Sunday, June 15, 2014

Jatuh bangun Remy Ishak


LAPAN tahun serius dalam lakonan, Remy percaya setiap pelakon punya tapak tersendiri.


REMY ISHAK membuka sehelai lagi manuskrip hatinya. Dalam introduksi kali ini, dia percaya, kekurangan boleh membawa kebaikan. Realiti kehidupannya juga adakala lebih dramatik berbanding drama atau fiksyen yang pernah dibawanya selama ini.
"Dalam soal karya ataupun lakonan, saya mudah jatuh cinta dengan karya yang bersifat realisme dan drama kerana hidup saya sendiri penuh drama," ringkas tetapi tersirat sebuah analogi di situ.
Seperti biasa, Remy sukar menzahirkan apa yang bersarang dalam dadanya. Namun sikap pendiam yang menebal dalam diri itu sedang diketepikan secara berhemah. Pengalaman dan usia nyata guru terbaik. Lapan tahun bergelar pelakon, dia semakin tenang. Dia menghadam segala penolakan dan membentuk acuan kepada siapa Remy Ishak hari ini.
"Sehingga hari ini, rasanya saya masih menjadi diri sendiri. Tetapi dunia seni ini susah juga. Saya kena biasakan diri dengan penghinaan, pujian dan pujaan masyarakat," bicaranya terhenti seketika.
Serius dan terarah bercerita tentang pengamatan terhadap industri, lelaki yang pernah memanaskan dunia selebriti itu nyata sedang melepasi satu tahap. Tiada lagi cerita sensasi yang berantai-rantai.
Bukti kemampuan
Memasuki usia 32 tahun, ada yang menyifatkan Remy sedang di fasa mendatar. Dalam masa yang sama, bintang yang memuncak dengan fenomena Nur Kasih itu tidak lagi panas dengan cerita-cerita yang memakan diri. Dia sendiri mengakui, di tahap ini, tugasnya ialah melibatkan diri dengan karya-karya baik dan bukannya memikirkan pertimbangan negatif orang lain terhadap diri mahupun persekitaran.
Jatuh bangun Remy Ishak di tengah-tengah kehadiran ramai pelakon baharu yang lebih muda daripadanya sengaja penulis usulkan.
"Sebenarnya saya bukannya jenis yang sangat peka dengan perkembangan dunia artis ini sendiri. Kalau mereka masuk kerana bakat, itu bagus. Makin ramai pelakon, makin meriah dunia seni.
"Rasanya setiap pelakon ada tapak sendiri, saya juga. Persoalan dibayangi pelakon lain tak perlu wujud. Setiap orang ada had, bakat dan penerimaan yang masing-masing. Macam saya berlakon dalam filem CEO. Saya digandingkan dengan Anas Ridzuan dan saya suka gandingan itu. Mereka ada keinginan dan keghairahan yang kuat terhadap lakonan.
"Saya juga pernah bekerja dengan pelakon-pelakon senior. Saya diterima dan kenapa pula saya harus tergugat dengan pendatang baharu," katanya.
Niatnya menyertai dunia seni untuk membuktikan kemampuan menjadi manusia berjaya masih belum menyimpang. Niat itu masih teguh.
Bukan pelakon handal
"Saya masih ingat yang saya ini berasal dari keluarga susah. Ini bukan ayat meminta simpati jadi saya cukup serius dengan kerja. Sebab itu juga ramai yang kata saya serius di lokasi, saya kena jadi serius sebab saya tahu, saya juga bukan pelakon yang handal berlakon," katanya.
Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin ke-15 menerusi filem Cun! itu turut berkongsi kebimbangan. Sebagai pelakon, kurangnya sambutan terhadap filem-filem Melayu di pawagam boleh mendatangkan perasaan kecewa.
"Kita memang tidak boleh paksa penonton tapi apabila khalayak tak suka tengok filem yang bagus, rasa kecewa tetap ada. Saya cakap ini bukan untuk filem lakonan saya sahaja, tapi untuk filem-filem yang baik macam Bunohan dan Songlap sebelum ini.
"Sebagai pelakon, perjuangan kena diteruskan. Sebenarnya saya tak hairan dengan fenomena yang orang cakap pasal drama Nur Kasih dahulu. Masa itu saya masih baharu. Apa yang saya benar-benar mahu ialah sesuatu yang besar untuk dibawa sampai mati. Bukan anugerah, tapi mungkin karya yang besar," katanya yang baru selesai penggambaran drama kerjasama dua negara, Malaysia dan Singapura berjudul Kasih Berbisik.
Melontarkan keinginan untuk merasai pengalaman bekerja dengan nama-nama pengarah besar seperti Mamat Khalid, Datuk Shuhaimi Baba atau U-Wei Saari, bagi Remy sekiranya peluang itu dapat diraih, itu sebuah lagi pencapaian buat dirinya.
"Dapat berlakon dalam frame pengarah-pengarah hebat memang satu penghormatan buat saya. Pengarah macam Namron misalnya. Berlakon bawah pengarah baharu macam Razaisyam Rashid dalam CEO juga satu benda yang menarik. Saya nampak keinginan berkarya menerusi diri setiap orang yang hadir dalam produksi itu," katanya yang melakonkan watak Adam dalam filem yang memulakan tayangan sejak 12 Jun lalu.
CEO juga contoh kepada kesudian nama-nama besar untuk terlibat dalam filem yang digerakkan oleh pengarah generasi baharu. Selain Remy, Deanna Yusoff dan Beto Kusyairy turut memperkuatkan jalan cerita filem yang bergenre komedi itu.
Anak askar
"Mulanya saya risau tak boleh 'memberi' apa yang dimahukan pengarah, Razaisyam Rashid. Menerusi perbincangan saya nampak kematangan dia. Saya lebih suka bekerja dengan pengarah yang suka menegur kesilapan saya berbanding dengan pengarah diam sahaja.
"Kemudian saya kena jadi ketua pegawai eksekutif atau CEO, tapi dalam skrip saya hanya jadi CEO untuk satu hari sahaja. Sebenarnya itu satu cabaran besar untuk saya. Bagaimana saya nak yakin orang bahawa saya seorang CEO. Karakter Adam sebagai CEO harus melekat dan bagaimana kekoknya Adam sebagai orang jalanan itu kena nampak, itu tanggungjawab saya dalam filem ini," katanya yang banyak disebut sebagai seorang yang sangat tekun dengan tugasnya sepanjang penggambaran filem berkenaan.
Tambah Remy: "CEO tidak terdiri daripada watak-watak fantasi. Saya nampak realiti dalam Adam sebagai CEO ataupun ketika dia jatuh miskin. Karakter Beto sebagai Sufian pula sangat menyeronokkan. Anas, sahabat saya dalam CEO pula macam 'muse', seorang pemuzik jalanan yang mengajar saya tentang erti kehidupan."
Meresap atau sekadar di angin lalu, penonton yang sudah menyaksikan karya terbaharu itu sahaja yang selayaknya membuat penilaian.
Sebelum menoktahkan pengisahan, penulis meminta anak kedua daripada empat beradik ini menulis seuntai ucapan. Sempena Hari Bapa yang disambut hari ini, begini titipan Remy Ishak:
"Selamat Hari Bapa kepada bapa-bapa di seluruh dunia. Terutama sekali, terima kasih yang tiada terhingga buat ayah saya Ishak Idris. Ayah seorang bekas tentera yang banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan. Orang yang telah membentuk saya menjadi seorang yang berprinsip dan juga menjadi seorang anak yang bergelar lelaki. Ucapan saya kepada ayah, 'Saya pada hari ini adalah hadiah untuk ayah, terima kasih ayah'."


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: