Wednesday, June 18, 2014

Mon Ryanti nikah September

TIGA bulan selepas bertunang, Mon dan Hasrul terus merancang untuk berkahwin.


TANGGAL 7 Jun lalu, pelakon filem Keramat, Mon Ryanti, 26, telah mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya, ahli perniagaan, Mohd. Hasrul Ali, 26, di kediaman keluarganya di Johor Bahru, Johor.
Majlis yang hanya dihadiri keluarga dan teman rapat itu memilih tema warna merah jambu dan biru firus serta pelamin berkonsepkan romantis.
Mon dan Hasrul mula berkenalan sejak dua tahun lalu selepas jejaka itu yang merupakan teman rapat abangnya membeli kuih raya yang dijual semasa bulan puasa.
Kosmo! mendapatkan kenyataan lanjut daripada Mon sendiri mengenai perancangan menuju hari bahagianya bersama Hasrul tidak lama lagi. Ikuti temu bual berikut.
Kosmo!: Tahniah Mon kini sudah bergelar tunangan orang. Mungkin boleh kongsikan serba sedikit kegembiraan dan keterujaan menuju ke gerbang perkahwinan?
MON RYANTI: Alhamdulillah, majlis pertunangan kami tempoh hari berjalan lancar dan insya-Allah, majlis pernikahan akan dilangsungkan pada bulan September ini di kampung Mon di Johor dan seminggu kemudian majlis di pihak lelaki di Selangor.
Kenapa cuma mengambil masa tiga bulan sahaja bertunang dan terus berkahwin?
Mengikut perbincangan antara kedua-dua buah keluarga, bulan September adalah waktu paling serasi untuk melangsungkan majlis itu. Lagipun, kata orang tak elok bertunang lama-lama nanti semakin banyak dugaan datang.
Setakat ini, sejauh manakah persiapan menjelang perkahwinan anda?
Alhamdulillah, sudah 70 peratus selesai dan sekarang pun saya kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor untuk menyelesaikan beberapa keperluan yang penting. Insya-Allah, doakan majlis kami berjalan lancar.
Adakah anda menerima sebarang penajaan untuk majlis perkahwinan nanti?
Ada, tapi tidak semuanya kerana saya lebih suka menggunakan bajet sendiri untuk memilih baju pengantin, pelamin dan katering kerana lebih berpuas hati. Ini majlis penting kami dan saya mahukan ia berjalan lancar seperti yang diimpikan.
Apakah kriteria yang dimiliki Hasrul sehingga membuatkan anda terpikat dan nekad memilih dia sebagai bakal suami?
Hasrul merupakan seorang yang memahami, menghormati keluarganya dan sentiasa ada ketika saya susah. Kami selesa untuk berkongsi semua perkara dan mudah dibawa berbincang.
Selepas berkahwin, bagaimanakah anda dan Hasrul merancang kerjaya masing-masing?
Hasrul tidak menghalang saya untuk terus aktif berlakon tapi mungkin bagi pihak saya sendiri, perlu ada batasan dalam sesetengah adegan. Saya menghormati dia sebagai seorang suami dan perlu menjaga perilaku apabila berlakon dengan lelaki lain.
Sudi kongsikan perkembangan terkini anda?
Saya masih sibuk dengan kerjaya sebagai penyampai radio Ultra FM dan masih menantikan tarikh tayangan filem terbaharu lakonan saya dan Zul Ariffin berjudul Jin, hasil arahan Pierre Andre.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: