Friday, June 6, 2014

Kemahiran wanita Pakistan diiktiraf




WANITA Pakistan itu tidak pernah kenal kapten bola sepak Argentina, Lionel Messi. Negaranya juga langsung tidak tersenarai untuk berentap pada Piala Dunia 2014. Namun, Gulshan Bibi, ibu kepada lima orang anak itu tidak sabar menunggu ketibaan pertandingan bola sepak paling berprestij di dunia tersebut. Ini kerana, dia turut terlibat secara tidak langsung iaitu menghasilkan bola yang dikenali sebagai Brazuca.
Apabila Brazil dan Croatia beraksi pada perlawanan pembukaan di bandar terbesar di Brazil, Sao Paulo pada 12 Jun ini, para pemain mungkin menggunakan bola yang dibuat oleh Gulshan dan rakan-rakannya. Mereka bekerja di kilang Forward Sports di bandar Sialkot yang terletak di timur Pakistan.
"Saya memang tertunggu-tunggu musim Piala Dunia dan dengan izin Allah, kami akan menonton perlawanan tersebut nanti. Bola yang kami buat akan digunakan pada kejohanan itu dan semua wanita yang bekerja di sini berasa sungguh bangga," ujarnya.
Pakistan terkenal dalam permainan kriket, namun dalam bola sepak ia menghuni tangga ke-159 dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Di sebalik fakta tersebut, Sialkot masih mampu berbangga. Ini kerana, kilang Forward Sports yang bekerjasama dengan syarikat sukan terkemuka German, Adidas sejak tahun 1995 telah membekalkan bola untuk pelbagai kejuaraan bola sepak terhebat dunia termasuklah Liga Juara-Juara, Liga German Bundes dan terkini Piala Dunia.
Difahamkan, seorang tukang kasut pernah diminta untuk membaiki bola sepak pancit untuk askar Inggeris pada era kolonial dan tidak lama kemudian dia belajar cara-cara untuk menghasilkan bola sendiri.
Begitulah bermulanya sejarah pembuatan bola sepak sehingga menjadi satu industri di negara tersebut.
Eksplotasi
Begitupun, industri pembuatan bola sepak itu tercemar dengan skandal eksploitasi buruh kanak-kanak pada tahun 1990-an sehingga hampir menggugat industri tersebut.
Kini, jenama antarabangsa seperti Adidas menjalankan usaha sama yang rapat dengan kilang dan badan bukan kerajaan untuk memastikan tiada kanak-kanak dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Di Forward Sports, pekerja perlu menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan mereka berumur lebih 18 tahun.

MESSI memegang bola Brazuca yang akan digunakan pada Piala Dunia 2014.


Dalam pada itu, bayaran gaji kasar serendah 10,000 rupee (RM546) sebulan kepada pekerja dikhuatiri mempengaruhi kualiti bola Brazuca yang ditetapkan oleh standard piawaian FIFA.
Namun begitu, beberapa pemerhati memberitahu agensi berita antarabangsa, AFP bahawa kilang tersebut menjaga kebajikan pekerjanya dengan baik sekali.
Kilang Forward Sports terletak hanya beberapa meter dari Jalan Grand Trunk iaitu lebuh raya lama yang merentasi Pakistan hingga Kolkata, India.
Jadi tidak hairanlah, dari bangunan itu kedengaran bunyi bising lori dan motosikal yang sarat membawa penumpang seperti ahli keluarga serta ternakan.
Dalam barisan pengeluaran bola Brazuca, kelihatan golongan wanita bertudung dan sebahagian mereka yang berselubung penuh menjalankan tugas dengan tekun dan cekap.
Mereka bermula dengan beberapa keratan poliuretana putih rata berbentuk kincir ditambah dengan warna-warna terang Brazuca dan panel-panel itu kemudian digam pada getah bola.
Selepas itu, lapisan tersebut dirawat dengan menggunakan bahan kimia istimewa dan bola dipanaskan serta dimampatkan dalam pengapit sfera untuk mendapatkan bentuk bola yang sempurna. Haba pula diperlukan bagi mengaktifkan suhu sensitif yang bertindak menggabungkan sebatian bola berkenaan.
Keseluruhan proses bermula dari pembikinan panel rata hingga ke produk akhir mengambil masa selama 40 minit dan kilang itu mampu menghasilkan sehingga 100 unit bola bagi setiap jam. Kepantasan adalah amat penting bagi mengelakkan kotoran masuk ke dalam bola.
Ia merupakan proses berteknologi tinggi bagi Pakistan dengan kebanyakan tenaga kerja mereka tidak berpengalaman dan berpendidikan tinggi. Cukup menyedihkan kerana hampir separuh daripada populasi di negara tersebut tidak boleh membaca dan menulis.
"Kami mengambil pekerja yang tidak berpengalaman dan melatih mereka. Ini merupakan satu pekerjaan yang tidak ada di tempat lain. Anda perlu mencari seseorang yang mempunyai tingkah laku baik dan melatih mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif Forward Sports, Khawaja Masood Akhtar.
Pesanan
Sebanyak 90 peratus daripada mereka yang bekerja di kilang Brazuca merupakan wanita. Situasi tersebut cukup asing di Pakistan kerana sebahagian besar wanita di negara itu berada di rumah bersama keluarga.
Membuat Brazuca bukannya mudah bagi Forward Sports kerana Adidas membuat pesanan dalam masa singkat setelah menyedari pengeluar utama di China tidak mampu memenuhi permintaan mereka.
Dalam tempoh hanya lebih sebulan, Forward Sports berjaya memiliki peralatan yang diperlukan untuk membuat Brazuca.
"Ia merupakan satu penghormatan bagi kami. Kami mahu melakukannya," kata Hassan Masood Khawaja selaku Ketua Pembangunan Produk Baharu di kilang tersebut.
Kawalan kualiti adalah penting, kerana perlawanan bola sepak terbesar dunia dan pemain-pemain hebat mahukan peralatan yang terbaik.

BOLA diukur bagi memastikan permukaannya benar-benar sfera.


Di makmal Forward Sports, juruteknik berpakaian putih meletakkan Brazuca seberat 437 gram dan berukuran 69 sentimeter ukur lilit di atas peralatan canggih yang dibawa dari Jerman melalui satu siri ujian.
Satu mesin memutarkan bola itu manakala satu lengan melengkung mengesan permukaannya untuk mengukur 4,500 titik dan menghasilkan bentuk tiga dimensi (3D) pada komputer bagi memastikan ia betul-betul bulat.
Mesin lain yang digunakan adalah bagi mengukur lantunan, rintangan air, acuan dan permukaan bola yang berkilat.
Ketahanan
Ketahanan bola turut diuji dengan teliti. Satu mesin istimewa digunakan bagi menguji ketahanan bola iaitu 3,500 kali ganda tekanan pada jarak 50 kilometer (km) dengan kelajuan 48.2 km sejam.
Brazuca telah direka selepas kontroversi yang menimpa bola Jabulani di Afrika Selatan pada tahun 2010. Ia diselar kerana kualiti tidak konsisten dan bola melayang hingga sukar dijangka.
Ahli-ahli sains membuat kesimpulan bahawa buatan mesin Jabulani terlalu licin dan sfera untuk terbang lurus dengan kecenderungan untuk bergerak perlahan di udara secara tiba-tiba.
Adidas menghabiskan dua tahun setengah dalam bidang penyelidikan untuk menghasilkan bola baharu. Ia diuji di 10 negara dengan 600 pemain dari 30 kumpulan termasuk Messi, pemain England, Steven Gerrard dan pemain Jerman, Bastian Schweinsteiger.
Lapisan dalam dan permukaan bertekstur Brazuca mampu menangani aliran udara ke atas permukaannya sekali gus membantu ia terbang seperti bola tradisonal yang mempunyai 32 panel.
Khawaja berkata, pemain-pemain seperti Messi dan pemain Portugal, Cristiano Ronaldo diharapkan tidak mengalami kejutan negatif ketika beraksi di Brazil.
"Kami mahu bola ini menjadi sama seperti yang mereka guna dalam perlawanan Liga Juara-Juara. Mereka sepatutnya tidak dapat rasakan perbezaannya," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: