|
SEGEROMBOLAN anak muda berkopiah berjalan kaki beramai-ramai melalui sebatang jalan di Kampung Rengas, Machang, Kelantan petang itu memegun pandangan penulis. Tidak lama kemudian, sekumpulan lain yang berpenampilan serupa datang dari arah berbeza turut menuju ke kampung sama.
Dalam kalangan mereka ada yang berkain pelikat, menggalas beg dan tuala tersangkut di bahu. Jurugambar Irwan Majid sudah siaga dengan lensa kameranya. Kami yang berada di dalam kereta tertanya-tanya: Mereka hendak ke mana? Tiada airkah?
Selepas beberapa ratus meter mengikuti mereka, terjawablah segala-galanya.
Rupa-rupanya mereka ialah pelajar dari beberapa buah sekolah tahfiz sekitar kawasan itu yang merupakan pengunjung setia Kolam Air Panas Tok Bok yang semakin dikunjungi ramai.
Walaupun empat hingga lima tahun lalu, kawasan tersebut pernah dilaporkan 'sendu' dan terbiar, kini keadaannya jauh berbeza. Setelah dinaik taraf kira-kira setahun lalu dan usaha penjagaannya dipertingkat, kolam yang menakung air panas semula jadi bersuhu antara 38 hingga 42 darjah Celsius itu nampak 'menggelegak' popularitinya sebagai pusat rekreasi setempat.
Pelbagai lapisan masyarakat berkunjung di situ. Lelaki, wanita dan kanak-kanak, orang muda mahupun orang tua dan yang sakit bertongkat atau dipapah juga boleh dilihat. Bukan sahaja dari Machang, tapi sehingga ke Kuantan, Pahang berkunjung dan ada juga orang Kota Bharu yang hari-hari bertandang.
Kawasannya tidaklah besar namun setelah diperindah dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bilik persalinan, air pancuran, taman permainan, surau, tandas, wakaf dan gerai makanan, ia boleh dikatakan turut menjadi pilihan keluarga bersantai.
Berdinding
Kolam air panas terdiri daripada kolam sebesar kira-kira 72 meter persegi yang diasingkan oleh pembahagi berdinding untuk dua jantina dengan bahagian wanita tertutup. Terdapat juga kolam kecil berair lebih cetek yang dibina untuk kanak-kanak.
Menurut sejarahnya, kolam air panas ini ketika ditemui oleh pemilik asal tanah berkenaan yang merupakan seorang Penggawa Daerah Labok, Mohd. Taib Ibrahim adalah sekadar pancutan air panas yang wujud di tengah-tengah sawah padi.
Beliau mula memajukan tapak berkenaan pada awal tahun 1950-an sehinggalah meninggal dunia pada tahun 1962.
Pada masa itu, kos sebanyak RM9,000 dibelanjakan untuk menimbun tanah di kawasan itu untuk membuat kolam.
Pihak kerajaan tempatan telah mengambil alih daripada pemilik asal pada awal tahun 1980-an.
Seorang penduduk kampung, Ariff Ismail, 53, berkata, kolam air panas di kawasan itu pada asalnya terdiri daripada satu telaga dan satu kolam serta kewujudannya masih misteri.
“Sampai sekarang tidak diketahui bagaimana boleh wujud air panas di sini yang terletak di kawasan berpaya dan bersawah padi. Ahli kaji bumi juga setakat ini tidak tahu lagi puncanya ia berada di sini. Kalau di Kelantan, ada dua sahaja kolam air panas, satu di sini dan satu lagi di Jeli, di atas bukit,” katanya.
Mengimbas memori silam, Ariff berkata, apabila melihat kolam air panas tersebut dia terkenangkan waktu kecilnya yang turut menjadikan kolam air panas itu sebagai tempat ‘permainannya’.
“Saya masih ingat, sejak kecil lagi saya dah turun berenang dalam kolam air panas itu. Dahulu kawasan ini tak cantik dan ada macam-macam kemudahan sekarang,” katanya.
Ariff memberitahu, beberapa penduduk kampung di situ termasuk dirinya sudah lama mengambil inisiatif sendiri untuk membantu Majlis Daerah Machang menjaga tempat tersebut.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Daud, 56, berkata, sambutan pengunjung ke kolam tersebut yang dibuka 24 jam begitu menggalakkan kebelakangan ini terutama pada hujung minggu.
“Dahulu, memang tak ramai datang tapi sekarang lepas ia dicantikkan dan dilengkapi kemudahan sangat ramai yang datang. Kalau hari Jumaat dan Sabtu, orang datang bertali arus. Pukul 1 pagi atau 2 pagi pun saya kadang-kadang datang jenguk memantau,” katanya.
Mohamad berkata, antara tarikan utama orang datang ke kolam tersebut adalah untuk melegakan penyakit lenguh-lenguh, urat saraf, kulit dan turut dikatakan boleh mengurangkan masalah angin ahmar.
“Seorang warga emas dari Kadok yang menghidap strok datang setiap hari ke kolam ini sejak dua tahun lalu. Ketika mula-mula datang, dia diusung oleh anak-anaknya, sekarang boleh datang sendiri dengan menunggang motosikal,” ujarnya.
Dalam pada itu, bagi menguruskan kolam air panas itu, pihak Majlis Daerah Machang telah meletakkan seorang kakitangannya secara sepenuh masa sejak awal tahun ini.
Pengunjung setia
Seorang pembekal batik dari Kota Bharu, Nik Kamaruzaman Nik Jaafar, 58, merupakan pengunjung setia kolam tersebut berkata, dia ke kolam tersebut sejak tahun 1984,
“Boleh dikatakan setiap hari kalau ada masa terluang saya datang ke sini. Biasanya, saya habiskan dalam empat ke lima jam di sini.
“Bagi saya, di kolam panas ini saya temui tenaga baharu dan ketenangan,” katanya.
Bagi Fadli Abdul Manan, 30, pula berkata, kolam air panas itu boleh diibaratkan seperti sauna bagi masyarakat di situ.
“Bila kali pertama mandi kolam air panas, biasanya selepas itu kita akan rasa perit-perit dan tak selesa badan sedikit.
“Tapi selepas dua tiga kali datang, jadi ketagih pula. Selepas berendam, tidur malam jadi nyenyak dan mudah lena,” ujarnya.
Bagi Suzila Hashim, 29, dari Kampung Banggol Judah, Machang yang datang bersama keluarganya buat kali pertama ke kolam air panas itu berhajat untuk datang semula setelah melihat pelbagai kemudahan di situ.
Dia datang bersama suaminya, Mohd. Saiful Nizam Haizan, 34, dan tiga anak mereka, Akmal Hakim, 9, Nur Ain, 7 dan Akmal Ashraf, 6 bulan.
“Selama ini, saya tahu tentang kolam air panas ini tetapi baru hari ini berpeluang untuk datang. Saya rasa suka dan akan datang lagi. Memang sesuai jadi lokasi bersantai bersama keluarga pada hujung minggu.
“Taman permainan untuk kanak-kanak juga turut disediakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: