Penganjuran Karnival Caring UIAM 2014 bertujuan untuk meraikan anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan dalam suasana santai tapi penuh keceriaan.
|
BALING selipar, galah panjang, teng-teng dan batu seremban merupakan antara permainan tradisional yang amat popular satu ketika dahulu.
Namun, jika ditanya pada kanak-kanak zaman ini, pasti ramai yang menggelengkan kepala tanda tidak tahu mengenainya.
Sebaliknya, permainan video dan aplikasi yang dimuat naik dalam gajet dan bersifat pasif tanpa melibatkan sebarang aktiviti fizikal menjadi kegemaran generasi muda hari ini.
Baru-baru ini, melalui penganjuran Karnival Caring 2014, permainan tradisional kembali diangkat untuk diperkenalkan kepada anak-anak remaja yang terlibat.
Dinamakan Caring Jaguh Kampung, ternyata aktiviti ini berjaya mengembalikan nostalgia zaman silam mengenai keseronokan bermain permainan tradisional bersama rakan-rakan.
Salah seorang peserta, Nor Anida Anasipudin mengakui, acara itu memberi satu pengalaman yang mengujakan buat mereka.
"Peluang bermain batu seremban bersama anak-anak yatim yang menyertai program ini membuat saya belajar menghargai diri dan orang di sekeliling.
"Malah, melalui aktiviti ini, saya dapat mengenali dan bertukar-tukar pandangan dengan mereka dalam pelbagai aspek kehidupan," ujar Nor Anida yang datang bersama ahli keluarganya.
Berlangsung pada 12 hingga 26 April lalu, karnival ini dianjurkan oleh Kelab Caring Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor dalam usaha untuk mengumpul dana bagi tabung kelab tersebut.
Program tersebut melibatkan penyertaan para pelajar, kakitangan dan golongan anak-anak yatim yang dijemput khas.
Membantu
Selain mengutip dana, karnival ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga universiti dan masyarakat untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan.
Pengarah Program Karnival Caring 2014, Mohammad Ikmal Hisham Ashari berkata, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat sekitar.
Antaranya, pertandingan Golden Talent Show 2.0, Caring Jaguh Kampung, Spiritual Talk on Bicara Iman, Caring Theatre Night dan Caring Charity Dinner.
"Bagi Golden Talent Show 2.0, ia berlangsung pada 12 April lalu di Auditorium Mini UIAM. Acara ini menyaksikan beberapa pertandingan seperti nasyid, hafazan al-Quran, azan dan bercerita sirah nabi yang disertai oleh anak-anak yatim dari rumah kebajikan berbeza.
"Pertandingan permainan tradisional seperti teng-teng, galah panjang dan batu seremban pula diadakan di Kompleks Sukan Wanita UIAM," ujar Mohammad Ikmal Hisham.
Turut dianjurkan ialah majlis ilmu yang dinamakan Spiritual Talk on Bicara Iman di Dewan Eksperimental, UIAM. Program bual bicara tentang percintaan, pelajaran serta pengurusan kehidupan melalui cara yang dibenarkan Islam yang menampilkan Ustaz Abah Mkhairi dan Ustazah Dr. Raudlotul Firdaus sebagai penceramah.
Acara Caring Theatre Night di Auditorium Utama UIAM pula mempersembahkan lapan buah teater daripada produksi universiti tersebut.
Akhir sekali, karnival ini melabuhkan tirainya melalui program Caring Charity Dinner bertempat di Restoran Hadramawt, Ampang, Kuala Lumpur pada 26 April lalu.
Persembahan khas
Kesemua peserta makan malam ini, telah dihiburkan dengan persembahan khas kumpulan nasyid UNIC, pemenang pertandingan Golden Talent Show 2.0 dan persembahan terbaik dari Caring Theatre Night.
Tambah Mohammad Ikmal Hisham, secara keseluruhan pihaknya berpuas hati kerana matlamat penganjuran karnival ini dapat dicapai.
"Alhamdulillah, kita dapat mengumpulkan orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan dalam satu majlis yang memberi kesedaran terhadap keadaan anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan bantuan.
"Moga usaha yang kecil ini memberi kegembiraan pada mereka yang diraikan sekali gus mendapat keredaan Allah," tutur pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: