis, khasiatnya lebih terjamin. Namun, disebabkan agak leceh membuatkan ramai cenderung memilih teh uncang.
Selain mudah dan menjimatkan masa, teh uncang dianggap lebih selamat berbanding produk teh timbang yang dikesan mengandungi bahan pewarna berlebihan sehingga boleh menjejaskan kesihatan untuk tempoh jangka masa panjang.
Namun, di sebalik tanggapan ramai teh uncang adalah selamat, hakikatnya ia juga mempunyai kelemahan dan boleh mengundang kesan buruk.
Ini kerana, hampir sebahagian besar daripada kita suka merendam uncang teh terlalu lama dan hanya akan membuangnya setelah selesai menikmati minuman itu.
Mohd. Noor berkata, sebaiknya ia dicelup tidak lebih daripada lima minit kerana tempoh itu sudah cukup untuk mendapatkan warna sesuai, rasa dan aroma diingini.
“Kita khuatir kertas uncang digunakan berkualiti rendah yang turut mengandungi campuran lilin sehingga boleh menjejaskan khasiat teh apabila direndam lama.
“Bagi mereka yang sistem badannya tidak kuat, mungkin boleh mendapat sembelit. Ini kerana, teh adalah seperti herba lain yang mana apabila pengambilannya melebihi kapasiti penerimaan badan, tentu ada kesannya,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: