SEMPENA Ramadan ini, saluran televisyen tempatan turut mengubah format bahan siaran untuk membangkitkan kemanisan menjalani ibadah puasa.
Sebanyak lebih 100 program pelbagai kategori bakal menemui penonton. Hidangan program kerohanian berbentuk drama, dokumentari mahupun jurnal keagamaan menjadi resipi terbaik untuk dikongsi.
Berikut sebahagian daripada kompilasi program menarik yang perlu ditanda dalam diari aktiviti harian masing-masing sebagai rancangan wajib tonton bulan ini:
Tanah Kubur Istimewa Ramadan (Astro Oasis)
Waktu siaran: Setiap Jumaat pukul 7.30 malam.
Sinopsis: Buah tangan Rashid Sibir, Tanah Kubur Istimewa Ramadan masih memaparkan kelestarian kehidupan seorang penggali kubur bernama Tok Adi. Dalam musim terbaru ini, pelbagai perkara pelik berlaku pada mayat yang diurusnya. Semua balasan itu bertujuan untuk memberi pengajaran kepada penonton.
Pelakon: Nasir Bilal Khan, Norkhiriah, Raikal, Azhan Rani dan Raja Ilya.
Masihkah Ada Ramadan (Astro Prima)
Waktu Siaran: Bermula 2 Julai, setiap Rabu pukul 10 malam.
Sinopsis: Masihkah Ada Ramadan bercerita tentang Dali, seorang kerani yang dipecat sehari sebelum bulan Ramadan. Dali tidak berani memberitahu isterinya, Mek Nab tentang perkara itu. Meskipun tidak lagi bekerja, namun Dali tetap berpakaian kemas dan keluar bekerja. Tetapi kali ini Dali bekerja sebagai pekerja kontrak dan menerima upah setiap hari demi memenuhi keperluan hidup.
Pelakon: Mat Over, Normah Damanhuri, Neelofa, Josiah Hogan dan Izzue Islam.
Taubatan Nasuha (Astro Ria)
Waktu Siaran: 26 Julai pukul 10 malam.
Sinopsis: Berkisar tentang Anum yang belajar dalam darjah satu tidak dapat menerima kenyataan tentang kematian neneknya. Perkara tersebut membuatkan ayahnya, Husni berasa bimbang. Pada satu hari, Husni terjumpa seorang pelacur yang mempunyai wajah hampir seiras dengan ibunya. Tanpa berfikir panjang Husni menawarkan Sally untuk menyamar menjadi nenek kepada Anum.
Pelakon: Normah Damanhuri, Puteri Balkish dan Ryzal Jaafar.
Perempuan Lindungan Kaabah (Astro First)
Waktu Siaran: 12 Julai pukul 10 malam.
Sinopsis: Hanan dihormati kerana mengamalkan cara hidup Islam. Wanita itu dipaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak mencintainya serta mengamalkan gaya hidup bebas. Biarpun tidak dilayan dengan baik, tapi Hanan tetap melayan suaminya itu. Dia berharap, suaminya akan menyayanginya suatu hari nanti.
Pelakon: Shaarnaz Ahmad, Diana Danielle dan Keith Foo.
Azam Ramadan Su (TV3)
Waktu Siaran: Bermula 23 Jun, setiap Isnin hingga Khamis pukul 12.30 tengah hari.
Sinopsis: Mengisahkan seorang ibu berkerjaya, Su yang berazam mahu memasak untuk anak-anaknya pada bulan Ramadan. Su dikurniakan dua cahaya mata, Mukhriz dan Munirah hasil perkahwinannya dengan Lukman. Sebelum ini, semua urusan di rumah diuruskan orang gajinya. Su juga lebih suka membawa keluarga makan di luar ataupun membeli makanan di kedai.
Pelakon: Rita Rudaini, Faizal Hussein, Mior Adha Najmi, Nur Qistina Raisah, Kismah Johar, Kartina Aziz, Siti Chubby dan Chef Azli.
Ramadan Jangan Pergi (TV3)
Waktu Siaran: Bermula 25 Jun, setiap Selasa hingga Khamis pukul 10 malam.
Sinopsis: Farah berkahwin dengan Johan pada usia muda dan dikurniakan seorang anak lelaki, Aidil. Hubungan mereka renggang sejak Johan berkawan rapat dengan Nadia. Masalah lebih meruncing berikutan ibu Johan, Mariana tidak menyukai Farah kerana beranggapan dia tidak sepadan dengan anaknya.
Menjelang bulan Ramadan, Farah terkejut apabila mendapat tahu Johan mahu melamar Nadia. Pada mulanya, Farah menyangka akan dimadukan, tetapi sebaliknya. Johan mahu menceraikannya. Farah sedar, mungkin itu balasan yang harus diterima kerana mengingkari nasihat ibunya, Rohani yang tidak merestui perkahwinan Farah dengan Johan kerana sikap Johan yang biadap.
Pelakon: Siti Saleha, Fir Rahman dan Lufya.
|
Ampunkan Dosaku Mak (TV9)
Waktu Siaran: Bermula 3 Julai, setiap hari Khamis pukul 10.30 malam.
Sinopsis: Mengisahkan kepayahan seorang ibu bernama Suhana yang membesarkan anak perempuannya, Qistina. Mujurlah Suhana dibantu oleh Hassan, seorang duda. Hassan turut membiayai kos pembelajaran Qistina di universiti sehingga dia berjaya menjadi pelajar terbaik. Namun, Qistina terjerumus ke dunia pelacuran gara-gara tersalah pilih kawan.
Pelakon: Fauziah Ghous dan Heryanto Hassan.
Antara Dua (TV9)
Waktu Siaran: Bermula 10 Julai pukul 10.30 malam.
Sinopsis: Nina seorang pereka pakaian di sebuah butik terkenal di ibu kota. Biarpun berjaya memiliki rumah dan kereta, namun Nina gagal dalam mencari kekasih sejati. Pada satu malam dia melakar wajah lelaki idamannya. Tanpa diduga, lelaki yang dilakar itu sememangnya wujud.
Pelakon: Misha Omar dan Zul Ariffin.
Makmal Masak (TV9)
Waktu Siaran: Bermula 29 Jun setiap hari Ahad pukul 6 petang.
Sinopsis: Buat pertama kalinya bersempena kehadiran Ramadan, TV9 tampil dengan program masakan untuk peminat slot Bananana. Menariknya, bintang Idola Kecil akan berganding bahu bersama cef popular, Chef Nik Michael dalam menyajikan pelbagai resipi baharu dan istimewa.
Ana, Aku dan Aiman (RTM2)
Waktu Siaran: Bermula 2 Julai, setiap Rabu hingga Jumaat pukul 6 petang.
Sinopsis: Sebuah naskhah kekeluargaan memaparkan cabaran seorang anak orang kenamaan yang berkelakuan liar tetapi cuba mengubah hidup ke arah melakukan kebaikan.
Pelakon: Norman Hakim, Diana Amir, Shafie Naswip dan Imam Muda Naufal.
Insaf (RTM2)
Waktu Siaran: Bermula 22 Julai pukul 10 malam.
Sinopsis: Kisah perjalanan hidup dua adik-beradik yang terpaksa berpisah selepas kematian kedua ibu bapa mereka. Setelah adiknya dewasa, si anak kedua nekad mahu mencari semula abang kandungnya.
Pelakon: Remy Ishak, Fizz Fairuz, Anis Al Idrus dan Imam Muda Naufal.
Ketuk-Ketuk Ramadan (RTM1)
Waktu Siaran: Bermula 29 Jun, setiap hari pukul 12.30 tengah hari.
Sinopsis: Memasuki musim kelapan, Ketuk-Ketuk Ramadan bakal menyajikan pelbagai resipi istimewa dan terkini. Program ini menampilkan ramai artis popular antaranya Hisyam Hamid, Mark Adam, Zara Zya, dan Anzalna Nasir.
Ramadan Around the World (TV AlHijrah)
Waktu Siaran: Bermula 29 Jun, setiap hari Isnin hingga Ahad pukul 8.30 malam.
Sinopsis: Ramadan Around the World memaparkan cara Ramadan disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Antara negara yang dilawati ialah Lebanon, India, Amerika Syarikat dan Uzbekistan.
Ihya' Ramadan (TV AlHijrah)
Waktu Siaran: Bermula 29 Jun, setiap hari Isnin hingga Ahad pukul 5.05 petang.
Sinopsis: Bersiaran secara langsung, Ihya' Ramadan bakal mengisi petang Ramadan penonton dengan pendedahan informatif terhadap tajuk-tajuk yang menjurus kepada penyelesaian terhadap segala persoalan hukum-hakam ibadah pada bulan Ramadan. Penonton berpeluang untuk berkomunikasi secara dua hala menggunakan telefon, Skype, emel dan Facebook.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: