Wednesday, June 18, 2014

Penyambung legasi Bongai


Warisan Pusako Kumpulan Anak Bochek menyelitkan elemen kontemporari sebagai usaha untuk menarik minat golongan belia masakini mengenali Bongai.

MURID SK Padang Lebar yang terlibat dalam Program Perantisan diundang bermain instrumen tumbuk kalang dan rebana sewaktu mengadakan persembahan bersama Tok Shah di Restoran Warisan, Kampung Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.


MENYERTAI Program Perantisan yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan pada tahun lalu merupakan titik tolak pengenalan Zarith Ariesya Bakri, 11, kepada muzik Bongai.
Zarith Ariesya merupakan salah seorang murid yang terlibat dalam program itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Lebar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Dia juga mendapat bimbingan daripada Tok Shah.
Tok Shah atau nama penuhnya Mohd. Shah Abd. Rahman merupakan tokoh muzik Bongai yang aktif mengadakan persembahan di Negeri Sembilan selain memberi tunjuk ajar kepada generasi baharu.
Sejak itu, Zarith Ariesya mula meminati irama tersebut.
"Bongai menggambarkan keindahan dialek Negeri Sembilan lebih-lebih lagi apabila ia dilagukan. Saya meminati kesemua lagu yang dinyanyikan oleh Tok Shah terutamanya irama umpan bocik," ujar anak sulung daripada empat adik-beradik itu.
Zarith Ariesya merupakan salah seorang daripada lima murid SK Padang Lebar yang menyertai persembahan Kumpulan Bongai Seri Tengkek pada setiap malam minggu di Restoran Warisan.
Berperanan sebagai pemain gong, dia menyertai kumpulan yang diterajui oleh Tok Shah itu sejak dua bulan lalu.
Murid tahun lima itu juga bercita-cita untuk membawa muzik Bongai ke pentas dunia suatu hari nanti.
Signatur
Bagi masyarakat di Kuala Pilah, Bongai bukanlah sesuatu yang asing kepada mereka. Selain Tok Shah, banyak pihak cuba untuk mengetengahkan Bongai sebagai signatur kesenian Negeri Sembilan.
Warisan Pusako Kumpulan Anak Bochek merupakan salah satu kumpulan yang meneruskan legasi Tok Shah dalam memartabatkan irama Bongai dalam konteks moden.
Kumpulan yang ditubuhkan di Kuala Pilah itu sejak lapan tahun lalu aktif mengadakan persembahan di sekitar daerah tersebut.
Kumpulan yang diterajui oleh sembilan orang yang berusia lingkungan 22 tahun hingga 63 tahun telah menghasilkan dua album irama Bongai.
Penyanyi dan pemain perkusi Warisan Pusako Kumpulan Anak Bochek, Abu Bakar Mustafa, 63, memberitahu, kedua-dua album dihasilkan untuk mempromosikan kebudayaan dan kesenian yang kian dilupakan di Negeri Sembilan itu.

TOK SHAH (kanan) aktif mengadakan persembahan di Negeri Sembilan selain memberi tunjuk ajar kepada generasi baharu.


Matlamat utama penubuhan kumpulan itu adalah untuk mengimbau kembali lagu-lagu warisan dan lagu-lagu rakyat Negeri Sembilan yang telah dipinggirkan.
Jelasnya, kumpulan tersebut menambah elemen kontemporari untuk menepati cita rasa halwa telinga masyarakat masa kini.
"Album pertama Warisan Pusako Kumpulan Anak Bochek, kami tampil dengan konsep 100 peratus irama Bongai. Album kedua, kami selitkan elemen kontemporari dengan menambahkan bunyian instrumen gitar, bass dan akordian.
"Walaupun menambah elemen kontemporari, kami tidak mengubah struktur asal irama dan lagu Bongai. Setakat ini, kami banyak menerima undangan persembahan dan masyarakat di luar Negeri Sembilan mula mengenali muzik Bongai," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Lagu-lagu
Antara lagu dalam kedua-dua album Warisan Pusako Kumpulan Anak Bochek yang sering dimainkan dalam setiap persembahan ialah Kapeh, Anak Bochek, Ghontak Kudo Bomban, Sepet Buto, Cak Tun Tun, Joget Limau Manih dan Donak Didonai.
Kumpulan tersebut juga memperkenalkan konsep teromba iaitu ungkapan berirama mengenai adat sebagai panduan atau amalan sesuatu masyarakat dalam setiap lagu yang dihasilkan.
Jelasnya, muzik tradisional dari negeri lain seperti dikir barat dan ghazal sememangnya popular dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Kurangnya publisiti dan platform untuk penggiat seni Bongai tampil di khalayak ramai juga merupakan salah satu faktor kesenian ini kurang mendapat sambutan.
Sementara itu, seorang lagi ahli kumpulan tersebut, Zainudin Sulaiman, 57, berkongsi pendapat, JKKN Negeri Sembilan merupakan antara agensi yang membuka jalan kepada Warisan Pusako Kumpulan Anak Bochek untuk mempromosikan kesenian tersebut.
"JKKN Negeri Sembilan banyak mengundang kami dalam majlis dan acara-acara yang dianjurkan. Ia merupakan platform terbaik untuk kami mempromosikan Bongai kepada masyarakat," ujar pesara tentera itu.
Tambahnya, Warisan Pusako Kumpulan Anak Bochek pernah mengadakan persembahan di Johor, Kelantan dan Selangor.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: