![]()
CERITA Rasa Izyan Hani menghimpunkan 40 resipi istimewa.
|
MENGENALI Izyan Hani Mohd. Izham adalah semudah membelek lembaran setebal 202 muka surat. Juara program realiti televisyen Masterchef Malaysia musim kedua berusia 27 tahun itu berkongsi perjalanan kulinari peribadinya menerusi buku masakan berjudul Cerita Rasa Izyan Hani.
Himpunan 40 resipi berserta beberapa resipi tambahan yang dijilidkan itu mewakili kisah hidup Izyan Hani. Buku itu dipecahkan kepada lima bab mengikut susunan kerumitan menu. Bab pertama melingkungi resipi-resipi yang dicipta Izyan Hani ketika meniti alam remaja. Menu kreatif pertama ciptaannya ialah nuget ayam berkeju yang disediakan sendiri menggunakan dada ayam, diikuti salad tuna. Kedua-dua sajian ringkas itu dihasilkannya ketika menanti keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Isi bab kedua yang dinamakan dengan segmen Hujan Emas pula meliputi majoriti menu Barat. Ketika itu, Izyan Hani sedang menuntut di Kanada. Dalam tempoh empat tahun di sana, dia berjaya menghasilkan resipi unik seperti sandwic keju gril dan salad roket, quesadilla (roti tortila) med-syd, mac and cheese, karipap Ramadan dan lasagne perpustakaan.
Kembalinya ke Kuala Lumpur, Izyan Hani diterima bekerja sebagai pegawai geologi di sebuah syarikat multinasional negara. Bagaimanapun, minatnya yang mendalam dalam dunia masakan mendorongnya untuk terus berkarya di dapur. Maka, tercetuslah resipi seperti pai penggembala, donat mini Itali, bebola daging dan sos tomato segar.
Puncak cerita buku ini boleh ditemui pembaca dalam bab empat. Bahagian ini mengumpulkan cara-cara penyediaan hidangan yang pernah dihasilkan Izyan Hani dalam Masterchef Malaysia. Berbekalkan pendedahan dan pengalaman yang dikutip daripada rancangan itu, Izyan Hani memperbaiki kualiti setiap menu dalam bab ini.
Kini, pembaca berpeluang mencuba menjelmakan resipi kemenangan Izyan Hani termasuk mihun Fuji, burger tropika, labu dan kentang lenyek berempah, salad pear dan jambu bersitrus serta granita tembikai berpudina.
![]() |
BUKU setebal 202 muka surat ini dilengkapi tip-tip masakan berguna.
|
Teknikal tinggi
Penutup buku ini pula difokuskan kepada empat resipi bertahap teknikal tinggi. Sup labu berempah, pavlova mini, pankek mini bersama mentega kacang dan pisang karamel serta pai ayam menjadi penamat Cerita Rasa Izyan Hani.
Sajian pasca Masterchef Malaysia ini dihasilkan Izyan Hani dengan penuh ketelitian, mematuhi setiap penguasaan asas masakan dan peraturan ketertiban.
“Buku ini bermula daripada saya sebagai tukang masak amatur menjadi cef profesional. Istimewanya, pembaca bukan setakat dapat mempelajari resipi-resipi menarik, malah mendapat ilmu masakan terpenting iaitu faktor masa, ketepatan dan ketertiban aturan.
“Semua pengetahuan yang saya kutip daripada tiga cef berpengalaman dalam Masterchef Malaysia, saya kongsikan dalam buku ini. Diharapkan ia mampu menginspirasi orang lain untuk memasak dan menjana idea pembaca bagi menghasilkan hidangan lebih kreatif.
“Kesemua resipi dalam buku ini agak ringkas dan menggunakan bahan-bahan mudah didapati. Jika anda mengikut turutan dan mematuhi ketetapan resipi, masakan anda pasti menjadi,” jelas Izyan Hani ketika ditemui Kosmo! baru baru ini.
Cerita Rasa Izyan Hani dipasarkan sejak Mac lalu dan boleh didapati di kedai-kedai buku utama. Selain mendapat sambutan hangat pencinta dunia masakan, buku ini juga sesuai dijadikan hadiah perkahwinan kepada pasangan pengantin baharu.
Dalam perkembangan lain, Izyan Hani sedang melakukan proses draf akhir untuk buku masakan baharunya yang dijangka menjengah pasaran pada pertengahan tahun depan.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: