|
SETIAP kali berada di lokasi penggambaran untuk melakukan aksi lagak ngeri, Ayez Shaukat Fonseka, 26, berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya.
Kekuatan mental dan fizikal dipastikan seiring bagi membolehkan beliau melakukan aksi berani tanpa sebarang masalah.
Baginya, filem-filem aksi tempatan seperti Langgar, Castello, Juvana dan seumpamanya tentu tidak akan berjaya tanpa kehadiran pelagak ngeri seperti beliau yang menjadi tulang belakang untuk menghidupkan beberapa babak dalam filem tersebut.
Pelagak ngeri merupakan individu yang melakonkan aksi berbahaya dan berisiko tinggi bagi melengkapkan keperluan babak tertentu dalam plot filem atau drama mengikut kehendak dan imaginasi pengarah. Terjun atau jatuh dari tempat tinggi, dilanggar kenderaan, tubuh dibakar atau melompat dari satu bangunan ke bangunan lain merupakan antara aksi berbahaya yang menjadi asam garam golongan tersebut.
Menurut Ayez Shaukat yang merupakan Pengarah dan Koreografer Aksi Laksamana Stunt Team Sdn. Bhd. (LST), semua risiko itu perlu ditanggung sendiri tanpa perlindungan insurans peribadi.
"Kebanyakan syarikat insurans tidak beri perlindungan insurans kepada pelagak ngeri kerana bekerja dalam keadaan berisiko tinggi.
"Kerana minat yang mendalam terhadap bidang ini (aksi ngeri), saya mengatasi rasa takut ketika bekerja .
"Kemalangan boleh dielak dengan melakukan latihan intensif selama beberapa hari bagi meminimumkan semua risiko yang mungkin wujud sebelum penggambaran sebenar," ujarnya.
Mengimbau pengalaman pertama sebagai pelagak ngeri, Ayez Shaukat berkata, dia melakonkan watak hantu yang terbang dari sebuah pokok ke pokok lain menggunakan kabel yang diikat pada badan bagi memenuhi keperluan filem The Passenger arahan Khabir Bhatia pada tahun 2006.
Kejayaannya menyempurnakan aksi tersebut telah menjadi pemangkin bagi anak muda tersebut untuk terus menceburi bidang itu dengan lebih serius.
"Pada mulanya, saya menawarkan diri untuk mencuba selepas yakin dapat melakukan babak itu dengan selamat ekoran langkah-langkah keselamatan yang diambil.
"Walaupun percubaan pertama gagal dan menyebabkan saya jatuh dan terseret di atas tanah sejauh beberapa meter, saya berasa seronok dan memperbaiki langkah. Aksi itu berjaya disempurnakan selepas diulang sekali lagi," katanya semasa ditemui di Studio LST yang terletak di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai guru aksi beliau, Ayez Shaukat memberitahu, dia banyak mendapat tunjuk ajar daripada pelagak ngeri berpengalaman, Rubindran Nair sejak memulakan karier pada 2006.
Turut menimba ilmu daripada beberapa pelagak ngeri berpengalaman yang lain, beliau semakin aktif melibatkan diri dalam produksi tempatan seperti filem Kongsi, Bini-Biniku Gangster, Taikun, Budak Pailang, KL Gangster 2, Kriptik, Lu Gua Bro, Apokalips X dan Sniper.
Pengalaman kukuh yang diperoleh telah mendorong anak muda itu mengasaskan LST pada tahun lalu.
Menurutnya, ia bertujuan menyediakan lebih ramai pelagak ngeri untuk memenuhi kehendak industri perfileman tempatan yang pesat berkembang.
"Pada masa sama, kami di LST mengadakan kerjasama erat dengan Australian Stunt Academy dan Persekutuan Gusti Malaysia untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran," kata beliau.
Mengulas mengenai kepuasan sebenar yang ingin dicapai dalam bidang itu, Ayez Shaukat berkata, dia mengimpikan peluang beraksi bersama idolanya iaitu pelakon terkemuka Jackie Chan, Sammo Hung, Donnie Yen, Datuk Michelle Yeoh dan pelakon dari Thailand, Tony Jaa yang melakonkan lagak ngeri mereka sendiri.
Ketika ditanya mengenai persepsi keluarga terhadap kerjayanya, Ayez Shaukat berkata, kedua-dua ibu bapa beliau iaitu Sofiah Shauket Md. Hashim, 65, dan Mohd. Farid Abdullah, 75, serta isterinya, Najiyah A. Rahim semakin menerima risiko harian yang beliau hadapi.
Petua pendekar
Dalam pada itu, Riki Rikando Idris, 25, pula berkata, penglibatannya dalam bidang tersebut bukan untuk menempah nama dalam industri perfileman.
"Biasanya, pelagak ngeri tidak dikenali walaupun memainkan peranan penting untuk menghidupkan filem.
"Pelagak ngeri sering mengambil alih peranan pelakon utama untuk melakonkan aksi berisiko dan membuatkan babak itu hebat di mata penonton," ujarnya.
Riki Rikando menambah, pelagak ngeri kebiasaannya mencipta nama dalam kalangan penggiat industri perfileman, tetapi tidak popular di dunia luar.
"Untuk mencipta nama dalam industri, pelagak ngeri wajar menjaga disiplin supaya orang lain senang bekerja dengan kita," katanya yang kini terlibat dalam pembikinan filem Juvana 2 bersama Ayez Shaukat.
Berkongsi rahsia, dia memberitahu, amalan para pendekar Melayu sebelum keluar bertempur di medan medan peperangan sering menjadi ikutan dirinya sebelum bertugas.
Katanya, amalan itu boleh membantu mempersiapkan diri sebelum terlibat dalam sebarang aksi lasak.
Ia termasuk merasa lelangit dalam mulut dengan menggunakan hujung lidah sama ada berasa kebas atau geli bagi mengetahui tahap kesediaan tubuh.
"Kalau lelangit terasa geli, ia bermaksud tubuh kita berada dalam keadaan normal dan bersedia menghadapi bahaya.
"Tetapi kalau lelangit berasa kebas, adalah lebih baik tidak melakukan perkara berbahaya kerana ia menandakan kita mengalami tekanan sehingga boleh mengganggu daya tumpuan," jelas beliau.
Aspek keselamatan
Menurut Pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam, pelagak ngeri diperlukan untuk melengkapkan babak-babak yang tidak mampu dilakukan pelakon kerana ketiadaan kemahiran atau berisiko tinggi.
"Bilangan pelagak ngeri yang diperlukan bagi sesuatu babak juga bergantung kepada kehendak plot. Ada kalanya kita hanya memerlukan seorang, malah ada juga sehingga 10 orang," katanya ketika dihubungi Kosmo!
Yusof menambah, bagi filem KL Gangster 2 dan Abang Long Fadil contohnya, ramai pelagak ngeri digunakan terutama dalam babak pergaduhan.
Ujar beliau, syarikat penerbitannya, Skop Production Sdn. Bhd. (Skop Production) juga sentiasa mengutamakan keselamatan para pelagak ngeri sebelum melakukan penggambaran.
"Ini termasuk menimbang berat badan mereka terlebih dahulu supaya sesuai dengan kekuatan kabel yang akan digunakan bagi mengikat tubuh mereka.
"Ini bertujuan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.
Yusof juga menegaskan, semua individu yang terlibat dengan Skop Production termasuk krew dan pelagak ngeri diberi per lindungan insurans sepanjang menjalani penggambaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: