Friday, June 6, 2014

Redah laut demi sesuap nasi




BELUM kering embun di luar, kaki kecil berselipar melangkah pantas sambil mencantas anak-anak rumput yang masih basah ketika menuju ke jeti sungai Kampung Limpaki, Limbang.
Sambil memegang lampu suluh, anak kecil ini menyuluh ke arah tangan kasar ayahnya yang cuba membuka ikatan tali bot sebelum mengangkat beberapa peralatan menangkap ikan ke dalamnya.
Meskipun cuaca masih sejuk, namun kaki kecil itu terus melangkah masuk ke dalam air sungai. Dia mengerah sedikit tenaganya untuk memanjat di haluan bot sebelum memulakan perjalanan ke laut seperti lazimnya.
"Itu kisah dan pengalaman lima dekad lalu. Masih kecil lagi tetapi selalu teman ayah turun ke laut untuk menangkap udang dan ikan.
"Selepas berpuluh-puluh tahun, pekerjaan ini masih lagi dilakukan kerana itu sahaja mata pencarian saya dan majoriti penduduk di Kampung Limpaki ini. Laut sudah sebati dalam kehidupan saya," kata Rusli Ibrahim, 64.
Mengimbas pengalaman awal terlibat dengan pekerjaan sebagai nelayan, Rusli ketika itu baru sahaja berusia belasan tahun, namun sering membantu ayahnya seawal pagi turun ke laut.
Walaupun masih kecil, Rusli tidak pernah rasa takut dilambung ombak, sebaliknya berasa seronok dapat menangkap ikan mahupun udang bersama ayahnya.
Saat paling seronok sudah tentunya ketika mengangkat jaring yang penuh dengan hasil ikan dan udang yang kemudiannya ditarik satu persatu untuk dimasukkan ke dalam tong penyimpan hasil tangkapan.

SEORANG nelayan mengangkat peralatan menangkap ikan di kawasan jeti PNK Sri Muara di Kampung Muara Tebas di Kuching, Sarawak.


Perjalanan
Jika bernasib baik, hasil tangkapan mampu mencecah 70 hingga 100 kilogram. Ia akan membuat riak wajah ayah dan dirinya sendiri tersenyum gembira dan puas hati kerana ada hasil yang dibawa pulang.
"Biasanya saya dan ayah akan turun ke laut seawal pukul 5 pagi dengan menggunakan sebuah bot kecil dan mengharungi perjalanan selama 15 hingga 30 minit untuk tiba ke tempat yang sering kita menahan pukat.
"Kita akan balik ke darat pada waktu tengah hari. Hasil tangkapan itu akan dijual kepada pemborong di Pasar Limbang, selebihnya akan dibawa pulang untuk makan sendiri," ujarnya.
Jerih perih menjadi seorang nelayan begitu dirasai Rusli. Atas alasan itu, dia tidak mahu anak-anaknya mengikut jejak langkah untuk mewarisi pekerjaan tersebut.
Bagaimanapun, pepatah Melayu ada menyebut, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Kini cucu sulungnya yang hanya berusia tujuh tahun menunjukkan minat dan sering mengikutnya ke laut.
Hejeri Amijan, tidak kisah untuk bangun seawal pagi semata-mata untuk mengikut datuknya itu ke laut, walaupun terpaksa berembun dan berpanas di tengah lautan.
Malah, anak kecil itu tidak mengenal erti takut apabila duduk bersahaja di haluan bot datuknya meskipun dia masih tidak tahu berenang bahkan tangan kecilnya lincah ketika membantu mengangkat jaring.
"Melihat kepada Hejeri yang seronok mengangkat jaring mengingatkan saya sendiri ketika usia itu. Walaupun Hejeri suka turun ke laut bersama saya, namun dia hanya dibenarkan ikut jika musim cuti sekolah.

JETI Persatuan Nelayan Kawasan Sri Muara menjadi lokasi pendaratan ikan oleh para nelayan di Kampung Muara Tebas, Kuching, Sarawak.


"Hajeri tidak tahu berenang, jadi saya akan mengikat pinggangnya dengan tali agar tidak terlepas daripada saya jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini," jelas Rusli.
Sementara itu, Hejeri memberitahu, dia minat turun ke laut kerana suka menangkap ikan walaupun dia belum mengerti apa kehidupan dan cabaran di laut.
Hakikatnya, hampir semua penduduk tempatan di bahagian Limbang terutamanya yang berhampiran dengan sungai dan laut memulakan kerjaya sebagai nelayan sejak zaman kecil.
Selepas menempuh perubahan zaman, ramai anak tempatan yang sudah berjaya dalam pelajaran dan bekerjaya selain menjadi nelayan.
Bagaimanapun kemahiran turun ke laut menangkap ikan masih wujud. Jadi, tidak hairan ada antara mereka pada hujung minggu atau musim cuti, kumpulan ini akan menjadi nelayan sambilan sama ada untuk menambah pendapatan ataupun makan sendiri.
Bagi penduduk lama Kampung Petiambun, Limbang, Nasir Akit, 49, pekerjaan itu masih menjadi sumber pendapatan utamanya.
Menjadi nelayan sejak kecil, Nasir akan ke laut dari Sungai Sentaba dengan mengambil masa 15 minit sahaja. Kadang-kadang Nasir bermalam di laut jika hasil yang diperoleh masih kurang. Adakalanya dia keluar seawal pagi, dan kembali pada waktu petang jika hasil tangkapan banyak.
"Hasil tangkapan akan dijual kepada pemborong di Pasar Limbang. Biasanya saya memperoleh ikan seperti siakap, kembura, belanak, bawal putih, siakap merah, sembilang, tahai dan pelbagai jenis lagi.
"Jika bernasib baik, saya mampu memperoleh sehingga 70 kilogram hasil tangkapan dengan nilai jualan RM200 hingga RM300 bergantung kepada jenis ikan manakala kos minyak RM30 untuk sekali turun ke laut," ujarnya.
Menceritakan pekerjaannya itu, Nasir memberitahu, jika dahulu dia mampu memperoleh hasil yang banyak, namun kini tangkapan semakin berkurangan dari tahun ke tahun.
Bagaimanapun, Nasir menyatakan, para nelayan pada masa sekarang bernasib baik kerana kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) banyak memberi bantuan kepada golongan tersebut.
Bantuan seperti subsidi minyak, elaun sara hidup bulanan pada kadar RM200, menyediakan jeti, insentif mendaratkan ikan, bantuan peralatan menangkap ikan dan bantuan-bantuan lain ternyata banyak membantu kehidupan nelayan terutamanya pada musim tengkujuh.
Subsidi
"Dahulu, apabila tidak ke laut, para nelayan akan gelisah kerana kita akan putus sumber pendapatan, namun kini dengan adanya bantuan oleh LKIM, nelayan mampu menarik nafas lega.
"Pemberian subsidi minyak kepada nelayan memang banyak membantu kami mengurangkan kos untuk ke laut sekali gus meringankan beban sebelum ini," katanya ketika ditemui.
Usahawan dan nelayan dari Kampung Seberang Kedai, Limbang, Brahim Hassan, 47, memberitahu, dahulu dia hanya seorang nelayan yang hanya bergantung kepada hasil tangkapan udang dan ikan.
Namun, Brahim mula memikirkan bahawa dia tidak boleh hanya bergantung kepada pendapatan dengan hasil tangkapan. Justeru, dia berkeputusan untuk memulakan pembuatan keropok udang memandangkan hasil tangkapannya kadangkala berlebihan dan boleh digunakan untuk tujuan itu.
"Kadangkala, hasil tangkapan saya begitu banyak, maka adalah lebih baik jika saya gunakannya untuk menghasilkan keropok udang memandangkan isteri saya ada kemahiran untuk membuatnya.
"Pada mulanya, kami menghasilkan keropok udang menggunakan kaedah tradisional sebelum mendapat bantuan pinjaman untuk membeli mesin dan latihan daripada LKIM," katanya.
Kini, produk yang dihasilkan Brahim itu bukan sahaja mendapat permintaan daripada penduduk tempatan bahkan ada yang dijual hingga ke negara jiran iaitu Brunei.
Kata Brahim, selain khidmat nasihat daripada LKIM dalam penghasilan produk keropok udang, dia juga mendapat bantuan serta resipi hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Bagi Mushidi Tapa, 36, pula, dia mengakui bantuan daripada LKIM banyak membantu nelayan sepertinya di Kampung Seberang Kedai.
Sebelum ada bantuan seperti subsidi minyak, Mushidi terpaksa membelanjakan RM80 hingga RM100 untuk kos minyak sahaja sedangkan pendapatannya tidak seberapa.
Dengan bantuan LKIM, kini kos minyak hanya RM30 hingga RM35 sahaja dan sudah tentu ia banyak membantu para nelayan turun ke laut.
Jika tidak turun ke laut disebabkan hujan atau musim tengkujuh, Mushidi tidak berasa bimbang seperti dahulu kerana kini dia memperoleh elaun sara hidup sebanyak RM200.
"Malah, jika hasil tangkapan didaratkan, LKIM turut memberi insentif 10 sen bagi setiap kilogram. Ia merupakan bantuan yang sangat bagus untuk kami warga nelayan," ujarnya yang memiliki kemahiran membuat jaring ikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: