TIGA anak muda yang berjaya mencipta kejayaan menerusi program realiti TV, Akademi Fantasia (AF), Hafiz, Akim dan Hazama bakal bersatu dalam sebuah showcase berjudul Hafiz & Friends di Hard Rock Cafe, Melaka pada 22 Jun ini.
Tanpa kehadiran Hazama, Hafiz dan Akim yang ditemui pada majlis pelancaran tersebut nyata teruja untuk bergabung di atas pentas yang sama. Ini sekali gus mengimbau detik-detik bersama ketika di AF dahulu.
Biarpun Hazama lahir daripada program AF musim kesembilan manakala Hafiz dan Akim pula daripada AF musim ketujuh, namun ikatan persahabatan yang terjalin di pentas program yang sama menjadikan mereka bertiga akrab.
Menggunakan nama Hafiz sebagai judul showcase, Akim mengakui dia tidak berasa kecil hati mengenai hal itu kerana sedar rakannya itu merupakan artis yang banyak menerima anugerah.
“Saya tidak berasa kecil hati apabila showcase ini menggunakan nama Hafiz. Dia (Hafiz), saya anggap dia sebagai peneraju kepada bintang-bintang AF yang lain. Dia membuka mata khalayak apabila memenangi banyak anugerah,” luahnya ketika ditemui di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menyimpan impian yang lama untuk beraksi bersama Hafiz dan Aril di Hard Rock Cafe, ujar Akim, tempat Aril terpaksa digantikan dengan Hazama kerana kesibukan bintang AF7 itu sebagai penyampai radio Era FM.
“Hazama bukan sekadar menggantikan Aril tetapi dia juga ingin berada di pentas yang sama dengan kami,” ulasnya yang kini mempunyai band sendiri, Akim & The Majistret.
Mengulas sedikit mengenai band baharunya, ujarnya, Akim & The Majistret hanya muncul untuk persembahan secara langsung di atas pentas.
Bagaimanapun, Akim masih lagi kekal sebagai penyanyi solo. Namun, dia tidak menolak untuk bersama band tersebut sepanjang masa jika mendapat maklum balas positif daripada peminat.
“Buat masa ini, Akim & Majistret telah mengeluarkan single berjudul Mewangi. Saya masih memikirkan sama ada ingin mengeluarkan album solo terlebih dulu atau album Akim & The Majistret,” katanya lagi.
Promosi di Instagram
Sementara itu, Hafiz mengakui bersyukur kerana impian selama lima tahun untuk berkongsi pentas bersama Akim dan Hazama terlaksana.
“Saya ingat lagi momen berbual dengan Akim ketika di AF dahulu. Kami mahu membuat konsert bersama. Akhirnya impian itu menjadi kenyataan,” tuturnya yang bakal menyanyikan rantaian lagu-lagu popularnya pada showcase itu nanti.
Bagaimanapun, Hafiz mengaku sedikit gementar menunggu sambutan peminat terhadap showcase tersebut rentetan daripada sambutan kurang memberangsangkan yang diterima oleh penyanyi Encik Mimpi ketika mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe sebelum ini.
Namun begitu, kata Hafiz, dia dan rakan-rakannya akan sentiasa melakukan promosi di Instagram masing-masing untuk showcase itu.
Sementara itu, tiket persembahan berharga RM60 dan RM70 boleh dibeli dengan menghubungi 06-292 5188 atau menerusi enquiries@hardrockcafe-melaka.com.
Dalam pada itu, Hafiz turut disoal mengenai keterbukaannya mempamerkan kekasihnya yang dikenali sebagai Fy di laman Instagramnya baru-baru ini.
Tidak mahu berselindung kerana berasa peminat boleh menerimanya, namun telahan Hafiz silap apabila peminat-peminatnya marah dan kecewa apabila mengetahui Hafiz sudah berpunya.
“Kali ini, saya berasa terbuka pula untuk berkongsi mengenai perihal kekasih. Disebabkan itu, saya memuat naik foto kekasih di Instagram dengan niat ingin memberitahu yang kini saya sudah berpunya.
“Tidak sangka pula apabila ada beberapa peminat yang meluahkan rasa kecewa kerana foto itu. Bagaimanapun, saya percaya mereka akan faham dan akan terus meminati saya biarpun kini saya sudah mempunyai kekasih,” ujarnya sambil ketawa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: