Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 28, berkata, sepanjang tiga tahun mereka menjalinkan hubungan cinta, Abby bukan seorang wanita yang digambarkan sedemikian.
Malah Zul juga menepis tuduhan kononnya dia pernah mengalami nasib menjadi mangsa kekasaran Abby.
"Selama tiga tahun kami bercinta hubungan kami baik-baik sahaja dan dia bukan seorang wanita seperti mana didakwa," katanya kepada mStar Online.
Zul ditemui pada majlis Seindah Ramadan & Syawal TV3, yang diadakan di Hotel One World di sini sini, Rabu.
Terdahulu, bekas suami Abby iaitu Muhammad Noor Farhan Che Bakar , 24, mendakwa Abby, pernah mencederakan dia dengan membaling kunci motosikal ke wajahnya sehingga mengakibatkan lebam selain pernah mencakar mukanya.
Pasangan berkenaan disahkan bercerai pada 11 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini selepas hampir setahun berkahwin.
Dalam pada itu, Zul turut menyangkal dakwaan kononnya dia memutuskan hubungan dengan Abby kerana tidak tahan dikongkong oleh wanita berkenaan.
Jelas Zul, perkara itu tidak pernah wujud dalam hubungan mereka sebelum ini selain dia tidak mahu mengungkit kisah lama."Tidak, itu tidak benar. Seperti saya katakan dia bukan seorang wanita yang begitu," ujarnya.
Zul juga enggan mengulas mengenai perceraian bekas kekasihnya itu dan sentiasa mengharapkan yang terbaik buat wanita berkenaan.
Sementara itu, mengulas mengenai hubungannya dengan penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai, Zul mengakui jarang berjumpa dengan kekasihnya itu sejak akhir-akhir ini kerana kesibukan.
Bagaimanapun kata Zul, percintaan mereka berada dalam fasa baik namun dia tidak berani untuk bercakap tentang perancangan berkahwin buat masa ini.
"Hubungan dengan Gayatri masih berjalan seperti biasa tetapi jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan pelbagai perkara tetapi kami sering berhubung menerusi telefon," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zul bakal muncul dengan sebuah drama istimewa menerusi slot Akasia di TV3 pada bulan Ramadan ini berjudul Rindu Awak 200 Peratus.
Drama 28 episod yang turut menampilkan Ayda Jebat yang akan ditayangkan bermula 14 Julai depan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: