Saturday, June 14, 2014

Dua cabaran hebat finalis Ikon Siarawan


BARISAN finalis yang bakal bersaing sesama sendiri di gelanggang final Ikon Siarawan (dari kiri), Mohd. Faris, Nurul Hidayah, Sui Yee, Nurul Nurdalilah, Mohd. Ismail dan Zaira.


SERAMAI enam peserta program realiti TV terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ikon Siarawan bakal menempuh dua cabaran berkonsepkan program hiburan pada malam kemuncak program tersebut, Sabtu ini di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Enam peserta yang berjaya ke peringkat akhir terdiri daripada Mohd. Ismail Adnan, 24, Nurul Hidayah Md. Nawai, 26, Nurul Nurdalilah Abdul Kadir, 28, Zaira Sri Zakaria, 27, Mohd. Faris Izzat Shaharudin, 24, dan Sim Sui Yee, 25.
Tidak menyangka ke peringkat akhir, Mohd. Faris atau dilabelkan sebagai IS Faris mengakui dia gemuruh dan dalam masa yang sama teruja menanti malam kemuncak Ikon Siarawan.
Memilih Tasha Manshahar untuk cabaran di malam kemuncak Ikon Siarawan, Faris memberitahu, pemilihan bintang YouTube itu dibuat berdasarkan kesesuaian tajuk yang bakal dibentangkan pada malam tersebut.
“Sejujurnya, saya tidak menyangka berjaya ke final Ikon Siarawan. Sebabnya, saya pernah berada di kedudukan tiga paling bawah ketika di episod pertama program ini.
Alhamdulillah, berkat sokongan daripada kawan-kawan ia menaikkan semangat saya untuk buat yang terbaik dalam Ikon Siarawan.
“Saya sudah berbincang dengan tenaga pengajar dan penerbit mengenai pemilihan artis untuk cabaran malam kemuncak nanti. Tasha Manshahar dipilih kerana ia bersesuaian dengan tajuk saya,” jelasnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar malam kemuncak Ikon Siarawan di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Satu-satunya peserta Cina yang berjaya ke peringkat akhir, Sim Sui Yee atau IS Sim pula mengakui sudah bersedia menyahut cabaran akhir Ikon Siarawan dan membuktikan kehebatannya bertutur dalam bahasa Melayu.
“Walaupun saya merupakan satu-satu peserta Cina yang berada di peringkat akhir namun, itu tidak bermakna saya mudah ditewaskan.
Pengalaman sebagai seorang pemidato bahasa Melayu ketika belajar dulu akan saya praktikkan ke dalam pertandingan realiti ini,” luah peserta berasal dari Batu Pahat, Johor itu.
Tiga peserta wanita yang berjaya melangkah kaki ke peringkat akhir iaitu Nurul Hidayah, Zaira dan Nurul Nurdalilah pula mengakui sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melangkah ke peringkat akhir Ikon Siarawan.
Tidak mahu mendedahkan artis yang dipilih untuk cabaran akhir nanti, Nurul Hidayah memberitahu tidak sabar menyudahkan cabaran akhir dan menempuh alam realiti dunia penyiaran dan kewartawanan.
Memiliki vokal paling unik, bagi Nurul Nurdalilah pula, segala ilmu yang diberi tenaga pengajar akan digunakan dalam cabaran akhir nanti.
“Bagi saya segala tunjuk ajar yang diberi tenaga pengajar sudah memadai untuk saya gunakan dalam cabaran akhir nanti. Mereka (tenaga pengajar) lebih tahu kekuatan dan kelemahan yang dimiliki setiap peserta,” ujar peserta berusia 28 tahun itu.
Sementara itu, bagi seorang lagi peserta akhir iaitu Mohd. Ismail, dia pula tidak sabar membuktikan bakat terpendam yang dimiliki di cabaran akhir Ikon Siarawan.
“Malam kemuncak Ikon Siarawan nanti saya akan menonjolkan sesuatu yang berlainan. Saya cuba untuk melakukan cabaran itu nanti secara spontan tanpa berpandukan skrip semata-mata,” ulas pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.
Ikon Siarawan menawarkan hadiah bernilai RM100,000 untuk juara, naib juara RM50,000, tempat ketiga sebanyak RM30,000 manakala tempat keempat dan kelima pula masing-masing bakal memperoleh wang tunai RM5,000.
Sepanjang menyertai program realiti itu, peserta-peserta dapat mempelajari pelbagai aspek antaranya etika kewartawanan, teknik berhadapan dengan kamera, penyampaian berita, pengacaraan serta latihan dalam melaporkan berita dari lokasi secara langsung.
Program realiti yang akan disiarkan secara langsung di TV2 pada pukul 9 malam itu nanti juga tidak menggunakan medium undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), sebaliknya peserta dinilai seratus peratus berdasarkan penjurian profesional.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: