Monday, June 16, 2014

Cetusan hati Farid, Nora


FARID KAMIL dan Nora Danish memberikan impak lakonan tersendiri untuk filem Pengantin Malam.


KALAU diikutkan, bukan mudah untuk mengaturkan sesi fotografi bersama dua pelakon popular, Farid Kamil dan Nora Danish lantaran kesibukan jadual kerjaya masing-masing sekarang ini.
Secara kebetulan, mereka bergandingan dalam filem baharu terbitan Metrowealth, Pengantin Malam. Maka, pihak Metrowealth telah membuat satu sesi fotografi khas untuk mempromosikan filem berkenaan.
Selain bercerita tentang lakonan yang ditampilkan dalam filem bergenre seram arahan Eyra Rahman itu, kedua-dua pelakon berkenaan turut ditanya tentang kehidupan peribadi masing-masing.
Menceritakan tentang kehidupan yang dilalui sekarang, Farid menyatakan, kini dia dan isterinya, pelakon Diana Danielle sedang melayari bahtera kehidupan dengan lebih gembira bersama anak mereka, Muhammad yang bakal mencecah usia setahun.
"Apabila melihat Muhammad membesar di depan mata, dia seperti bayangan diri saya sewaktu kecil dahulu. Malah, perkara ini turut diakui oleh ahli keluarga dan saudara mara saya.
"Dahulu, ibu saya pernah menyimpan impian untuk melihat saya membesar sebagai seorang hafiz tetapi tidak kesampaian.
"Jadi, mungkin impian itu akan saya perturunkan kepada anak pula dan saya akan masukkan Muhammad ke sebuah sekolah tahfiz nanti," luah Farid.
Memandangkan usia Muhammad bakal mencecah usia setahun tidak lama lagi, pelakon itu turut ditanya sama ada dia dan isteri sudah bersedia untuk menimang cahaya mata kedua dalam tempoh terdekat ini.
Menurutnya, mereka tidak pernah merancang menambah cahaya mata dalam tempoh tertentu, sebaliknya ia terpulang kepada rezeki dan Farid sendiri memang ingin memiliki cahaya mata.
"Kalau diikutkan, siapa yang tidak mahu mendapat lebih ramai anak, cuma ketika ini Diana terikat dengan kontraknya bersama sebuah produk yang memerlukannya memberikan komitmen dalam tempoh tiga tahun.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu yang membabitkan mereka dengan ibu mentuanya, Norsiah Ramli sehingga timbul dakwaan yang mengatakan dia tidak membenarkan Muhammad bertemu neneknya, Farid lantas menjawab dengan tenang mengenai hal itu.
SUAMI pelakon Diana Daniele ini menjawab persoalan tentang isu ibu mentuanya, Norsiah dengan penuh profesional.


Jelasnya, selama ini dia langsung tidak pernah menghalang kalau Norsiah mahu bertemu dengan Muhammad. Namun, sehingga kini dia dan Diana tidak tahu di mana ibu mentuanya itu berada.
"Saya pernah berbincang dengan Diana mengenai perkara ini dan berpesan supaya dia mencari ibunya. Bagaimanapun, isteri saya itu mengatakan yang dia belum lagi bersedia buat masa ini.
"Kalau diikutkan, saya tidaklah mahu terlalu memaksa atau mendesak Diana. Bagi saya, kalau ada rezeki, ibu mentua saya itu akan tetap berjumpa dengan cucunya suatu hari nanti," ujarnya.
Kelainan
Bercerita tentang perjalanan karier seninya pula, Farid menjelaskan, filem terbaharu lakonannya bersama Nora Danish, Pengantin Malam akan ditayangkan di pawagam pada 19 Jun ini.
Menurutnya, dalam filem tersebut dia membawakan watak seorang suami bernama Razif yang cuba menyembunyikan kisah silam tentang isterinya, Maya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
"Ketika saya mula ditawarkan berlakon dalam filem ini, saya menjangkakan yang Pengantin Malam ini sama seperti filem seram lain. Namun begitu, sangkaan saya ternyata jauh meleset.
"Misalnya, pembikinan filem ini tidak seperti yang saya bayangkan pada peringkat awal. Ternyata, Eyra selaku pengarah telah mengambil pendekatan yang berbeza untuk menghasilkannya menjadi sebuah filem seram yang baik," ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia mengalami sebarang gangguan sepanjang menjalani penggambaran, pelakon itu menyatakan tiada sebarang kejadian pelik yang berlaku terhadap dirinya dan semuanya berjalan dengan lancar.
Terserah jodoh
Berbeza dengan Farid yang kerap ditanya tentang kehidupan rumah tangganya sekarang, Nora Danish pula ditebak mengenai hubungan 'istimewa' dirinya dengan Mohamed Nedim Mohamed Nazri yang juga anak seorang menteri.
Jelas Nora, buat masa ini dia tidak mahu terlalu terburu-buru ke arah memikirkan untuk mendirikan rumah tangga, malah tidak kisah andai kata jodohnya bukan dengan Nedim.
"Kalau ditanya tentang ikatan perkahwinan, saya rasa biarlah hati kami sama-sama terbuka terlebih dahulu.
DUA pelakon berkaliber ini mengalami pengalaman menarik ketika berlakon dalam filem Pengantin Malam yang merupakan sebuah filem seram.


"Secara jujurnya, saya serahkan kepada jodoh dan tidak kecewa sekiranya jodoh Nedim dengan wanita lain.
"Tidak dinafikan yang kami pernah berbincang mengenai perkahwinan, namun tidaklah terlalu serius.
"Lagipun, keluarga saya juga tidak mendesak dan mereka mahu yang terbaik untuk diri saya," jelasnya dengan lebih terbuka.
Biarpun keinginan untuk kembali mendirikan rumah tangga itu memang ada, namun kegagalan dalam perkahwinan yang terdahulu membuatkan dirinya kini lebih berhati-hati.
Sekat pengikut
Ditanya mengenai perasaannya apabila dinobatkan sebagai artis Malaysia yang mempunyai paling ramai pengikut Instagram iaitu sebanyak 837,000 orang, Nora tenang memberikan jawapan.
Mengakui tidak menjangkakan perkara tersebut, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Puteri itu meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir pengikutnya yang menulis komen negatif.
"Saya sangat kesal kerana kebanyakan komen yang ditulis ada yang berbaur lucah dan sudah tentu ia sangat memalukan. Lebih mengecewakan lagi, komen itu ditulis oleh golongan remaja lelaki yang masih berusia belasan tahun.
"Memandangkan tidak mahu Instagram peribadi saya terus disalah guna oleh individu yang tidak bertanggungjawab, saya ambil keputusan untuk menyekat 5,000 pengikut," tegasnya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang pembabitannya dalam filem Pengantin Malam pula, kata Nora, dia membawakan watak sebagai seorang isteri bernama Maya yang diganggu dengan situasi aneh.
Ujarnya, biarpun diberi watak sedemi- kian, namun dia bersyukur kerana sepanjang penggambaran berlangsung, tiada sebarang perkara pelik yang terjadi ke atas dirinya.
"Semasa penggambaran, para pelakon dan kru akan beramai-ramai bersembahyang berjemaah apabila masuknya waktu solat. Jadi, itu yang membuatkan kami berasa lebih dilindungi sehingga semuanya berjalan dengan lancar," ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: