Saturday, June 14, 2014

Pasangan jutawan Melayu baharu

RIDZUAN dan isteri, Nik Nur Murnihati bersama empat anak mereka bersyukur atas kejayaan yang dianugerahkan Allah.


TIDAK pernah terfikir oleh bapa kepada empat anak berusia antara lima bulan hingga sembilan tahun ini untuk bergelar jutawan memandangkan sebelum ini dia hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan pendapatan tidak seberapa.
Bagaimanapun, nasib Ridzuan Zakaria, 33, berubah sekelip mata selepas dia menyertai sebuah syarikat jualan langsung, Classic Worldwide Corporation (M) Sdn. Bhd. (CWC) apabila mampu membuat jualan tertinggi sehingga dia dan isterinya, Nik Nur Murnihati Mohd. Nasir, 32, dinobatkan sebagai jutawan.
Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur menjadi saksi bagi pasangan tersebut yang diraikan sebagai jutawan Melayu baharu pada Majlis Malam Legasi Jutawan dan Meraikan Usahawan Islam serta 100 anak yatim baru-baru ini.
Pasangan tersebut dipilih selepas membuat jualan tertinggi iaitu Ridzuan sebanyak RM1.7 juta manakala Nik Nur Murnihati sebanyak RM1.1 juta dalam tempoh setahun selepas menjadi peserta sejak 9 Januari 2013.
Mereka membawa pulang kereta mewah iaitu Mercedes A250 dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang berjumlah hampir RM500,000.
Ridzuan memberitahu, rahsia kejayaannya mendapatkan jualan tertinggi tersebut bukanlah hanya bersandarkan kepada usaha semata-mata tetapi dia mempelajari ilmu mengenai selok-belok perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM).
Katanya, seseorang itu akan bertambah yakin, fokus, berani bertindak jika mempunyai ilmu yang betul terhadap sesuatu perkara.
“Selain itu, saya sentiasa berusaha mencari ahli-ahli baharu. Jika ada yang menolak saya jadikan sebagai pembakar semangat dan bukannya alasan untuk saya berundur atau berhenti.
“Sebelum ini saya buat macam-macam seperti berniaga di pasar pagi dan pasar malam tetapi selepas bertemu dengan syarikat ini melalui rakan-rakan, ternyata ia telah membuatkan kehidupan saya sekeluarga berubah 360 darjah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambahnya, mengenai perancangan masa hadapan, dia ingin membantu rakan-rakan lain untuk sama-sama berjaya sepertinya kerana kehidupan yang bebas hutang dan masa merupakan suatu nikmat yang tidak ternilai.
Menurut Ridzuan, apa yang penting, seseorang itu perlu mempunyai ilmu dan keyakinan untuk berjaya dalam apa bidang yang diceburi mereka.

WAKIL-WAKIL Khalifah Ringgit (berbaju hijau) bersama Dr. Zaini (tiga dari kiri) bersalaman dengan anak-anak yatim Rumah An-Nur, Kasih Bestari dan Amal Baitul yang diraikan pada Majlis Makan Malam Legasi Jutawan dan Meraikan Usahawan Islam di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi CWC, Dr. Zaini Hasan berkata, pasangan tersebut merupakan peserta di bawah program ARBA (Abdul Rahman Bin Auf).
Katanya, peserta perlu membayar antara RM1,000 hingga RM500,000 untuk mendapat keuntungan sehingga RM1.1 juta dalam tempoh 12 bulan.
Difahamkan, objektif penubuhan program tersebut ialah menekankan aspek-aspek Islam dan menjadikan tokoh-tokoh peniagaan agama tersebut sebagai sumber inspirasi untuk berjaya selain ingin mewujudkan 50 jutawan Melayu.
“Syarikat ini telah lapan tahun ditubuhkan, manakala program ARBA pula diperkenalkan dua tahun lalu. Kita telah melahirkan seramai lima jutawan dengan hanya menjual produk kesihatan dan kecantikan keluaran syarikat kita sendiri.
“Pelan yang disediakan membolehkan kita melahirkan ramai jutawan Melayu dalam tempoh yang singkat jika benar-benar mahukan kejayaan kerana ia program yang diinspirasikan dari zaman kegemilangan Islam.
“Abdul Rahman bin Auf merupakan sahabat Nabi Muhammad SAW dan dia juga seorang ahli perniagaan yang berjaya dengan hanya menjual unta dan talinya. Tidak salah jika kita menggunakan formula beliau untuk mencipta kejayaan kita pula,” katanya.
Tambahnya, pada majlis meraikan pasangan tersebut, pihaknya telah melancarkan produk terbaharu iaitu Kopi Pak Belalang yang diperbuat daripada gabungan makanan sunnah iaitu madu dan habatus sauda di mana ia mempunyai pelbagai khasiat untuk mengekalkan kesihatan pengguna.
Menurut Dr. Zaini, pihaknya bercadang untuk mengembangkan perniagaan di Jakarta, Indonesia pada September ini dan beberapa negara Asia lain sebagai perancangan masa hadapan.
Langkah itu katanya dijangka melonjakkan pendapatan tahunan syarikat sebanyak dua kali ganda berbanding kira-kira RM4 juta setahun sekarang.
Berkenaan produk keluaran Classic Worldwide Corporation, ia dibuat berasaskan buah-buahan dan sayuran-sayuran yang sesuai dimakan oleh semua peringkat umur.
Antara produk keluaran syarikat itu termasuk jus Classic Royal Ladies 18, Cleansing and Slimming Factor, Booster Factor, Cell Factor dan Trigger Factor yang dibuat daripada rumusan buah beri acai, goji dan maqui, ganoderma dan lain-lain yang dipilih sebagai bahan terbaik di dunia.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.cwc.com.my atau hubungi talian 04-4213 217.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: