Sunday, November 9, 2014

Cuaca, bahasa jadi halangan utama


Kharleez berehat di tepi jalan sebelum meneruskan perjalanannya ke Songkhla, Thailand.


RASA seperti tidak percaya kerana kini saya sudah hampir separuh jalan ke Bangkok, Thailand dalam misi meraih dana untuk Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) sedangkan dua minggu lalu, saya masih berada di rumah, duduk atas sofa sambil menonton televisyen, bergelak ketawa dengan kawan-kawan serta meluangkan masa bersama keluarga tersayang.
Sejurus melepasi sempadan Thailand, ia menjadi titik permulaan pengembaraan sebenar bagi saya kerana di sini segala-galanya bergantung kepada naluri dan jati diri.
Tidak dinafikan bahawa betapa pentingnya untuk mengekalkan semangat tekad dengan mengingatkan diri tentang tujuan saya mengayuh ke China.
Berbasikal merentasi Selatan Thailand terasa lebih menakjubkan kerana selain berpeluang untuk menikmati pemandangan yang jauh lebih luas, perjalanan saya juga dipenuhi dengan kehijauan alam semula jadi, keunikan kuil dan masjid serta keramahan warga Thailand.
Meskipun bahasa merupakan satu halangan utama ketika berada di negara gajah putih tersebut, namun tidak wujud perasaan malu atau segan silu bagi mereka untuk memulakan perbualan dengan saya.
Lebih terharu, mereka yang ditemui sepanjang pengembaraan itu turut menawarkan makanan serta membantu saya untuk mencari tempat penginapan selain memberi arah tunjuk ke lokasi yang ingin dituju.
Hat Yai merupakan destinasi pertama saya untuk berehat pada hujung minggu sebelum meneruskan perjalanan yang jelasnya makin mencabar.
Ternyata benar sekali, hari demi hari selepas meninggalkan Hat Yai, perjalanan saya cukup mencabar disebabkan ketidaktentuan cuaca selain dikejar anjing liar.
Dalam tempoh tersebut, saya mengayuh dalam keadaan lebih berwaspada disebabkan jalan licin ekoran hujan tetapi pada hari-hari berikutnya pula, cuaca yang panas terik pula melambatkan perjalanan saya.
Namun saya cukup bertuah kerana dalam perjalanan dari Songkhla ke Phattalung, saya telah menemui sebuah masjid dan di sanalah penduduk setempat menawarkan tempat penginapan untuk saya berehat.

Kharleez sempat singgah di Coffee Terrace selepas bergerak dari daerah Thung Song, Thailand


Lebih menarik, saya terserempak dengan seorang penunggang motosikal bernama Balan yang berasal dari Kuala Lumpur. Balan dalam perjalanan ke Hua Hin, Thailand dengan menaiki Honda EX5.
Perjalanan saya dari Thong Song ke Surat Thani kembali mencabar disebabkan cuaca buruk dan lantaran itu, saya terpaksa tidur di belakang beberapa stesen minyak disebabkan gagal menemui tempat penginapan, namun senyuman manis yang sentiasa terukir di bibir penduduk setempat yang ramah mesra menguatkan lagi semangat saya untuk mengayuh.
Sepanjang perjalanan, saya selalu terfikir akan senyuman bayi yang dilahirkan dengan masalah klef dan warga klef di Malaysia yang akan mendapat manfaat menerusi dana yang cuba saya raihkan ini. Pada masa yang sama, saya juga teringat yang CLAPAM telah menganjurkan Karnival Klef di Hospital Teluk Intan, Perak bermula Selasa hingga Khamis lalu.
Walaupun teringin sangat untuk mengunjungi karnival tersebut, namun apakah daya saya berada beribu kilometer jauh dari tanah air.
Bagaimanapun, saya tetap teruja apabila dimaklumkan bahawa karnival itu berjalan dengan lancar dan kumpulan pakar turut berjaya menjalankan tiga pembedahan ke atas pesakit klef dengan sempurna.
Saya rasa lebih berbesar hati apabila diberitahu bahawa komuniti di Teluk Intan turut menyokong Kayuh Adventure dan berminat untuk mengetahui perkembangan kayuhan saya dengan lebih lanjut.
Seiring dengan kayuhan ke Bangkok, terlintas dalam fikiran akan niat saya untuk membantu warga klef supaya mereka kembali dengan senyuman manis.
Menerusi Kayuh Adventure, saya berharap dapat membantu lebih ramai warga klef serta keluarga mereka untuk mendapatkan rawatan dan pembedahan menerusi dana yang dikumpul dalam misi ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: