Monday, June 30, 2014

Nidji, runut bunyi dan Ramadan



SELAIN sukses dengan lagu-lagu dari album studio, lagu-lagu runut bunyi ciptaan mereka seperti Laskar Pelangi telah melonjakkan saham Nidji menjadi lebih tinggi.


SEJAK ditubuhkan di Jakarta, Indonesia pada tahun 2002, band Nidji yang dianggotai oleh Giring (vokalis), Andro (bass), Randy (keyboard), Rama (gitar), Ariel (gitar) dan Adri (dram) bukanlah satu nama yang cukup asing.
Mula melonjak dengan lagu-lagu yang mengangkat nama mereka seperti Sudah, Hapus Aku, Laskar Pelangi dan Biarlah, ternyata kehadiran mereka dapat diterima ramai dalam industri muzik di Indonesia dan Malaysia.
Bagaimanapun, sambutan terhadap lagu Laskar Pelangi begitu memberi impak kepada band tersebut. Ironinya, lagu yang menjadi runut bunyi untuk filem Laskar Pelangi itu meraih populariti seiring dengan filem berkenaan yang ditonton seramai 4.6 juta orang ketika ditayangkan di pawagam pada tahun 2008.
Berkesempatan bertemu dengan anggota Nidji ketika rangka promosi album King Of Soundtrack baru-baru ini, Giring memberitahu bahawa lagu itu memberi impak tersendiri buat mereka.
"Semuanya bermula apabila penerbit filem, Mira Lesmana yang sebelum ini cukup dikenali menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta telah menawarkan kepada kami untuk menghasilkan runut bunyi filem Laskar Pelangi yang diadaptasi daripada sebuah novel.
"Secara kebetulan pula saya memang meminati novel berkenaan dan Mira tidak mengetahuinya. Menariknya, ketika tawaran itu diterima saya baru mengetahui yang filem tersebut sedang menjalani penggambaran," jelasnya tentang pembabitan awal Nidji dalam menghasilkan lagu runut bunyi.
Menurut Giring, selain filem itu yang mendapat sambutan begitu luar biasa daripada penonton, ternyata lagu nyanyian mereka turut terkena tempiasnya sehingga menjadi siulan ramai.
Ujarnya, sejak kejayaan lagu Laskar Pelangi juga Nidji sering mendapat pelbagai tawaran daripada para penerbit untuk menghasilkan lagu runut bunyi filem.

NIDJI sempat menghiburkan media pada majlis pelancaran album runut bunyi King of Soundtrack di ibu pejabat syarikat rakaman Warner Music baru-baru ini.


"Selepas kejayaan yang diraih itu kami memang banyak menerima tawaran, tetapi timbul perasaan ragu-ragu dalam diri. Antaranya, kami bimbang kalau tidak dapat menghasilkan lagu yang sebaik seperti Laskar Pelangi.
"Namun begitu, kami akhirnya bersetuju menghasilkan lagu runut bunyi atas sokongan yang diberikan. Cuma, kami lebih selektif dalam memilih filem-filem tertentu dan enggan terlalu ghairah," tegasnya yang akan terbabit dengan filem yang berkualiti dan menolak filem berunsur komedi seram.
Jelas Giring, menghasilkan sebuah lagu runut bunyi bukanlah perkara yang mudah kerana beberapa proses perlu dilalui agar lagu yang dihasilkan itu bersesuaian dengan filem tersebut.
Misalnya, untuk empat buah lagu runut bunyi bagi filem berjudul 5cm, Giring mendedahkan mereka terpaksa mengambil tempoh masa selama setahun menghasilkannya.
"Sebelum mencipta sesebuah lagu itu kami perlu tahu terlebih dahulu jalan cerita filem berkenaan, individu yang bertindak sebagai pengarah serta barisan pelakon yang membintanginya.
"Selain itu, kami perlu melakukan kajian berdasarkan skrip yang diberikan serta beberapa perbincangan yang dibuat bersama penerbit. Itu yang menyebabkan prosesnya mengambil masa yang agak lama," ujarnya.

NIDJI menerima penghargaan terhadap kelahiran album runut bunyi King of Soundtrack yang diberi oleh Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy (empat dari kanan).


Runut bunyi
Bercerita lebih lanjut mengenai album King Of Soundtrack yang baru sahaja dilancarkan, Giring menyatakan bahawa terdapat 12 buah lagu runut bunyi untuk filem seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, 5cm dan Laskar Pelangi serta drama bersiri Heroes.
Menurutnya, mereka berbangga kerana filem-filem berkenaan mendapat sambutan hangat serta mencatatkan kutipan pecah panggung, sekali gus lagu-lagu nyanyian mereka juga semakin dikenali.
"Kalau filem Laskar Pelangi ditonton seramai 4.6 juta orang, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan 5cm juga tidak kurang hebat dengan jumlah tontonan seramai dua juta orang.
"Album ini sudah dilancarkan di Indonesia pada bulan Mei lalu dan lebih menarik lagi salah sebuah lagu dalam album ini iaitu Sumpah Dan Cinta Matiku telah memenangi anugerah bagi kategori Lagu Runut Bunyi Filem Terbaik pada acara Anugerah Musik Indonesia 2014 baru-baru ini," ujarnya.
Selain Sumpah Dan Cinta Matiku, lagu-lagu lain yang terkandung dalam album ini seperti Teroesir (Menunggu Karma), Hidup Tanpa Cintamu, Nelangsa, Tuhan Maha Cinta, Di Atas Awan, Rahasia Hati, 5cm, Takkan Pernah Mati, Heaven, Shadow dan Laskar Pelangi.
Selepas terbitnya album berkenaan, Giring memberitahu bahawa berkemungkinan besar mereka akan terbabit pula dalam penerbitan album King Of Soundtrack 2 pada masa akan datang.
"Untuk album runut bunyi kedua pula, antara lagu yang akan dimuatkan seperti Ketika Tuhan Jatuh Cinta untuk filem yang menggunakan tajuk sama serta lagu berjudul Yasmin yang merupakan lagu bagi sebuah filem yang diterbitkan di negara Brunei," jelasnya.
1,000 persembahan
Beralih cerita tentang kedatangan Ramadan, Giring menyatakan aktiviti nyanyian Nidji akan tetap berjalan seperti biasa dengan memenuhi undangan yang diterima.
Ujarnya, biarpun umat Islam menjalani ibadah puasa di siang hari, tetapi ia langsung tidak menghalang mereka mengadakan persembahan serta sibuk dalam rangka promosi produk minuman Coca Cola memandangkan mereka merupakan duta produk berkenaan.
"Sebenarnya kami ada sasaran tersendiri yang diberi nama Road To 1,000 Show. Sejak aktif dalam industri nyanyian, Nidji sudah mengadakan sebanyak 987 buah persembahan sehingga sekarang.
"Jadi, kami akan berusaha melengkapkan 1,000 buah persembahan pada tahun ini. Selain itu, kami juga dalam proses untuk melahirkan sebuah album baharu yang tampil dengan kelainan berbanding album kami terdahulu," ujar Giring.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: