LUMRAH bagi setiap insan berdarah seni pastinya memerlukan sumber ilham untuk berkarya. Bukan apa, setiap naskhah seni disifatkan ‘berhantu’ jika berjaya menjentik segenap bucu kotak hati peminat.
Sumber ilham itu juga boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Ada yang memerhatikan suasana persekitaran sebagai pencetus idea, selain ada juga yang menjadikan insan tersayang sebagai sumber inspirasi dalam menghasilkan sesuatu yang malar segar sampai bila-bila.
Memang tidak dinafikan bahawa kadang kala ilham itu tercetus secara spontan. Jangan sesekali cuba berbohong dengan diri sendiri semata-mata mahu menafikan pengaruh sumber inspirasi di saat setiap kali menghasilkan sesuatu cebisan karya yang berupaya mencetuskan satu fenomena.
Pendek kata, tanpa pencetus inspirasi, maka tidak wujudlah karya yang berkualiti. Jika hati kesepian, setiap bait indah yang cuba disusun pastinya tidak semolek yang diidamkan dan ia turut diakui vokalis band 6ixth Sense, Adi.
“Orang lain saya tidak tahu tetapi sejujurnya saya sukar mencipta lirik dan lagu jika sunyi dan tidak gembira,” katanya kepada Sensasi Bintang.
Kekosongan hati pemilik nama sebenar Adi Priyo Sambodo ini juga dikhabarkan sudah diisi dengan cinta baharu selepas episod cintanya sebelum ini gagal berakhir ke jinjang pelamin, biarpun telah menyulam kasih hampir empat tahun lamanya.
Adi enggan terburu-buru mendefinisikan hubungan baharu itu sebagai sesuatu yang eksklusif selagi segala-galanya masih di peringkat percaturan awal.
“Saya masih belum berumah tangga, insya-Allah kalau ada rezeki dan jodoh satu hari nanti. Buat masa ini, kami baru saja mengenali hati budi masing-masing, jadi saya belum berani menganggap ia sesuatu yang istimewa,” katanya yang telah menginjak usia 31 tahun pada 1 Oktober lalu.
Biarpun cuba ditebak bila agaknya dia bakal mengumumkan notis pertukaran status sebagai seorang suami kepada khalayak umum, tidak banyak yang Adi mahu kongsikan, melainkan wanita berkenaan tetap bukan dalam kalangan rakan artis, sama seperti mana kisah cintanya bersama wanita Malaysia yang tidak kesampaian sebelum ini.
“Sejak dahulu lagi saya lebih selesa dan sukakan wanita biasa, itu saja,” katanya tenang menguntum senyum.
Jika benar hati Adi kembali berbunga riang, tidak mustahil sekiranya dia mampu berterusan mengulangi magis seperti mana ketika mencipta lagu-lagu meletup seperti Kisah Hati (Alyah), Muara Hati (Datuk Siti Nurhaliza dan Hafiz) serta Relakan Jiwa (Hazama) di sebalik nama penanya sebagai Manusia Putih selaku komposer sebelum ini.
Anak jati Jember, Indonesia itu enggan peminatnya keliru dengan kewujudan Manusia Putih yang seolah-olah mencerminkan sisi lain Adi ketika menghasilkan sesuatu karya berbanding semasa mencipta lagu bergenre progresif pop rock sepanjang bersama 6ixth Sense.
“Saya lebih selesa menjadi diri saya sendiri tidak kira sebagai Adi 6ixth Sense mahupun Manusia Putih.
“Senang cerita, saya adalah Adi 6ixth Sense manakala Adi 6ixth Sense itu Manusia Putih, sementara Manusia Putih pula saya. Jadi, tiada beza,” jelasnya lagi.
Tidak lagi bernaung di bawah syarikat Universal Music sejak tahun lepas, Adi juga mengakui, sudah tiba masanya 6ixth Sense berdikari di bawah label mereka sendiri iaitu 6ixth Sense Production, Puteh Entertainment serta Luna Suara Record.
“Kami sudah lama bekerja di bawah orang, jadi kini kami pula jadi bos. Hubungan kami bersama label terdahulu juga masih baik, cuma sudah tiba masanya kami bergerak sendiri.
“Antara artis baharu di bawah label kami ketika ini termasuklah Cherpen Band, Sakura Band serta Zara Ali. Single mereka dijangka dikeluarkan dalam tahun ini juga,” katanya.
Ini bukan bermakna 6ixth Sense bakal terkubur sebegitu saja selepas membina empayar secara universal sejak 2005.
Ungkap Adi, perjuangan bersama rakan-rakan sekugiran iaitu Gjie, Athan, Wan dan Ayoy tidak akan terhenti meskipun lebih banyak terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir selepas ini.
“Industri memang ada pasang surut, malahan sejak dulu lagi kami lebih dikenali menerusi lagu-lagu yang dinyanyikan.
“Lebih mudah begitu, hendak pergi Downtown pun senang barangkali,” katanya tertawa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: