Wednesday, June 18, 2014

Memorabilia Tanah Suci


BUKU Menulis Atas Pasir merupakan salah satu karya Syed Mahadzir bersama Green Dome.


MENJEJAKKAN kaki ke Mekah dan Madinah bagi menunaikan ibadah merupakan antara impian utama seorang Muslim. Bagi sesetengah individu yang berpeluang, kehadiran di Tanah Suci boleh dilihat sebagai satu penyerahan jiwa kepada Allah SWT di samping menghayati ajaran Nabi Muhammad SAW.
Walaupun, saat menjadi tetamu Allah merupakan sesuatu yang sangat mengujakan, namun kita tidak lari daripada mendengar pelbagai kisah pengalaman para jemaah di sana.
Penulis buku, Syed Mahadzir Syed Ibrahim, 53, berkata, kisah-kisah yang dikongsi ada yang bersifat suka, duka dan penuh misteri. Malah, ada yang jelas membuktikan kebesaran Yang Maha Pencipta.
"Cerita-cerita dari Tanah Suci sering menjadi perhatian dan ini telah memberikan saya inspirasi untuk membukukan pengalaman segenap individu yang diberi penghormatan untuk menjejakkan kaki ke sana," katanya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Buku terbitan Green Dome Publications Sdn. Bhd. (Green Dome) yang berjudul Saat Menjadi Tetamu Allah itu memaparkan 43 pengalaman menarik jemaah sebelum, semasa dan selepas mengunjungi Tanah Suci.
"Isi kandungan buku diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk golongan ilmuwan agama, rakan-rakan dan bahan bacaan. Saya telah mengolah pengalaman tersebut agar menjadi lebih menarik," ujarnya.
Beliau menambah, walaupun sumber buku tersebut pelbagai, kebanyakan cerita yang terkandung di dalamnya adalah kisah yang sering dikongsi dalam kalangan masyarakat tempatan
"Tujuan sebenar penghasilan buku ini ialah agar ia memberi pedoman dan iktibar kepada pembaca, sekali gus menjadikan mereka umat yang lebih baik.
"Ini kerana ada segelintir pihak yang takut menjejakkan kaki ke Tanah Suci kerana berasa dirinya bergelumang dengan dosa dan bimbang diberi balasan Allah di sana. Namun, hakikatnya Allah sangat menyayangi hamba-hamba-Nya dan hanya golongan terpilih yang 'dijemput' ke sana," katanya sambil memaklumkan beliau mengambil masa selama setahun untuk menghasilkan buku tersebut.
Bagaimanapun, Syed Mahadzir menegaskan, segala kesukaran yang dihadapi jemaah di Tanah Suci seharusnya dilihat sebagai satu ujian dan peringatan Allah.
Antara kisah yang dikongsikan menerusi buku yang mempunyai 218 halaman itu adalah pembuat tatu menjadi imam, misteri di sebalik Kota Mekah, akibat memakan harta anak yatim, gagal masuk ke dalam Masjidilharam dan pertemuan di Masjid Nabawi.
"Penghasilan buku ini boleh dianggap sebagai satu memorabilia Tanah Suci oleh segenap individu terlibat, termasuk diri saya," ujarnya.
Pengalaman
Walaupun telah menghasilkan lebih 100 buah buku dalam pelbagai genre, menurut anak kelahiran Sungai Tawar, Kedah itu, buku Saat Menjadi Tetamu Allah itu merupakan karya sulung bersifat keagamaan bersama Green Dome yang khusus dalam penerbitan buku-buku Islam.
"Selain Saat Menjadi Tetamu Allah, saya juga menghasilkan buku berjudul Menulis Atas Pasir bersama Green Dome. Ia telah memasuki pasaran sejak awal tahun ini," kata beliau yang juga dikenali menerusi nama pena, SMahadzir atau SMSI.
Bercerita mengenai kecintaannya terhadap bidang penulisan, bapa kepada tujuh orang cahaya mata itu berkata, segalanya bermula ketika menuntut di Institut Teknologi Mara (kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara), Shah Alam dalam bidang kajian reka bentuk.
"Mula-mula saya banyak menyumbang karya dalam majalah pusat pengajian untuk mencari wang saku. Namun, pendedahan yang diberikan telah menyebabkan saya jatuh cinta terhadap bidang ini dan memasang impian untuk bergelar seorang penulis berjaya suatu hari nanti," kata lelaki yang pernah memenangi pelbagai hadiah pertandingan mengarang cerpen, puisi dan seloka tempatan ini.
Menariknya, novel Syed Mahadzir yang berjudul Lestari Bukit Menghijau telah dipilih Kementerian Pelajaran sebagai teks komponen sastera di sekolah menengah Zon Timur (Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan) bagi pelajar tingkatan dua mulai tahun 2011 dan sajak Kita Umpama Sehelai Daun untuk kegunaan tahun hadapan.
Antara hasil karya beliau yang lain adalah Api Tidak Membakar, 365 Hari Dalam Sejarah, Tokoh-Tokoh Ilmu Dan Pejuang Kebenaran, Di Bawah Lembayung, Ritma Seorang Ekspatriat dan Seri Kencana Dewi.
Sungguhpun kini menjawat jawatan Ketua Fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya, Dewan Bahasa Pustaka dan Jabatan Khidmat Negara serta Exco Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Syed Mahadzir terus bergiat aktif dalam bidang penulisan dan merancang untuk menghasilkan sehingga 10 buah buku pelbagai genre bersama Green Dome kelak.
Buku Saat Menjadi Tetamu Allah dijual pada harga RM25.90 senaskhah dan boleh didapati di rangkaian kedai buku utama di seluruh negara atau melalui laman Facebook Green Dome.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: