Sunday, June 29, 2014

Syurga hasil laut dari utara


SALAH seorang anak nelayan mengangkat ikan bilis yang siap direbus untuk disimpan di dalam ketuhar khas.


"MARI masuk tengok, ikan bilis, belacan, keropok ikan, ikan talang, semua murah-murah". Begitulah sapaan penuh mesra para peniaga setiap kali pengunjung melintasi gerai jualan hasil laut di arked perniagaan, Tanjung Dawai, Kedah.
Arked dua tingkat yang menempatkan 20 buah gerai jualan aneka hasil laut itu pasti menjadi pilihan pengunjung setiap kali singgah ke pekan nelayan yang terletak 30 kilometer dari bandar Sungai Petani itu.
Antara hasil laut yang sering menjadi pilihan pengunjung untuk dibawa pulang sebagai oleh-oleh dari pekan yang majoriti penduduknya berketurunan Melayu itu pastinya ikan bilis.
Arked yang dibina oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani pada tahun 1993 itu, boleh dianggap sebagai syurga membeli-belah pelbagai jenis ikan bilis bagi masyarakat di wilayah utara.
Malah, tidak lengkap kunjungan para pelancong ke Sungai Petani atau Yan sekiranya tidak membawa pulang oleh-oleh hasil laut dari Tanjung Dawai, terutama ikan bilis.
Kepada seorang pembeli, Shahrul Ambri Samsuddin, 27, setiap kali berkunjung ke Kedah, dia tidak akan melepaskan peluang berkunjung ke pekan yang mengadap Pantai Merdeka itu.
Dia yang berasal dari Temerloh, Pahang memberitahu, kunjungannya ke negeri Jelapang Padi seakan-akan ada yang tidak kena jika tidak membawa pulang oleh-oleh ikan bilis Tanjung Dawai.
"Setiap kali berkunjung ke Kedah, saya pasti ke Tanjung Dawai untuk membeli ikan bilis.
"Saya membeli ikan bilis untuk simpanan sendiri. Selain itu, saya juga membeli ikan bilis untuk diberi kepada saudara-mara dan rakan sebagai hadiah," katanya sambil memaklumkan bahawa dia sering berkunjung ke Kedah untuk menziarahi bapa saudara di Yan.
Harga berpatutan

HASIL tangkapan di Tanjung Dawai boleh mencecah 40 tan sehari.


Dalam pada itu, Shahrul turut memaklumkan dia sering menggunakan ikan bilis dalam masakan sebagai rencah tambahan dalam nasi goreng kampung dan sayur goreng.
Ujar pekerja disebuah syarikat swata itu, harga ikan bilis di situ sangat berpatutan dan tidak membebankan para pengunjung terutamanya dari luar kawasan.
Sementara itu, menurut salah seorang pemilik gerai di arked tersebut, Mohd Bukhori Abdullah, 48, kebanyakan pengunjung di arked tersebut terdiri daripada orang luar.
Bukhori yang telah 21 tahun berniaga di arked tersebut memberitahu, jumlah pengunjung luar akan bertambah setiap kali menjelang hujung minggu atau musim cuti sekolah.
"Setiap kali menjelang cuti musim cuti sekolah, jumlah pengunjung ke arked ini akan bertambah dua kali ganda.
"Kebanyakan mereka yang singgah di sini adalah untuk menikmati keindahan pantai sambil membeli hasil laut tempatan terutama ikan bilis," katanya ketika ditemui Kosmo! di gerainya baru-baru ini.
Dalam pada itu, dia turut memaklumkan bahawa gerainya menjual pelbagai jenis ikan bilis tempatan dan diimport.
Antara jenis ikan bilis yang terdapat di gerainya ialah pekpa, mayang, tembaga dan nasi.
"Gerai saya menjual pelbagai jenis ikan bilis pada harga berpatutan. Kebanyakan ikan bilis ini diperoleh daripada pengusaha di sekitar sini," katanya yang turut menjual hasil laut seperti ikan talang, keropok ikan, belacan, dan udang kering di gerainya.

SELAIN ikan bilis, nelayan Tanjung Dawai turut menawarkan anak ikan kembung kering.


Menurut bapa kepada lima orang cahaya mata itu, antara keistimewaan yang terdapat pada ikan bilis Tanjung Dawai ialah isinya yang rangup dan rapuh apabila digoreng.
Tambahnya, antara jenis ikan bilis yang menjadi pilihan pengunjung di gerainya ialah pekpa yang dijual pada harga RM19 untuk setengah kilogram.
"Ikan bilis jenis pekpa sentiasa menjadi pilihan pengunjung yang menggemari ikan bilis.
"Ikan ini berwarna cerah dan mempunyai saiz yang tidak terlalu kecil dan besar," ujar lelaki yang cukup peramah itu.
Sementara itu, menurut tekong bot pukat bilis di Tanjung Dawai, Mohamad Ngah, 61, proses menangkap ikan bilis bukanlah satu tugas yang mudah seperti sangkaan orang ramai.
Mohamad yang sudah empat dekad bergelar nelayan pukat bilis berkata, selain menempuh gelora ombak di tengah lautan, mereka juga terpaksa berdepan pelbagai risiko lain.
"Selain meredah ombak sejauh lebih 20 batu nautika untuk sampai ke tengah laut, kami juga terpaksa menanggung pelbagai risiko lain seperti cuaca buruk dan kebakaran bot," katanya ketika ditemui.
Hasil tangkapan

IKAN bilis Tanjung Dawai menjadi pilihan pembeli kerana isinya yang rangup selepas digoreng.


Menurut anak kelahiran Batu Rakit, Terengganu itu, setiap hari dia bersama 15 orang awak-awak akan bertolak dari Jeti Tanjung Dawai seawal pukul 6.30 pagi dan pulang lewat dinihari.
Hasil tangkapan yang diperoleh setiap hari tidak menentu dan bergantung kepada rezeki.
"Hasil tangkapan yang diperoleh setiap hari tidak menentu, ada masa-masanya banyak, ada hari tiada langsung.
"Selalunya hasil tangkapan bagi sebuah bot ialah sekitar 40 tan sehari," katanya sambil memaklumkan bahawa bulan November hingga Mac merupakan jangka waktu yang sesuai untuk memukat ikan bilis di perairan tersebut.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu bahawa hasil tangkapan yang diperoleh sejak kebelakangan ini semakin berkurangan sejak sedekad lalu.
Katanya, salah satu faktor yang dikenal pasti berlakunya pengurangan tersebut ialah lambakan tukun-tukun tiruan yang terdapat di perairan tersebut.
"Tukun tiruan merupakan salah satu punca hasil tangkapan kami semakin berkurangan.
"Tukun-tukun ini menjadi penyebab pukat-pukat kami mudah koyak lalu menjejaskan hasil tangkapan kami," katanya sambil memaklumkan bahawa Jeti Tanjung Dawai merupakan salah satu tempat pendaratan ikan bilis di Kedah selain Langkawi.

ARKED Tanjung Dawai dianggap sebagai syurga jualan ikan bilis oleh penduduk di wilayah utara.


Bercerita mengenai proses menghasilkan ikan bilis, hanya ikan bilis yang diangkat dari pukat akan direbus dengan air garam terlebih dulu menggunakan dapur khas di atas bot.
Selepas direbus ikan tersebut akan disimpan sehingga bot berlabuh di daratan.
Di daratan, ikan bilis yang telah direbus tadi akan dimasukkan ke dalam ketuhar khas dengan suhu sekitar 60 darjah Celcius selama lebih 12 jam untuk dikeringkan.
Selesai sahaja proses pengeringan, ikan bilis tersebut akan diasingkan mengikut saiz dan jenis sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar.
"Kebanyakan ikan bilis di sini diedarkan luar dari Kedah dan dijual pada harga berbeza mengikut jenis dan saiz ikan bilis," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: