Sunday, June 15, 2014

Yatt Hamzah Mahu Pasarkan 'Suci' Ke Peringkat Antarabangsa


Yatt mahu melancarkan rangkaian pakaian muslimahnya di luar negara.
KUALA LUMPUR: Pengusaha pakaian muslimah dan pelakon, Yatt Hamzah berhasrat memperkenalkan jenama pakaian muslimahnya, Suci, ke peringkat antarabangsa dan seterusnya membuka cawangan butiknya di negara-negara di rantau Asia.
Menyasarkan Brunei dan Singapura sebagai lokasi pembukaan butik yang seterusnya, Yatt kini mempunyai sebuah butik di ibu kota.

"Saya melihat Brunei dan Singapura sebagai pasaran berpotensi besar di samping telah mempunyai pelanggan tetap dari kedua-dua negara itu," kata Yatt ketika ditemui di Pameran Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIHF) 2014.

Pelakon dan peragawati muslimah turut menyasarkan jualan segera di Pameran Hijab sebanyak RM10,000 sehari.

Suci menyediakan 30 koleksi busana muslimah serta tudung dan setiap koleksi jenama tersebut menampilkan rekaan tersendiri serta warna yang berlainan.

Potongan harga sehingga 70 peratus akan diberikan kepada pengunjung pameran bagi setiap pembelian tudung dan jubah di gerainya.

Yatt berkata KLIHF 2014 memberi peluang kepadanya untuk beramah mesra dengan peminat-peminatnya serta dapat bersaing secara sihat dengan jenama lain.

Memanfaatkan jualan dalam talian yang bermula sejak Jun 2013, Yatt telah mengorak langkah ke hadapan dengan pembukaan butik.

"Untuk masa hadapan, saya berharap untuk mendaftarkan perniagaan kepada sendirian berhad bagi memudahkan usaha mengembangkan jenama saya," tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: