
HADIAH lumayan menjadi taruhan kepada para pelumba.
BARU berusia 14 tahun, Umar Marampa sudah bergelar penunggang kuda lumba profesional di sebuah kepulauan di Indonesia. Aktiviti di sirkit berpasir menggunakan kuda baka kecil itu dikenali sebagai joki dalam kalangan pelajar sekolah.
Pada sesi latihan yang diadakan bersama pelumba-pelumba lain di bandar Waingapu, Sumba baru-baru ini, Umar menunggang kudanya mengelilingi trek perlumbaan.
Umar mula menceburi sukan lumba kuda sejak berusia sembilan tahun dan ketika usia menginjak remaja, dia dianggap terlalu tua sebagai seorang joki di Sumba. Sesetengah pelumba yang memulakan aktiviti tersebut sewaktu berusia lima tahun.
Kebanyakan pelumba-pelumba muda ini pada awalnya menghadapi kesukaran kerana terpaksa menjinakkan kuda peliharan mereka yang bertindak ganas sebelum memasuki sebarang perlumbaan.
“Kami bermula dengan menaiki kuda dari kawasan berbukit. Semua perkara dipelajari sendiri tanpa bantuan orang lebih dewasa,” ujarnya.
Kemiskinan
Umar menambah, aktiviti menunggang kuda merupakan satu budaya kebanggaan penduduk di kawasan yang terletak di tengah kepulauan Indonesia yang rata-ratanya berada di bawah paras kemiskinan itu.
Sumba terkenal di Indonesia sebagai kawasan yang masih meneruskan budaya joki kanak-kanak dan Kuda Sandel, spesies kuda yang berasal dari kepulauan itu. Nama kuda itu diambil daripada kayu cendana (sandal wood) yang pernah menjadi bahan eksport suatu ketika dahulu.
Bertubuh kecil dan bergerak pantas, kuda itu banyak terdapat di Sumba dan turut dipercayai jenis sama yang pernah digunakan oleh pahlawan Mongol untuk berperang.
Salah satu tempat tumpuan setiap perlumbaan kuda adalah di Waingapu yang bermula di sebuah patung kanak-kanak seperti menunggang kuda. Sejak di garisan permulaan, pelumba bertempur dalam acara tahunan yang mengembalikan memori perlawanan kuno antara puak-puak di pulau itu.
Setiap kali perlumbaan diadakan, suasana riuh pasti berlaku sambil disertai dengan pertaruhan judi sehingga menyebabkan banyak berlaku pergaduhan apabila kuda pilihan tewas kepada pencabar. Ada penunggang yang terjatuh daripada kuda dan berlaku kecederaan serius seperti patah tulang.
Meskipun pihak polis sentiasa mengawal keadaan, kadang-kadang dalam beberapa situasi pergaduhan yang terjadi sukar untuk dileraikan berpunca daripada perjudian melibatkan wang yang banyak.

DUA orang pelumba menunggang kuda ke tapak perlumbaan di Waingapu, Sumba, Indonesia.
Kebanyakan penduduk setempat melabur dalam perlumbaan yang menawarkan pulangan hadiah berupa wang sebanyak 10 juta rupiah (RM2,721). Ia dianggap besar terutamanya bagi penduduk yang mempunyai pendapatan purata harian sebanyak RM6.60 sehari itu.
Apabila saingan semakin sengit, spesies kuda dari Australia yang lebih tinggi dan kuat dibawa masuk ke Sumba bagi memberikan cabaran kepada kuda tempatan.
Aktivis hak kanak-kanak cuba campur tangan dan menghalang perlumbaan tersebut tetapi usaha itu berdepan kesukaran kerana ia melibatkan budaya tradisi tempatan.
“Mereka meletakkan kanak-kanak dalam bahaya apabila meneruskan amalan tersebut,” kata Pengerusi Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Kebangsaan, Arist Merdeka Sirait.
Keselamatan
Penduduk kampung memberi jaminan bahawa keselamatan pelumba kanak-kanak itu sentiasa terjaga sebelum sebarang perlumbaan bermula.
Apabila joki mencapai umur akhir remaja, mereka biasanya bersara dan menyalurkan pengalaman kepada pelumba-pelumba baharu,” kata salah seorang tenaga pengajar, Abraham Endruyan Wunu.
Tambahnya, ritual keagamaan menurut kepercayaan penduduk tempatan turut dilakukan bagi memastikan pelumba tidak berdepan dengan kecelakaan dan kecederaan.
Bagi seorang pekerja kerajaan, Julianus Amahu, walaupun pernah mempunyai kuda lumba sebelum ini, dia lebih gemar menjadi penonton dan menolak untuk mencuba menjadi joki.
“Ia sangat menakutkan,” ujar lelaki berusia 42 tahun itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: