|
PERASAAN Alviana Effendi, 20, begitu teruja tatkala menjejakkan kaki ke Muzium Kucing di Sarawak buat julung-julung kali. Dia bagaikan tidak percaya apabila muzium itu menghimpunkan lebih 4,000 koleksi dari seluruh dunia yang membabitkan pelbagai jenis bahan dan pameran berkaitan haiwan manja itu.
Dia menatap dari satu koleksi ke satu koleksi. Ternyata, dia kagum dengan maklumat yang diperoleh tentang haiwan yang menjadi kesayangan kebanyakan manusia itu.
Bukan itu sahaja, penuntut Universiti Pertanian Bogor, Jawa Barat, Indonesia itu turut terpesona dengan peribahasa yang dikaitkan dengan kucing seperti malu-malu kucing yang juga dijadikan koleksi di muzium tersebut.
Menurut Alviana yang juga ada memelihara seekor kucing, dia memperoleh banyak maklumat mengenai kucing daripada muzium tersebut yang tidak diketahuinya.
Antaranya termasuklah asal usul nama spesies kucing. Misalnya kucing Siam. "Saya difahamkan, kucing Siam berasal dari Siam, Thailand. Kucing ini dikenali melalui warna bulu yang berwarna krim, telinga, mulut, ekor dan kakinya yang berwarna coklat serta mata berbentuk almond," katanya ketika ditemui.
Alviana, pelajar jurusan pertanian menjelaskan, dia mendapat pelbagai maklumat tentang kucing dari seluruh dunia secara percuma dari muzium ini. Lebih menarik katanya, dia memperoleh maklumat mengenai cara-cara penjagaan kucing.
Namun, katanya pengunjung tidak akan bertemu dengan kucing hidup di dalam muzium ini. Ini kerana bahan pameran terdiri daripada patung, ilustrasi dan maklumat bertulis sahaja," katanya yang berada di Sarawak selama lima hari.
Menurut sejarah lisan, bandar raya Kuching mendapat namanya sempena Sungai Kuching yang mengalir di antara Muzium Cina dan Kuil Tua Pek Kong. Difahamkan, sungai ini sering dikunjungi kuching hutan dari belukar berhampiran. Sungai tersebut juga berhampiran dengan sebuah bukit yang banyak ditumbuhi oleh pokok buah mata kucing.
Ada juga pendapat mengatakan James Brooke mengambil nama Kuching dari perkataan 'Cochin' yang bermaksud pelabuhan pada zaman itu.
Kucing awet
Alviana datang ke muzium yang terletak di puncak Bukit Siol, Petra Jaya itu bersama dua rakan senegaranya iaitu Tarmizi Zulkarnain, 21, dan Defi Agustina Agus, 20.
Kesemuanya berkunjung ke Sawarak untuk satu pembentangan kertas kerja di Kuching dan kesempatan itu digunakan untuk melawat Muzium Kucing.
Kepada Tarmizi, dia cukup tertarik dengan kucing yang diawet. Menurutnya, kucing-kucing yang diawet banyak membantunya mengenali spesies kucing-kucing yang jarang ditemui.
"Setiap spesies kucing mempunyai warna, bulu, karakter dan rupa bentuk yang berbeza-beza.
"Pengawetan kucing ini banyak manfaatnya kepada pengunjung untuk melihat ciri-ciri seekor kucing yang tidak pernah kita lihat. Misalnya kucing hutan," katanya.
Pengalaman mengunjungi muzium tersebut kata Tarmizi pasti akan dikongsikan dengan rakan-rakan dan saudara-maranya
"Saya percaya, muzium ini mampu menjadi tarikan utama buat pelancong yang berkunjung ke Sarawak terutama pencinta kucing," ujarnya.
Ada pendapat yang mendakwa Kuching mendapat nama sempena sebatang sungai kecil, Sungai Kuching yang mengalir antara Muzium Cina dan Kuil Tua Pek Kong. Sungai Kuching pula barangkali memperoleh namanya daripada kucing hutan yang kerap mengunjunginya. Sungai tersebut juga berhampiran sebuah bukit yang banyak ditumbuhi pokok buah mata kucing.
Defi Agustina turut senada dengan kedua-dua rakannya apabila melahirkan keterujaannya menjejak kaki ke Muzium Kucing berkenaan.
Katanya, selain sarat dengan maklumat berkaitan kucing, pemandangan di luar muzium yang terletak di puncak Bukit Siol juga membolehkan pengunjung melihat pemandangan indah di sekitar pusat bandar raya Kuching.
"Pengalaman berkunjung ke negeri ini buat pertama kali sangat manis terutama ketika mengunjungi Muzium Kucing. Saya difahamkan Muzium Kucing ini merupakan yang pertama ditubuhkan di dunia," katanya.
Dalam pada itu, menurut kepercayaan penduduk tempatan dan masyarakat Cina, kucing adalah haiwan yang membawa tuah kepada sesiapa yang memeliharanya.
Namun, tidak ramai yang tahu mengenai sejarah, keluarga dan asal usul haiwan yang cukup terkenal dengan sifat manja ini.
Selain itu, tidak banyak tempat khusus bagi orang ramai terutama pencinta haiwan berkenaan untuk mendapatkan maklumat berkenaan kucing.
Koleksi peribadi
Menyedari hakikat itu, kerajaan Sarawak yang ketika itu dipimpin oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud memutuskan untuk membina sebuah muzium untuk kucing pada tahun 1993.
Penolong Kurator Muzium Kucing, Bahtiar Affendi berkata, pada peringkat awal, kesemua koleksi yang terdapat di Muzium Kucing diperoleh dari Muzium Negara, Kuala Lumpur.
Katanya, Muzium Kucing yang diletakkan di bawah pengurusan Dewan Bandaraya Kucing Utara (DBKU) itu akhirnya menjadi kenyataan selepas mereka mendapat tapak sesuai iaitu di aras bawah di Ibu Pejabat DBKU di Bukit Siol, Petra Jaya dan ia dibuka secara rasmi pada November 1993.
"Selain koleksi Muzium Negara, kami juga memperoleh beberapa koleksi peribadi daripada beberapa tokoh terkenal seperti Abdul Taib, bekas Pengarah Muzium Negara, Datuk Shahrom Yeop dan pengumpul koleksi dan pencinta kucing tersohor di Asia kelahiran Shanghai, China mendiang Dr. Betty Jamie Chung. Betty yang kemudiannya berpindah ke Hong Kong keluarga merupakan penulis buku yang bertajuk, Life Recipes From My Mother Timeless Lessons For Living A Contented Life.
"Pada awal pembukaan Muzium Kucing dahulu hanya terdapat 2,000 koleksi dipamerkan dan kini kami mempunyai lebih 4,000 koleksi tidak termasuk stok yang berada di dalam stor kerana ruang pameran yang terhad.
"Kami sentiasa menukar bahan-bahan koleksi dari semasa ke semasa bagi memberi kesegaran kepada bahan-bahan koleksi kami di sini," katanya koleksi paling berharga di muzium tersebut ialah himpunan peribadi Abdul Taib yang terdiri daripada patung-patung kucing yang diperbuat daripada tembaga dan kapur.
Bahtiar yang juga Presiden Kelab Pencinta Kucing Sarawak berkata, di Muzium Kucing terdapat empat ruangan galeri pameran iaitu galeri A, B, C dan D.
Katanya, pelbagai koleksi pameran di muzium itu dapat memberi satu gambaran yang jelas betapa kucing mempunyai keunikan dalam melengkapi kehidupan manusia.
"Pameran ini diharap dapat memaparkan beberapa garis panduan dan pengetahuan terbaharu mengenai kucing untuk difahami serta dihayati oleh masyarakat umum khasnya para pencinta haiwan berkenaan. Sementara itu, Persatuan Pencegahan dan Perlindungan Haiwan Terbiar Sarawak (SSPCA) mendedahkan terdapat sedikit peningkatan dalam jumlah haiwan terbiar terutama kucing di sekitar bandar raya Kuching, Sarawak ketika ini.
Presiden SSPCA, Dona Drury Wee berkata, dalam kaji selidik yang dijalankan pihaknya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menjelaskan, SSPCA kini menempatkan lebih 270 haiwan yang sebahagian besarnya adalah kucing.
Kepada yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai SSPCA, sila hubungi talian 082-618 200 atau e-melkan ke sarawakspca@gmail.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: