
ORANG ramai sanggup beratur panjang, terutamanya untuk merasai kehebatan Escape From Pudu.
KEDENGARAN hilaian ketawa dan jeritan memecah suasana sunyi pada waktu malam di Taman Tema Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Suasana itu sempena penganjuran Nights of Fright: Festival of Fear yang dianjurkan taman tema tersebut. Pada sambutan itu, sebanyak 25 tema baharu diperkenalkan seperti Escape From Pudu, Dead End: Abandoned Theme Park, Shanghai Street dan Carnival of Freaks.
Orang ramai sanggup beratur panjang, terutamanya untuk merasai kehebatan Escape From Pudu.
Seorang pengunjung, Nurazliza Ramli, 30, berkata, ia merupakan pengalaman pertamanya berkunjung ke Nights of Fright yang disifatkannya sangat menarik dan mengujakan.
“Saya berasa gementar kerana saya tidak tahu apa yang akan terjadi dalam rumah hantu ini,” katanya.
Escape From Pudu berkonsepkan jalan berliku dan berhalangan merupakan rumah hantu yang berlatarbelakangkan suasana banduan dalam Penjara Pudu.
Antara kejutan yang menanti pengunjung di rumah hantu itu ialah kemunculan hantu secara mengejut, bunyi-bunyi yang menakutkan dan kegelapan bilik membuatkan pengunjung pasti terkejut dengan kehadiran hantu.
Hantu-hantu banduan yang berperwatakan bengis itu berjaya membuatkan pengunjung menjerit ketakutan.
Di Dead End: Abandoned Theme Park pula, konsepnya adalah berbeza iaitu dilakukan di kawasan terbuka. Tarikan utama taman ini ialah suasana berkabus dan berkonsepkan taman tema usang, bahkan terdapat ‘rangka-rangka’ yang digantung seperti seseorang telah menjalani hukuman mati.
Berkumpulan
Pengunjung juga diberikan seutas tali untuk dipegang secara berkumpulan dan dinasihatkan untuk tidak melepaskannya sehingga perjalanan mereka tamat. Perkara itu adalah kerana suasana kabus menyebabkan perjalanan mereka menjadi sukar untuk dilihat.
Tambahan pula, kelihatan hantu-hantu berpakaian seperti pengantin yang berlumuran darah berkeliaran di kawasan tersebut, malah ada juga antara mereka mengekori pengunjung secara tiba-tiba sehingga perjalanan berakhir.
Seorang lagi pengunjung, Fauzani Muhammad, 30, berkata, dia dan rakan-rakannya tidak sabar untuk mencuba tema-tema baharu itu.
“Saya suka berkunjung ke festival-festival seumpama ini bahkan saya amat meminati perkara yang berunsur seram. Saya dengar Escape From Pudu sangat menyeramkan. Jadi, saya tidak sabar untuk mencubanya,” ujarnya.

PARA pengunjung tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan bersama karakter-karakter kegemaran mereka.
Sementara itu, Pengarah Sudden Impact Entertainment, Lynton V. Harris berkata, festival tersebut lebih kepada keseronokan berbanding ketakutan.
“Ketakutan hanyalah bersempena dengan sambutan Halloween tetapi apa yang penting, kami mahu pengunjung berasa seronok dengan tema-tema yang kami bawakan.
“Festival kali ini juga lebih besar berbanding tahun sebelumnya dan kini kami sudah merancang untuk persiapan festival ketiga pada tahun depan,” ujarnya.
Tidak sesuai
Meskipun festival tersebut adalah untuk keseronokan, ia masih dianggap tidak sesuai untuk golongan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Golongan dewasa juga tidak dibenarkan untuk bersolek atau bertopeng kerana dikhuatiri akan menyerupai petugas festival itu.
Selain itu, Harris juga berkata, terdapat pelbagai karakter baharu diperkenalkan yang sinonim dengan legenda hantu-hantu Asia seperti lompatan pocong Cina di tema Shanghai Street.
‘Hantu-hantu’ yang terdapat di festival itu tidak hanya berada dalam satu tema tetapi ada juga antara mereka yang kelihatan berkeliaran dan ‘bermesra’ dengan pengunjung.
Para pengunjung tidak melepaskan peluang mengambil gambar sebagai kenangan bersama karakter-karakter kegemaran mereka seperti Freddy Krueger, Jason Friday The 13th, John Kramer Jigsaw dan juga Scream.
Harris mengakhiri ucapannya dengan memberitahu, Nights of Fright ketiga yang bakal diadakan pada tahun depan adalah lebih meriah dengan membawa masuk lebih banyak karakter seram dan tema-tema terbaharu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: