Sunday, November 9, 2014

Keajaiban bayi terkecil



MELINDA STARR GUIDO adalah antara bayi terkecil di dunia.


KANAK-KANAK perempuan itu comel dengan rambut kerintingnya diikat kemas ke belakang. Sebuah patung beruang panda dikelek kemas di bawah ketiaknya dan dibawa ke mana-mana sahaja dia pergi.
Dari luaran, anak kecil itu kelihatan sama seperti kanak-kanak yang sebaya dengannya, namun siapa sangka, ketika dilahirkan lima tahun lalu, beratnya hanya 530 gram (g) dengan saiz sebesar botol susu.
Kini, Voasha J. Kumar, 5, bayi pramatang yang dilahirkan secara normal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 9 Oktober 2009 mempunyai berat 12.5 kilogram.
“Sewaktu dilahirkan, anak perempuan saya ini kecil dan tidak bermaya. Pun begitu, dia kelihatan sangat comel biarpun ketika itu dia sangat kecil.
“Doktor memaklumkan bahawa bayi ini tidak sempurna sifatnya dan tidak akan hidup lama. Namun, keajaiban memang wujud. Sewaktu saya melahirkannya dalam minggu ke-26 kehamilan, dia kelihatan normal dan sehingga kini dia masih bertahan,” kata ibunya Jashila Preya.
Selamatkan zuriat
Saiz Voasha yang terlalu kecil saat dilahirkan membolehkan dia mencatat rekod rasmi sebagai bayi paling kecil pernah dilahirkan di negara ini menerusi Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengiktirafan daripada pihak MBOR itu disampaikan kepada Voasha melalui ibu bapanya, J.K. Michael, 38, dan Jashila, 35, pada 26 Oktober lepas di Hotel Kinta River Front, Ipoh, Perak.
Pengikitrafan itu sekali gus memperbaharui rekod bayi terkecil sebelum ini yang dipegang oleh seorang bayi yang dilahirkan di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur dengan berat 600g pada tahun 2000.
Menurut Jashila, dia mengharungi saat-saat sukar ketika melahirkan Voasha dan hampir putus asa apabila melihat kesengsaraan anak sulungnya yang bertarung nyawa dan berada dalam keadaan kritikal selepas dilahirkan.
Katanya, dia dan suami terpaksa berulang-alik ke Unit Ra­watan Rapi (ICU) HKL kerana Voasha ditahan selama tujuh bulan di sana sebaik sahaja dilahirkan ekoran badan anaknya itu terlalu rapuh.

VOASHA (tengah) mencatat rekod rasmi sebagai bayi paling kecil pernah dilahirkan di negara ini.


“Ketika itu, doktor memberi­tahu bayi yang bakal saya lahir tidak matang dan peratusan hidup sangat rendah dan mungkin tidak dapat diselamatkan.
“Saya diberi pilihan sama ada untuk meneruskan proses bersalin dan berhadapan dengan risiko tinggi atau tidak meneruskannya tetapi saya pilih untuk selamatkan zuriat ini,” katanya sambil memberitahu, berat anaknya menurun kepada 480g selepas sehari dilahirkan.
Voasha ditempatkan dalam inkubator unit rawatan rapi selama lima bulan dan selepas itu dipantau dan diberi rawatan selama dua bulan di wad pediatrik.
Paling kecil
Dalam pada itu, Jashila memberitahu, anaknya itu kini hidup normal melainkan sedikit hiperaktif selain lambat berjalan dan bercakap serta memiliki berat badan yang tidak ideal berban­ding purata kanak-kanak se­usianya.
“Biarpun perkembangan Voasha agak lambat dan saiznya berbeza sedikit berbanding rakan seusianya, namun dia tetap aktif dan cerdas. Saya bangga dengan anak saya kerana dia mempunyai keazaman untuk terus hidup,” katanya.
Menurut Guinness World Records, pemegang rekod bayi pa­ling kecil yang dipercayai hidup di dunia ialah Rumaisa Rahman yang dilahirkan pada minggu ke-25 kehamilan dengan berat kira-kira 260g.
Anak pasangan Mohammed Abdul Rahman dan Mahajabeen Shaik yang dilahirkan secara caesarian pada 19 September 2004 di Pusat Perubatan Universiti Loyola, Amerika Syarikat itu dikatakan mempunyai berat lebih ringan daripada tin minuman ringan.
Rumaisa dilahirkan kembar. Pasangannya, Hiba bagaimanapun lebih besar dengan berat 580g.
Bayi pramatang itu dibenarkan pulang ke rumahnya pada Februari 2005 selepas hampir enam bulan menjalani rawatan intensif di hospital. Dia kini bersekolah di sebuah sekolah di Chicago, AS.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: