![]()
JAUHI daripada menceburi perniagaan yang berunsurkan perjudian dan maksiat kerana aktiviti itu boleh mengundang kemusnahan kepada masyarakat. – Gambar hiasan
|
DALAM konteks semasa, perniagaan merupakan salah satu aktiviti penting dalam kehidupan manusia dengan melakukan urus niaga seperti berjual beli dan sewaan. Islam turut menggalakkan umatnya menceburi bidang perniagaan. Al-Quran menjelaskan tentang keharusan berniaga:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu antara kamu dengan jalan yang salah (tipu dan judi), kecuali dengan (jalan) perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu.”
Dalil tentang keistimewaan kedudukan perniagaan boleh dilihat dalam hadis yang bermaksud: “Sembilan daripada sepuluh sumber rezeki diperoleh melalui perniagaan” (Hadis Riwayat Tirmizi).
Pada masa kini, terdapat pelbagai jenis urus niaga dengan matlamat utama mencapai keuntungan. Bagaimanapun, ramai tidak sedar adakah hasil perniagaan itu halal atau sebaliknya. Bagi mengenal pasti status perniagaan tersebut mematuhi syariah atau tidak, terdapat beberapa aspek yang perlu dihalusi. Antaranya:
1. Perniagaan mestilah tidak mengandungi unsur riba.
Riba adalah perkara yang dilarang dalam Islam. Ia wujud dalam urus niaga, hutang-piutang atau jual beli barang-barang ribawi.
Dalil pengharaman riba disebutkan secara jelas dalam al-Quran dan hadis. Ini dapat dilihat menerusi firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 275 yang menyebut:
“Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”
2. Perniagaan mestilah tidak berasaskan sebarang penipuan.
Sesetengah peniaga menggunakan pelbagai cara dan strategi bagi mempromosi dan melariskan barang jualan. Perbuatan ini dibolehkan, namun peniaga perlu mengikut lunas-lunas syarak dan dilarang daripada melakukan penipuan.
Antara bentuk penipuan dalam perniagaan ialah memalsukan maklumat produk, menjual barang tiruan dan memberi janji palsu. Bahkan, Islam juga melarang para peniaga bersumpah semata-mata untuk melariskan jualan.
Abi Qatadah al-Anshari meriwayatkan, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Awas kamu daripada banyak bersumpah dalam berniaga. Sesungguhnya (kadangkala) banyak bersumpah dalam berniaga boleh melariskan barangan, namun ia akan menghilangkan barakahnya.”
3. Perniagaan berasaskan keadilan.
Dalam Islam, prinsip keadilan dan keredaan pihak-pihak yang berkontrak adalah penting dalam perniagaan. Justeru, segala bentuk tindakan mengambil harta orang lain dengan cara yang batil adalah dilarang. Mengambil harta secara batil boleh berlaku dengan berbagai-bagai cara seperti paksaan, memeras ugut dan rompakan.
Dalil pengharaman segala perbuatan ini adalah jelas disebutkan dalam al-Quran:
(Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama ke jalan yang salah), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu).
(Surah al-Nisaayat 29)
4. Jauhi sebarang bentuk memonopoli barangan.
Perniagaan yang mengikut lunas Islam akan menghindari segala bentuk monopoli. Perbuatan ini adalah dilarang oleh Islam kerana akan memudaratkan masyarakat khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan golongan miskin.
Kebiasaannya, monopoli dibuat oleh para peniaga pada barangan keperluan yang terhad di pasaran untuk membolehkan barangan tersebut dijual lebih tinggi daripada harga biasa. Amalan monopoli lahir daripada sifat tamak haloba untuk mendapat keuntungan dalam masa yang singkat.
Kesannya, inflasi akan meningkat dan tekanan ekonomi yang ditanggung oleh masyarakat menjadi semakin berat.
Amalan ini dikecam oleh Rasulullah SAW yang bersabda: "Sesiapa yang menyekat satu jenis makanan selama empat puluh hari, maka ia telah terlepas daripada Allah dan Allah berlepas diripada darinya." (Riwayat Ahmad)
5. Jauhi segala perbuatan yang haram dan tidak berfaedah.
Islam melarang segala bentuk perniagaan yang melibatkan aktiviti-aktiviti yang haram seperti perniagaan arak, pelacuran, perjudian dan pengeluaran filem-filem lucah. Selain itu, sebarang pelaburan dalam aktiviti-aktiviti berbentuk maksiat, memberikan kesan buruk dan membawa kemusnahan kepada masyarakat turut ditegah.
Kesimpulannya, tidak dinafikan bahawa perniagaan adalah diharuskan dalam Islam tetapi dalam menentukan keberkahan hasil dan pendapatan dari sesebuah perniagaan tersebut, ianya adalah penting untuk mengikut lunas-lunas syariat.
Ia adalah penting untuk mematuhi syariah agar dapat membezakan antara halal dan haram untuk kesejahteraan diri dan maslahah ekonomi masyarakat.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: