Friday, June 20, 2014

Zikrullah tenangkan hati

Jiwa yang sentiasa mengingati Allah melalui zikrullah sama ada ketika berdiri, duduk, tidur atau berbaring mampu merasai ketenangan jiwa yang hakiki.

SETIAP amalan manusia di dunia ini sama ada baik atau buruk, yang dilakukan secara bersembunyi atau terang-terangan akan dipersembahkan di hadapan Allah untuk diadili di akhirat kelak. - Gambar hiasan


SALAM dari Madinah Al-Munawarrah. Di Masjidilharam, Masjid Nabawi atau di sekitar ke dua-dua tanah suci ini, tiada siapa yang hairan apabila melihat jemaah, penjaga kedai, pengawal keselamatan, polis atau pencuci lantai memegang tasbih. Berzikir sama ada dengan mengira butir tasbih ataupun tidak adalah lumrah.
Sesiapa sahaja tanpa mengira jawatan, bangsa, warna kulit dan bahasa pertuturan, kebanyakannya membasah lidah dengan zikrullah. Hati sentiasa disibukkan dengan mengingati Allah.
Sepanjang masa, pagi, tengah hari, petang, malam sehingga ke subuh sama ada ketika duduk, berdiri, berjalan atau ketika berbaring mengiring. Itulah mereka yang benar-benar hadir di sini dengan niat yang satu iaitu mahu beramal ibadat secara khusus kepada-Nya.
Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar!
Barakah
Bertanyalah kepada setiap jemaah yang hadir di kedua-dua Tanah Haram tentang perasaan mereka, maka jawapannya sungguh seragam:
"Tanah suci ini sungguh barakah. Di sini kami menemui ketenangan jiwa dan kedamaian hati. Tiada resah dan gundah. Kami menghirup sepuas-puasnya kemanisan beramal ibadat tanpa perlu memikirkan sesuatu. Kami boleh bertahajud dan membaca al-Quran. Di sini kami ternanti-nanti waktu solat. Hati lapang mahu bersedekah."
Namun, pada hujungnya mereka sering bertanya, "Kenapa tidak di negara sendiri?"
Jawapannya sungguh mudah. Ketenangan dan kedamaian hati kurniaan Allah kepada mereka yang sering mengingati dan menyebut-nyebut kebesaran-Nya. Allah menggembirakan hati mereka yang hampir dengan-Nya. Dia berfirman melalui ayat 28-29 surah ar-Rad' yang bermaksud:
"(Iaitu) orang-orang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.
"Orang-orang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya."
Duhai wanita solehah yang dirahmati Allah... kebahagiaan itu dikecapi oleh orang-orang beriman dan beramal soleh. Fahami dan renungilah dua frasa terkenal beriman dan beramal soleh ini.
Pertama, mereka yang beriman percaya kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka istiqamah melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah. Maka, kitab suci al-Quran menjadi rujukan lalu berikhtiar membaca, memahami dan mengamalkannya.

HIDAYAH Allah yang diberikan melalui cahaya Islam dalam diri setiap wanita Muslim perlu disyukuri dengan melakukan ketaatan kepada Yang Maha Esa. - Gambar hiasan


Kedua, kita meyakini kehadiran malaikat di kiri kanan yang mencatat amal kebaikan dan keburukan untuk dihisab di akhirat. Dengan perintah Allah SWT terdapat malaikat pencabut nyawa, tukang soal di alam kubur. Malah ada malaikat penjaga syurga. Ada pula malaikat yang mengheret manusia untuk dihumbankan ke dalam neraka.
Ketiga, kita mempercayai kematian akan muncul. Kehidupan di dunia hanya sementara. Ia tempat menguji mereka yang beriman dan sang pendusta. Seluruh amalan di dunia dipersembahkan di dalam mahkamah Allah di akhirat. Lalu manusia akan mengetahui di mana negeri kekal mereka melalui huluran buku amal sama ada melalui tangan kanan atau dari belakang.
Keempat, kita semua percaya betapa setiap kejadian itu berlaku mengikut aturan-Nya. Istilah qada dan qadar sudah kita dengar sejak kecil lagi. Perhalusilah aspek ini agar kita berada di landasan keimanan yang sebenarnya.
Bersyukurlah
Duhai wanita yang dikasihi Allah SWT... bersyukurlah dengan hidayah Allah yang telah memberikan cahaya Islam kepada kita. Dia telah berfirman melalui ayat 68, surah al-Qasas yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya dan Dialah juga yang memilih (satu-satu daripada makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain daripada pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan dengan-Nya."
Begitulah... kita dapat merasai dan menikmati kemanisan iman ketika berada di Tanah Suci kerana bersungguh-sungguh mengingati dan menghampirkan diri kepada Allah SWT. Hakikatnya kita cuba berbaik-baik dengan-Nya bukan sekadar di tikar sembahyang.
Berapa ramai yang sanggup berkongsi sejadah dengan jemaah yang lain ketika terpaksa solat di atas marmar yang sejuk?
Berapa ramai pula yang sanggup bersedekah atau menghulurkan sebiji tamar berserta segelas air zam-zam kepada jemaah yang beriktikaf lama di masjid?
Bukankah kita semua menutup aurat dengan sempurna di Mekah dan Madinah? Berapa ramai pula yang bangun malam dan bertahajud?
Apakah kita meninggi suara sepanjang berada di Tanah Suci? Mahukah kita memakan daging saudara sendiri ketika menunaikan ibadat haji dan umrah?
Itulah rahsia ketenangan dan kedamaian berada di Mekah dan Madinah. Biar kami bertanya, apakah segala amalan ini sukar dilakukan di tanah air sendiri? Kenapa? Misalnya, kenapa ramai pakaiannya sudah tidak boleh dibawa solat sejurus selepas meninggalkan hotel di Tanah Suci?
Duhai wanita solehah yang dirahmati Allah... hiruplah manisan keimanan ini sepuas-puasnya ketika di Tanah Suci. Lalu bawalah bersama pulang ke tanah air. Teruskan amalan yang terlangsung di sini hingga tiba saat bernama kematian.
Semoga Allah menempatkan kita bersama orang-orang beriman dan beramal soleh. Bertemu lagi pada minggu hadapan. Insya-Allah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: