|
JARUM jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam, namun keadaan di sekitar Jalan Pantai Cenang, Langkawi, Kedah masih meriah dengan kehadiran orang ramai.
Ada yang datang berkumpulan bersama keluarga dan rakan-rakan, tidak kurang juga yang datang membawa kekasih sambil menikmati panorama malam atau sekadar membeli-belah di kios dan gerai jualan yang berselerakan di sepanjang pantai.
Izman Malik, 27, hanya memerhatikan gelagat tersebut dari tingkap bas mini miliknya yang diletakkan di satu sudut laluan berkenaan.
Hatinya sedikit terhibur. Sekurang-kurangnya pelbagai gelagat dilihat dapat menghilangkan perasaan bosan yang melanda dirinya sejak berada di atas bas berwarna hijau dan jingga itu setengah jam lalu.
Bagaimanapun, tumpuannya sedikit terganggu sebaik sahaja mendengar bunyi derapan kasut memijak lantai pintu bas. Kelihatan dua orang pelancong asing, seorang lelaki dan seorang wanita berusia sekitar 20-an muncul dari bahagian hadapan bas.
“Good evening. Welcome to Bus Butik,” sapanya mesra.
Bagi Izman, itulah rutin hariannya setiap hari sejak dua tahun lalu. Bermula dari pukul 8 hingga 11 malam dia akan setia menunggu pelanggan di atas bas itu.
Bagaimanapun, kehadirannya di situ bukan sebagai pemandu bas yang membawa penumpang ke lokasi-lokasi menarik di sekitar pulau peraginan yang popular di Malaysia itu sebaliknya sebagai peniaga.
Tidak seperti peniaga-peniaga lain yang selesa berniaga di dalam premis atau kios, anak bongsu daripada enam beradik itu memilih untuk berniaga di atas sebuah bas mini.
Komuniti hipi
Izman memberitahu, dia mendapat idea untuk mengusahakan butik konsep bergerak menggunakan bas ketika berkunjung ke Sydney, Australia pada tahun 2008.
Katanya, ketika berada di sana dia melihat sekumpulan komuniti hipi yang menjalankan perniagaan menerusi bas dan karavan.
“Saya tertarik dengan konsep perniagaan di atas bas ini dan berhasrat memperkenalkannya di Malaysia, namun ketika itu saya tidak tahu mahu berniaga apa di samping kekurangan modal, malah ketika itu saya sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai pemuzik irama reggae di sebuah kafe di Pantai Cenang,” katanya ketika ditemui kru Jurnal di sini baru-baru ini.
Perkenalan dengan isteri, Claudia Hamel, 24, seorang warga Kanada pada tahun 2012 membuka ruang buat dirinya untuk menceburi konsep perniagaan itu.
“Bas mini jenis Mercedes 309 ini pada asalnya merupakan sebuah bas kilang. Saya membelinya melalui laman portal Mudah.com dengan harga RM14,000 di Banting, Selangor sebelum dibawa ke pulau ini.
“Saya dan isteri kemudiannya melakukan pengubahsuaian pada bahagian luar dan dalam bas ini termasuk mengecat serta mereka bentuk hiasan dalaman dengan kos sekitar RM6,000,” jelasnya yang berasal dari Ipoh, Perak.
Ujarnya, dia turut menghias bas mini itu dengan lampu yang dijana menggunakan sebuah generator.
“Kami memilih untuk menjalankan perniagaan menjual aksesori dan kraftangan wanita selain pakaian serta barangan kulit seperti beg. Menariknya, aksesori seperti rantai dan gelang tangan itu dihasilkan sendiri oleh Claudia dengan menggunakan bahan-bahan dari Kanada seperti batu-batuan milik kaum asli Amerika (Red Indian).
“Gabungan kreativiti dan kehalusan tangan serta keunikan bahan-bahan yang digunakan menjadikan kesemua produk yang dijual di sini tampak unik dan eksklusif,” ujarnya yang sudah berhenti bermain muzik bagi memberi tumpuan kepada perniagaan.
Jimat kos
Menurutnya, selain barangan jualan yang menarik, keunikan butik bas itu sendiri menggamit kehadiran pengunjung setiap kali ia beroperasi.
“Ramai pelanggan yang datang pastinya tidak melepaskan peluang merakamkan gambar kenangan di dalam atau di luar bas,” jelasnya yang mampu menjana pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM6,000 sebulan.
Menurut bapa kepada seorang anak itu, dia merancang untuk mengembangkan perniagaan secara dalam talian seterusnya menjadikan Bus Butik lebih dikenali pada masa hadapan.
“Setakat ini, sambutan yang diberikan amat menggalakkan, malah setiap hari Bus Butik dikunjungi 50 hingga 100 orang pelanggan termasuk dari dalam dan luar negara.
Jelasnya, perniagaan seperti itu lebih menjimatkan memandangkan kos sewa premis di pusat peranginan itu yang tinggi mencecah RM4,000 sebulan.
“Melalui Bus Butik, saya hanya mengeluarkan modal untuk membeli bahan jualan sahaja manakala selebihnya bergantung kepada kreativiti ketika penghasilan dan memasarkannya.
“Saya berharap agensi-agensi yang berkaitan dapat memberi kerjasama dalam membantu saya mengembangkan perniagaan ini kerana ia mempunyai potensi untuk diketengahkan sebagai tarikan pelancong,” ujarnya.
Dalam pada itu, Claudia memberitahu, konsep perniagaan menggunakan bas seperti Butik Bas sememangnya popular di luar negara khususnya Eropah.
“Bagaimanapun, di Malaysia ia mungkin yang pertama, malah sejak diperkenalkan dua tahun lalu, ia terus mendapat sambutan hangat daripada pelanggan terutama dalam kalangan pelancong asing.
“Mereka menggemari aksesori wanita yang dijual kerana keunikan serta kehalusan seninya yang dihasilkan menggunakan tangan, malah bahan-bahan yang digunakan juga tiada di negara ini sekali gus memberikan ciri-ciri eksklusif kepada si pemakai,” tambahnya.
Kraftangan unik
Sementara itu, seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Mohd. Noor Sidek Ahmad, 57, tertarik dengan kelainan pada Bus Butik ini ketika melalui kawasan tersebut.
Bagi pelancong dari Jerman, Julia Abawi, 29, dia dan suaminya, Michele Abawi, 29, tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar kenangan di dalam Bus Butik untuk dibawa pulang sebagai kenangan.
Katanya, ini kali pertama dia melihat konsep perniagaan menggunakan bas sepanjang melawat negara ini sejak beberapa hari lalu.
“Konsep perniagaan ini lazimnya popular di Eropah apatah lagi kesemua produk ini dihasilkan menggunakan tangan sekali gus memberi nilai eksklusif kepada si pemakai,” ujarnya yang tertarik dengan hiasan dalaman berkonsepkan vintaj pada Bus Butik itu.
“Pada masa yang sama, saya juga teruja melihat bas mini ini kerana di negara saya tidak ada bas seperti ini,” katanya yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan di Frankfurt, Jerman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: