Saturday, June 14, 2014

Dulu nelayan kini bilionair




TANPA sebarang kelulusan akademik selepas meninggalkan sekolah tinggi sebagai remaja disleksia, sejenis penyakit yang menyebabkan penghidapnya mengalami kesukaran membaca, menulis dan mengeja sejak kecil, Kjell Inge Roekke tidak pernah menjadikan ia sebagai alasan untuk hidup sebagai manusia biasa-biasa.
Sebaliknya, Roekke mengambil keputusan menyeberangi Lautan Atlantik untuk berhijrah dari tempat kelahirannya di Molde, Norway ke Seattle, sebuah bandar pelabuhan di Washington, Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi seorang nelayan.
Pada usia 18 tahun, rutin hariannya dipenuhi dengan menangkap ikan dan ketam di Alaska. Hasil pendapatan yang dikumpulkan kemudian dilabur dengan membeli beberapa buah bot lama dan diubah suai menjadi kapal pukat tunda.
Dari situlah Roekke membina kekayaannya dengan memiliki dan menguruskan American Seafoods Company. Pada awal tahun 1990-an, dia kembali ke Norway untuk menggegarkan dunia perniagaan di negara sendiri.
Roekke dan rakan kongsinya menetapkan impian untuk berada dalam salah satu konglomerat terkemuka di Norway, Aker yang telah berusia 173 tahun penubuhannya ketika itu.
Pada tahun 1996, mereka berjaya membeli 40 peratus saham dalam firma gergasi itu dan menggabungkan ia dengan syarikat milik mereka, Resources Group International yang kemudian dikenali sebagai Aker Solutions (Aker).
Empat tahun kemudian, Roekke terus meluaskan empayarnya mengambil alih Kvaerner, sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan yang telah wujud sejak tahun 1853.
Kini, pada usia 55 tahun, Roekke merupakan salah seorang daripada tujuh individu paling kaya di Norway dengan jumlah kekayaan melebihi NOK12.5 bilion (RM6.7 bilion).

MESKIPUN disahkan menghidap disleksia sewaktu kecil, Roekke berjaya membuktikan keupayaan diri dalam mencapai kejayaan.


Terbaharu, Roekke melalui firmanya, Det Norske telah membayar NOK2.1 bilion (RM1.12 bilion) secara tunai kepada Marathon Oil Corporation untuk mengambil alih operasi di Norway sekali gus menjadikan ia syarikat pengeluar minyak kedua terbesar di negara itu di belakang Statoil.
"Dia merupakan individu pertama yang membawa perniagaan kapitalisme agresif gaya AS ke Norway dan berani menggunakan kuasa pemegang saham untuk mendapatkan apa yang dimahukan," ujar Steinar Dyrnes, wartawan dari Aftenposten yang menulis biografi taikun minyak itu.
Ketika Roekke mengambil alih Aker, ramai pihak bimbang dia akan bertindak seperti penceroboh korporat yang menggunakan syarikat untuk mendapatkan wang tunai. Tetapi, itu bukan apa yang dilakukan Roekke.
"Dia telah menunjukkan bahawa dia berfikir untuk tempoh jangka panjang apabila melakukan sesuatu pelaburan dan membeli sesebuah firma," kata Erik Haugane, bekas Ketua Eksekutif di Det Norske yang juga rakan sekutu perniagaan Roekke.
Menurut bekas Menteri Pertahanan Norway, Kristin Krohn Devold pula, Roekke dianggap sebagai seorang pembina.
"Dia memperoleh kepuasan daripada pembinaan sesuatu perkara. Dia gemar membina syarikat, membina industri dan mencari produk-produk baharu untuk diketengahkan," jelas Devold yang merupakan salah seorang anggota lembaga pengarah Aker.

PADA usia 55 tahun, Roekke telah bergelar antara tujuh individu paling kaya di Norway.


Kapal pukat
Dalam sebuah negara demokrasi sosial yang bermazhab Kristian Protestan, Roekke mencipta gelombang dengan teman-teman wanita glamornya, jet peribadi dan rumah-rumah mewah. Malah, terdapat juga lagu pop ditulis mengenai kejayaan perniagaannya dan gaya hidup berparti.
Namun, apa yang pasti keghairahan Roekke terhadap bot yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz masih kekal membara dalam jiwanya, tetapi kebanyakan pilihannya bersaiz besar.
Roekke telah membina kapal pukat tunda terbesar di dunia dan menjadi tajuk utama dalam media massa dengan mempamerkan kekayaan berupa kapal layar bernilai NOK90 juta (RM48 juta) sepanjang 66 meter. Ironinya, aset itu digunakan untuk dilanggar dalam perlumbaan bot laju.
Di sebalik kegemilangan yang dilalui dalam susur masa kehidupan, nama Roekke turut dicemari sisi hitam apabila disabitkan bersalah atas tuduhan memberi rasuah bagi mendapatkan lesen operasi bot.
Akibatnya, Roekke dipenjarakan selama 23 hari. Bagaimanapun, anak kepada pasangan Norman Roekke dan Gunnvor Roekke ini mempamerkan karisma tersendiri sewaktu dibebaskan.
"Dia memesan lebih 3,000 keping piza untuk dinikmati oleh rakan-rakannya yang berada di penjara. Roekke seorang yang sangat sensitif dan menunjukkan emosinya dengan jelas.
"Dia seorang rakan yang baik dan menawan. Tetapi, dia juga boleh menjadi sangat marah hingga tidak dapat dibayangkan kemarahannya," kongsi Haugane.
Pada tahun 2009, sasaran kemarahannya ialah Menteri Industri Norway, Sylvia Brustad, yang mendakwa Roekke telah membeli dan menjual aset dengan cara yang memberi manfaat kepada dirinya sendiri tetapi tidak kepada pemegang saham Aker Solutions termasuk kerajaan.

SALAH satu pelantar cari gali minyak milik Aker di Norway.


Permintaan media
Lantaran itu, Roekke membalasnya dengan mengadakan sidang media secara langsung dan mendakwa Brustad menerima fakta yang salah.
Siaran yang disiarkan selama satu jam itu akhirnya bertukar peribadi apabila Roekke bertindak mengecam Brustad.
Namun, empat tahun kemudian, Brustad telah diambil bekerja oleh salah satu syarikat Roekke untuk menguruskan hubungan dengan kerajaan.
"Kekuatan yang ada dalam diri Roekke ialah memiliki banyak idea strategik. Bagaimanapun, dia perlukan seseorang untuk memberitahunya mana satu daripada idea-idea tersebut yang bijak dan sebaliknya," tambah Dyrnes.
Di Aker, lelaki yang banyak membantu Roekke membuat keputusan terhadap idea yang diilhamkan ialah Ketua Eksekutif, Oeyvind Eriksen.
"Memang benar, kami mempunyai skil tambahan. Hubungan dan kolaborasi kami berdua sangat unik," kata Eriksen.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Roekke yang enggan memenuhi permintaan media untuk sebarang temu bual, hanya berkomunikasi melalui surat kepada pemegang saham yang disiarkan di dalam laporan tahunan Aker.
Melalui satu surat yang diterbitkan dalam laporan pada tahun 2011, Roekke mengakui kegemarannya terhadap sesuatu yang luar biasa dan terlampau besar.
"Isteri saya, Anne Grete sangat betul apabila mengatakan bahawa saya mengalami penyakit yang tidak boleh diubati iaitu kegilaan terhadapan barangan bersaiz besar. Dia cuba menyembuhkan saya, tetapi akhirnya berputus asa.
"Kami telah bersetuju untuk membina kapal layar sepanjang 66. Dia (Anne Grete) bermaksud 66 kaki (20 meter), saya pula memikirkan sepanjang 66 meter. Ia berakhir dengan 66 meter."
Roekke juga dikenali kerana penglibatan beliau dalam persatuan bola sepak dan terlibat aktif dengan menaja pasukan Molde FK pada tahun 1993.
Malah, beliau juga bertindak membiayai stadium baharu kelab itu yang diberi nama Rokkelokka atau The Rokke Park. Ada pihak mengatakan, Roekke telah membelanjakan kira-kira NOK400 juta (RM214 juta) untuk pembiayaan kelab Molde FK.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: