Sunday, June 29, 2014

Selawat suburkan pokok kurma




SAAT laungan azan Maghrib berkumandang dari surau berdekatan menandakan masuk waktu berbuka puasa, Mamat Abdul Rahman segera menjamah buah kurma yang dihidangkan isterinya.
Sama seperti umat Islam lain, lelaki berumur 76 tahun itu memilih buah kurma sebagai sajian utama ketika iftar bagi mengalas perut sebelum menjamah hidangan lain.
Menariknya, buah itu dituai daripada pokok kurma yang ditanam sendiri di rumahnya di Kampung Tapang, Kota Bharu, Kelantan.
Menurut Mamat, beliau tidak menyangka pokok kurma yang ditanamnya kira-kira lapan tahun lalu itu berbuah lebat menjelang Ramadan kali ini.
Katanya, beliau begitu teruja melihat pohon tamar tersebut berbuah lebat memandangkan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Anak pokok tersebut dibeli oleh anak saya di Gua Musang dengan harga RM25. Masa mula-mula tanam, saya tidak yakin pokok itu boleh berbuah di Malaysia.
"Tiga tahun kebelakangan ini, pokok tersebut sudah berbuah tetapi kurang lebat. Buahnya pula kecil selain mempunyai rasa kelat. Kali ini, boleh dikatakan hampir semua tandannya berbuah lebat dan boleh dimakan," ujarnya ketika ditemui kru Jurnal di rumahnya baru-baru ini.
Selain kediaman warga emas itu, beberapa batang pokok kurma yang ditanam di kawasan Bulatan Tuan Padang atau Bulatan Jam Besar di Kota Bharu turut mengeluarkan buah yang lebat sehingga mencuri tumpuan orang ramai.
POKOK kurma yang Mamat tanam di rumahnya di Kampung Tapang, Kota Bharu, Kelantan mengeluarkan buah yang lebat.


Mercu tanda
Menurut Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin, pokok kurma yang ditanam sekitar Disember 2008 itu bertujuan menaik taraf landskap pusat bandar tersebut.
Tambah Rosnazli, pihaknya menanam sebanyak 37 batang pokok kurma dan 10 daripadanya berbuah tahun ini.
"Pokok ini sebenarnya mengeluarkan buah sejak tahun lepas, namun tidaklah sebanyak seperti tahun ini," ujarnya.
Gara-gara fenomena baharu yang melanda negeri Serambi Mekah itu, ramai yang mengambil peluang untuk bergambar dengan pokok kurma tersebut.
Manakan tidak, tanaman itu lazimnya dikaitkan dengan negara beriklim panas dan kering di Asia Barat seperti Arab Saudi, Mesir, Turki, Iran dan Iraq.
Menyedari potensi kurma sebagai tanaman komersial, kerajaan negeri Kelantan berhasrat memperkenalkan pokok tersebut sebagai sumber ekonomi baharu bagi petani di negeri berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia akan menjadi tanaman baharu yang bakal menyumbang kepada pendapatan petani.
Menurutnya, projek perintis tanaman berkenaan telah diusahakan di tanah seluas 8,000 meter persegi di Limbongan, Pasir Puteh sejak tiga tahun lalu dan kini mula mengeluarkan hasil.

RASA kurma yang manis sesuai dijadikan hidangan pencuci mulut.


"Benih anak pokok diambil dari Thailand. Saya yakin apabila pokok kurma itu mula berbuah, ia akan semakin mudah mengeluarkan hasil selepas ini," katanya.
Bagi pengusaha tapak semaian pokok kurma di RPT Pengkalan Pegoh Seberang, Ipoh, Perak, Mohd. Syful Rizan Abd. Manap, pokok kurma mampu tumbuh subur dalam apa jua keadaan tanah melainkan tanah liat.
Beliau yang menjalankan tanaman kurma sejak tujuh tahun lalu itu berpendapat, cuaca panas dengan taburan hujan sederhana menjadikan iklim negara ini sesuai untuk tumbuhan oasis itu.
Cerita Mohd. Syful, beliau menjalankan usaha penanaman pokok kurma menerusi pelbagai teknik percambahan biji kurma bagi mendapatkan benih yang sesuai.
"Melalui pelbagai eksperimen yang dilakukan, saya akhirnya berjaya mencambahkan biji kurma dengan campuran kandungan tanah merah, tanah gambut dan pasir selain menggunakan baja organik," katanya.
Bertutur lanjut, Mohd. Syful memberitahu, pokok kurma tidak berbuah jika ditanam secara bersendirian dan perlu ditanam secara berkelompok memandangkan tanaman itu terdiri daripada pokok jantan dan betina.
"Bunga daripada pokok berlainan jantina ini akan mengeluarkan debunga yang berbeza apabila mencapai umur antara dua hingga tiga tahun.
Pendebungaan
Menariknya, kata jejaka berumur 32 tahun itu, untuk menghasilkan buah kurma yang berkualiti, ia mesti 'disenyawakan' oleh tangan manusia dan bukannya menerusi agen pendebungaan lain seperti angin dan haiwan.
Katanya, seorang petugas perlu memanjat pokok kurma betina dan 'mengahwinkan' debunga pokok itu dengan debunga jantan menerusi teknik sapuan tangan.
BUAH tamar memberi kelainan kepada rasa minuman.


"Tandan bunga betina akan ditepuk-tepuk dan disapu dengan beberapa ranting bunga jantan. Menerusi cara ini, debunga betina akan disenyawakan secara semula jadi.
"Tidak banyak debunga jantan yang diperlukan untuk proses persenyawaan.
"Malah, bunganya boleh disimpan di tempat yang kering untuk kegunaan berulang kali selagi debunganya masih ada," jelasnya sambil menjelaskan, debunga pada satu dahan pohon kurma jantan boleh digunakan untuk proses pendebungaan kepada lebih 50 batang pokok kurma betina.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bunga jantan mengeluarkan debunga yang lebih halus berbanding betina.
Pohon tamar jantan lebih tinggi dan berdaun keras berbanding pohon betina yang lebih rendah dan mempunyai daun yang merendang ke tanah.
"Dari segi bunga pula, pokok jantan menghasilkan bunga yang lebih mekar seperti rupa bunga kelapa dengan bau seakan-akan air mani manakala bunga betina hanya mengeluarkan putik-putik kecil," ulasnya.
Mempunyai jangka hayat sehingga 90 tahun, pokok kurma boleh berbuah selepas lima hingga tujuh tahun dialih tanam daripada beg poli ke tanah lapang.
"Saya lazimnya akan menggunakan kaedah berkomunikasi dengan pokok selain kerap berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW bagi memastikan pokok bertambah subur.
Pencuci mulut
"Bagi mendapatkan hasil yang lebih berkualiti, tanaman kurma ini juga diberi suplemen daripada gabungan madu dari negara Yemen, serbuk habbatus sauda, pati buah delima, garam bukit dan air zamzam menerusi kaedah semburan.
"Orang ramai juga tidak digalakkan menggunakan baja kimia dan boleh menggantikannya dengan baja organik tetapi pastikan ia bukan berasaskan najis binatang," jelas panjang lebar.
Selain dimakan begitu sahaja, rasa kurma yang manis sesuai dijadikan bahan dalam masakan.
Menurut Ketua Jabatan Pengurusan dan Perkhidmatan Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Muhammad Shahrim Ab. Karim, menu kek, biskut serta puding kurma adalah antara juadah yang semakin popular di negara ini.
"Kurma kering boleh dipelbagaikan dengan membuang bijinya dan digantikan dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi menambah keenakan. Selain itu, ia juga sesuai dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim," katanya.
Ada juga yang menggunakan buah itu dalam masakan seperti ayam masak merah dan daging masak hitam bagi memberi kelainan kepada rasa masakan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: