
TENGKU NOOR AINI telah lama mengimpikan untuk membina sebuah masjid yang menerapkan konsep tradisional Melayu di dalam seni binanya.
KERLIPAN sinar mata pada wajah tenang milik wanita berusia 74 tahun ini sudah cukup menggambarkan semangat kemelayuan yang ada dalam dirinya.
Raut wajah yang tenang dan senyuman manis di bibir itu pula menunjukkan personaliti Tengku Noor Aini Tengku Ahmad Zainal Abidin yang senang didekati biarpun dia merupakan cucunda kepada Sultan Pattani terakhir, Almarhum Tengku Abdul Kadir Kamarudin.
Walaupun pada usianya yang sudah lanjut, namun, Tengku Noor Aini yang juga merupakan isteri kepada bekas Menteri Pertahanan dan Menteri Luar Negeri, Tengku Tan Sri Ahmad Rithaudden Tengku Ismail, masih kelihatan bertenaga persis seorang anak remaja.
Lebih memeranjatkan apabila kru Jurnal diberitahu bahawa wanita ini telah membina lebih daripada 38 buah rumah di sekitar Kuala Lumpur, Kelantan dan London.
Menurut Tengku Noor Aini, rata-rata rumah yang dibina itu mengetengahkan keindahan seni bina Melayu yang dipenuhi dengan ukiran-ukiran tradisional klasik.
“Sebenarnya saya bukanlah seorang arkitek, jauh sekali memiliki kelulusan rasmi dalam bidang seni bina.
“Bagaimanapun, berbekalkan pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang ini, ia membolehkan saya untuk mendirikan puluhan jenis rumah yang beridentitikan seni bina Melayu,” jelasnya.
Ujar anak kelapan daripada sepuluh orang adik-beradik ini, minatnya untuk menceburkan diri dalam bidang pembinaan timbul apabila dia sering mengikuti ayahnya ke kawasan pembinaan sejak berusia enam tahun.
“Disebabkan kerap didedahkan dengan perkara-perkara tersebut, saya mampu mengenali jenis-jenis kayu, simen, batu-batan dan cat dengan mudah sehingga ke hari ini.
“Oleh itu tidak hairan jika saya kini dilihat begitu teliti dan sentiasa memastikan bahan-bahan yang diguna pakai berada dalam keadaan solid,” jelasnya.
Stigma
Pepatah Melayu ada mengatakan, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Biarpun bergelar seorang wanita, namun itu tidak menjadi penghalang buat Tengku Noor Aini untuk melibatkan diri dalam bidang yang dimonopoli oleh golongan lelaki.
“Mungkin ramai yang tidak tahu, sejak dari kecil lagi saya memang seorang yang sangat lasak.
“Bayangkan jika kanak-kanak perempuan yang lain sibuk bermain pondok-pondok, saya pula lebih suka memenuhkan aktiviti harian dengan memancing, belayar dengan bot dan menunggang kuda mengelilingi ladang kelapa sawit,” jelasnya.
Ujar Tengku Noor Aini, disebabkan itu, dia tidak mempunyai masalah untuk turun padang dan membeli sendiri bahan-bahan mentah untuk dijadikan bahan pembinaan rumah.
“Ketika di London, saya pernah ditegur oleh seorang lelaki apabila melihat saya sibuk memilih simen dan batu-bata.
“Lelaki itu menunjukkan ekspresi muka yang pelik dan terperanjat kerana dia mendakwa, tidak pernah melihat mana-mana wanita membeli bahan-bahan pembinaan sebelum ini,” jelasnya.
Ujarnya, perkara tersebut membuatkan semangatnya untuk mendirikan rumah terus berkobar-kobar sehingga ke hari ini.
Bagaimanapun ujar Tengku Noor Aini, binaan tersebut hanya dilakukan untuk kediaman dia dan keluarga sahaja.
“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk menyewakan salah sebuah rumah di Titiwangsa iaitu The Mahligai untuk kegunaan orang ramai.
“Kediaman tersebut dipenuhi dengan seni ukiran tradisional Melayu. Dari situ saya harap orang ramai didedahkan dengan keindahan di sebalik ukiran tersebut tradisional Melayu,” jelasnya.

MASJID Noor Aini di Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan ini dibina menggunakan seratus peratus kayu jati.
Masjid
Bukan sekadar rumah, percaya atau tidak, wanita ini juga pernah mendirikan Masjid Noor Aini di Pasir Hor, Kelantan pada penghujung tahun 2007.
Lebih menarik apabila masjid tersebut mempunyai keunikan yang tersendiri. Selain dibina seratus peratus menggunakan kayu jati, keseluruhan masjid itu turut diperhalusi dengan seni ukiran tradisional Melayu dari seorang pengukir di Japara, Jawa Tengah, Indonesia.
“Sudah lama saya mengimpikan untuk membina sebuah masjid yang betul-betul menerapkan konsep tradisional Melayu di dalam seni binanya.
“Pada saya, seni ukiran tradisional Melayu itu begitu indah dan tiada tolok bandingnya. Jadi amat rugi jika konsep tersebut tidak diaplikasikan dalam seni bina masjid,” jelasnya.
Untuk itu, Tengku Noor Aini tidak kisah berhabisan wang dan masa demi memastikan masjid tersebut siap didirikan dan dimanfaatkan oleh umat Islam untuk tujuan ibadah.
“Sepanjang tempoh mendirikan masjid tersebut, saya kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kelantan selama setahun.
“Saya berasa puas apabila dapat membeli sendiri bahan-bahan pertukangan selain menyaksikan kontraktor tersebut menyiapkan binaan masjid bahagian demi bahagian,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: