Sunday, June 15, 2014

Canting kain kapas jadi tudung batik




LEMAH gemalai jari jemari Norlida Che Mat, 32 kelihatan begitu teliti melakar garisan pada hamparan kain kapas yang terbentang tegang antara apitan dua batang kayu.
Walaupun suhu di dalam bilik tersebut menyamai kepanasan terik mentari di luar, namun, senyuman yang tidak lekang dari bibirnya itu sudah cukup menggambarkan perasaan puas tatkala lembaran kain berwarna putih akhirnya berubah menjadi seni warisan bangsa.
Sekali-sekala, wanita yang berpengalaman hampir tujuh tahun dalam bidang mencanting lukisan batik ini berlari-lari anak ke dapur berhampiran untuk mengisi semula cecair lilin panas di dalam canting kayu tersebut.
"Nampak mudah, namun, untuk mencanting ukiran batik pada kain kapas, ia memerlukan ketekunan dan ketelitian kerana kain kapas sangat sensitif dan tidak sama dengan kain-kain yang lain.
"Lebih-lebih lagi, mencanting batik sangat berbeza dengan seni kraf tangan yang lain. Jika salah ukiran, kita tidak boleh padam kerana kesemua ukiran ini menggunakan lilin cair yang akan melekat apabila terkena pada permukaan kain," ujarnya kepada kru Jurnal ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Ujarnya, walaupun kesilapan yang dilakukan sedikit, namun, kain yang telah rosak itu tetap akan dibuang dan tidak boleh dipakai semula.
Lazimnya, Norlida sering mengukir pada beberapa jenis kain batik seperti hipoksia halus, lawn, kasa dan sutera. Namun, sejak dua tahun yang lalu, dia mula bereksperimentasi pada kain kapas.
Batik kapas

SEBAHAGIAN daripada tudung batik yang menjadi barangan kraf tangan.


Lebih menarik, ukiran tersebut bukanlah untuk dijadikan pakaian, mahupun barangan kraf tangan. Sebaliknya, untuk dijadikan tudung, yang menutupi mahkota perhiasan wanita.
Pasti ramai yang tidak menyangka ukiran batik pada kain kapas mampu diolah sehingga menjadi tudung yang selesa dipakai untuk menjalani aktiviti harian.
Ini kerana, kain kapas selalunya dijadikan fabrik untuk membuat baju.
Namun, bagi pakar perunding imej dan kecantikan muslimah, Yasmin Sidik, dia memberanikan diri untuk mengambil risiko dengan melukis ukiran batik pada kain kapas disebabkan terlalu menyanjungi kraf tangan batik.
Ujarnya, bukan itu sahaja, kain kapas juga merupakan satu-satunya fabrik yang praktikal untuk digayakan dan bersesuaian dengan cuaca panas di negara ini.
Bagi tujuan tersebut, Yasmin menghabiskan lebih daripada empat tahun untuk mengkaji industri batik dengan lebih mendalam selain merantau hampir ke seluruh pelosok dunia, dalam usaha menghasilkan tudung batik yang berkualiti tinggi.
Menurut Yasmin, idea untuk menghasilkan tudung batik daripada fabrik kapas timbul sewaktu dia sedang menjalankan tesis mengenai asal usul busana Turki, ketika melanjutkan pengajian dalam peringat Sarjana di Universiti Teknologi Mara (UiTM), satu ketika dahulu.
"Ketika sedang menyiapkan tesis tersebut, saya terbang ke Turki dan melewati beberapa buah muzium di sana.
"Dari kajian dan pemerhatian yang dilakukan, saya dapati hampir seratus peratus wanita di sana, tanpa mengira agama memakai tudung, sejak zaman Kesultanan Mogul lagi. Lebih mengujakan apabila melihat kesemua tudung yang dipakai cantik-cantik belaka," jelasnya.
PADANAN warna yang diletakkan harus bersesuaian dengan corak.


Ujar Yasmin, mengagumi pemakaian tudung dalam kalangan wanita Turki, dia mula terfikir untuk hasilkan sesuatu yang benar-benar bertetapan dengan syariat islam tetapi mempunyai elemen kraf tangan.
Tambahnya, dia memilih tudung bawal berbanding tudung moden yang lain sebagai percaturan utama kerana berdasarkan kajian yang dijalankan olehnya, tudung bawal merupakan pencetus imej bertudung di Malaysia.
Bagaimanapun, selepas imej bertudung mula berkembang dari zaman ke zaman, barulah variasi tudung yang lain muncul di pasaran.
Dengan ukuran tudung yang mempunyai bidang 48 inci dan ke atas, tudung bawal batik ini mempunyai pelbagai kegunaan lain selain boleh dijadikan sebagai kain telekung.
Proses rumit
Disebabkan terlalu menghargai kesenian batik dan kraf tangan Malaysia, Yasmin mengakui yang dia begitu cerewet ketika menghasilkan tudung batik kapas.
"Bagi saya dalam menghasilkan batik, seseorang perlu teliti kerana ia dibuat seratus peratus menggunakan tangan. Justeru itu, pemilihan corak dan warna amat dititik beratkan kerana hasilnya akan menonjolkan elemen batik.
"Jadi disebabkan itu, beberapa orang pelukis batik sebelum ini pernah berhenti kerja disebabkan perkara tersebut," selorohnya.
Ternyata, untuk menghasilkan tudung batik daripada fabrik kapas bukan semudah yang disangka.

NORLIDA teliti mengukir motif bunga pada kain kapas, menggunakan cecair lilin panas.


Menurut Dewi Murni Shukri, 31, dia mengambil masa lebih daripada lapan bulan berperang di dalam bengkel mencanting semata-mata untuk menghasilkan kombinasi dan padanan warna yang sesuai serta tidak luntur apabila dibasuh.
"Masa awal-awal mencanting pada kain kapas, saya terpaksa mengulangi proses tersebut beberapa kali dan mengorbankan puluhan kain kapas kerana pada waktu itu, saya masih belum pakar dengan fabrik kapas.
"Pada awal percubaan, warna yang dicanting tidak sama dengan hasilnya. Ini kerana, kain kapas sangat sensitif dan perlu menggunakan bancuhan warna yang sesuai supaya ia tidak luntur apabila dibasuh," jelasnya.
Ujar graduan daripada Institut Kraf Negara ini, kesemua tudung batik yang dicanting menggunakan seratus peratus keringatnya dan dua orang rakan yang lain.
"Untuk menghasilkan sehelai tudung, kita mengambil masa kira-kira lima hingga lapan jam.
"Selalunya, selepas kain diukir dan diwarna, ia perlu dikeringkan sebelum menjalani proses mematikan warna kain," jelasnya.
Harga hingga RM500
Ujar Dewi, dalam proses mematikan warna, kain akan direndam di dalam cecair sodium silikat kira-kira lapan jam sebelum dibilas menggunakan air biasa.
Kain tersebut kemudian akan direbus kira-kira satu hingga dua jam, untuk membuang lilin ukiran, sebelum ia dikeringkan dan siap sedia dihantar ke Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur.
Disebabkan kerumitan proses menghasilkan bawal batik tersebut, mereka hanya mampu menghasilkan kira-kira 100 helai tudung dalam masa seminggu. Setiap helai tudung batik dijual pada harga bermula RM50 hingga RM500 sehelai.
Namun, kerumitan tersebut bergantung kepada bilangan warna dan ukiran corak yang dilukis pada kain tersebut.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: