Wednesday, June 18, 2014

TV AlHijrah Himpun 20 Program Terbaik Sepanjang Ramadan


Barisan personaliti TV AlHijrah turut hadir pada pelancaran program Ramadan stesen tersebut yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Bersempena kedatangan Ramadan pada akhir bulan ini, stesen TV AlHijrah bakal menampilkan sebanyak 20 program istimewa khas buat penonton saluran berkenaan sepanjang bulan tersebut.

Ketua Pegawai Ekskutif TV AlHijrah, Wan Alias Wan Abdullah berkata, susunan program berkenaan diharap dapat memeriahkan sambutan bulan mulia itu dikalangan umat Islam di negara ini dengan pelbagai informasi bermanfaat.

"Alhamdulillah TV AlHijrah dapat menghimpunkan pelbagai program menarik khusus buat penonton sekaligus dapat memeriahkan kedatangan bulan Ramadan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh umat Islam.

"Program-program yang bakal ditampilkan dipilih khas selain mengekalkan beberapa buah rancangan yang sudah mendapat perhatian penonton setia stesen ini," katanya kepada mStar Online. 

Wan Alias ditemui ketika melancarkan Program Ramadan TV AlHijrah yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.

Dalam pada itu, Wan Alias berkata, pihaknya turut memilih tema iaitu 'Membentuk Akhlak Mulia' dan ia bertepatan dengan kedatangan bulan mulia itu yang mengajak umat Islam berbuat kebaikkan dan beramal soleh.

Ketua Pegawai Ekskutif TV AlHijrah, Wan Alias Wan Abdullah.

Jelas Wan Alias lagi, program yang dipaparkan juga mempunyai hubung-kait dan maksud tersirat bersesuaian dengan tema tersebut untuk renungan dan iktibar penonton.

Sementara itu, Pengurus Besar Perolehan Kandungan dan Pengurusan Siaran TV AlHijrah, Mokhtar Abd Rahman berkata, sebanyak 11 tajuk program daripada luar negara seperti Ramadan Around The World, Stories of Rigteous, Tijan Annour, Muslim Scientistdan Al Khawater dijangka akan mendapat perhatian daripada penonton.

Selain itu kata Mokhtar, pihak TV AlHijrah juga turut menerbitkan beberapa program seperti Ayat Riwayat yang membawa tema Nabi Isa Di Dalam Al Quran bersama hos Mu'adz Dzulkefly.

Program berbahasa Inggeris bertajuk The Truth: Islam In Andalus pula memaparkan kisah menarik sejarah umat Islam di Eropah menampilkan hos terbaharu stesen itu, Zoraya Vadillo Abdul Rahman yang berdarah kacukan Melayu dan Sepanyol.

"Secara keseluruhannya terdapat empat buah program terbaharu yang diterbitkan TV AlHijrah khas buat penonton sempena Ramadan ini manakala beberapa program yang sedia ada seperti 30 Minit Bersama Ustaz Don, Ihya Ramadan dan Ahlul Zikri akan diteruskan dengan pengisian istimewa," katanya. 

Dalam perkembangan sama, bagi mewujudkan suasana santai, pihaknya juga turut menerbitkan beberapa program masakan termasuk Santai Ramadan yang menampilkan juara program Masterchef musim kedua iaitu Zamir bersama Ustaz Taha Omar dalam menyediakan menu istimewa berbuka puasa sambil bercerita tentang kisah teladan Nabi.

Tiga lagi program masakan yang turut disajikan kepada penonton adalah Hidangan Barakah, Practical Tastes dan Bukan Sekadar Resepi.

Manakala menerusi slot Kemasyarakatan, TV AlHijrah turut menampilkan dua program iaitu Kasih Ramadan yang memaparkan tanggungjawab sosial stesen itu dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Cahaya Ikatanku
 yang menghulurkan bantuan kepada keluarga daif dan miskin turut dipaparkan kepada penonton selain menyelitkan elemen tazkirah dan istiqamah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: