KHAMIS lalu, akhbar melaporkan lebih 200 orang lelaki tempatan yang kemaruk seks menjadi mangsa sindiket peras ugut menggunakan gadis cantik dan seksi sebagai umpan di laman sosial.
Kehadiran gadis itu memukau mangsa hingga sanggup berbogel melalui video dalam talian Skype tanpa mengetahui perbuatan mereka dirakam walaupun tidak sampai 12 jam berkenalan.
Menurut Pegawai Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Superintendan Mohd. Syafiq Jinuin Abdullah, kesemua mangsa mendakwa mereka bukan sahaja diperdaya, tetapi terpaksa membayar sejumlah wang untuk mengelakkan video bogel mereka disebarkan melalui internet.
Dianggarkan kerugian sebanyak RM100,000 dilaporkan sejak Januari lalu.
Wanita Asia
Jelasnya, ada kemungkinan lebih ramai mangsa lelaki diperdaya sindiket tersebut tetapi malu untuk tampil membuat laporan polis.
“Hasil siasatan mendapati, sindiket itu menggunakan wanita Asia seperti Filipina, Vietnam dan Indonesia yang cantik serta seksi untuk memerangkap mangsa.
“Sindiket ini mungkin bergerak secara berkumpulan bagi memerangkap mangsa. Mangsa peras ugut seperti ini lebih cepat diperdaya dan digoda berbanding penipuan cinta Afrika yang mengumpan harta pusaka dan berjanji untuk berkahwin.
“Biasanya mangsa ditipu dalam tempoh kurang seminggu, malah ada yang sanggup berbogel hanya selepas mengenali gadis yang diupah sindiket itu kurang daripada tempoh 12 jam,” katanya.
Berdasarkan siasatan, sindiket itu dipercayai berpangkalan di Filipina susulan penahanan 58 orang anggotanya oleh polis negara berkenaan pada Mei lalu.
Sindiket itu menggunakan rakaman Skype untuk merangkap mangsa dan pihak polis tidak menolak kemungkinan kegiatan peras ugut itu dilakukan penjenayah tempatan yang meniru modus operandi penjenayah warga asing.
Menurut Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, lapan orang lelaki sudah membuat aduan kepada pihaknya pada bulan lalu akibat menjadi mangsa peras ugut sindiket itu.
“Sindiket biasanya cuba mendekati mangsa melalui laman sosial Facebook sebelum berhubungan melalui Skype dan kebanyakan mangsa terpedaya dengan suspek yang kononnya mahu memuaskan nafsu mereka dengan melihat mangsa berbogel,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Zainal Madon berkata, situasi tersebut dijangkakan berlaku dalam kalangan lelaki yang memerlukan seseorang wanita untuk memenuhi keperluan rasa memiliki.
Situasi separa sedar
“Apabila seseorang wanita itu hadir dengan memberi layanan, kemesraan dan pujuk rayu sudah tentu lelaki tersebut akan berasa seronok dan bahagia. Keseronokan berbicara dan berkongsi perasaan ini akan menimbulkan kepercayaan antara satu sama lain.
“Individu yang kesunyian dan sedang mengalami masalah dalam perhubungan adalah mangsa yang berpotensi untuk terjebak dalam situasi ini. Wanita pula dalam situasi ini menggunakan tarikan seksual sebagai daya penarik yang paling mudah untuk menggoda lelaki sehingga membuatkan mereka menjadi angau dan gila bayang.
“Apabila sudah berada dalam keadaan itu, lelaki tersebut akan hilang kawalan diri dan tidak berupaya untuk berfikir secara rasional. Situasi separa sedar ini akan dimanipulasi oleh wanita tersebut untuk meminta mangsa mengikuti apa juga permintaannya termasuk berbogel,” jelasnya sambil memberitahu, keadaan itu akan mewujudkan satu penghargaan kepada lelaki apabila dipuji.
Tambahnya, kawalan kendiri amat penting dalam menangani situasi itu selain jangan mudah melakukan sesuatu yang disuruh oleh orang lain apatah lagi jika baru berkenalan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: