Friday, June 20, 2014

Aeril, Wawa tolak babak bersentuhan


AERIL ZAFREL dan Wawa Zainal bersepakat untuk tidak mendedahkan anak sulung mereka, Ahmad Fakhruddin Attar kepada pihak media.


MENYAKSIKAN pelakon, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal hadir berpimpin tangan ke majlis ulang tahun TV3 yang ke-30 di Sri Pentas Bandar Utama Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, jelas membayangkan pasangan suami isteri itu sedang bahagia menjalani fasa kehidupan berumah tangga.
Tiada lagi garis-garis luka pada wajah Wawa, sebaliknya wanita berusia 22 tahun itu cukup berseri berkongsi cerita mengenai kehidupan bahagia yang dilalui mereka pada hari ini.
Cukuplah kontroversi yang melanda dirinya dan suami ekoran menyembunyikan perkahwinan pada tahun lalu itu lenyap di telan masa. Cinta mereka, cinta duka yang berakhir dengan bahagia.
"Saya tidak berasa sedih atau terkenang lagi kejadian yang berlaku sebelum ini. Saya bahagia sangat dengan kehidupan sekarang di samping suami dan anak, Ahmad Fakhruddin Attar yang kini sudah menginjak usia sembilan bulan," luah Wawa sambil memeluk erat lengan suaminya.
Menganggap semua yang terjadi sebelum ini sebagai sejarah silam, kata Aeril pula, semua orang pernah mengalaminya. Cuma apa yang menjadi persoalan sama ada kita mahu mengenangkan ia buat selama-lamanya atau menuju ke hadapan dengan menjadi manusia yang lebih baik.
Bergandingan buat pertama kali dalam drama setelah disatukan sebagai suami isteri, Aeril mengakui kekok bercinta dengan Wawa dalam drama Cerita Cinta Kita terbitan TV3.
Namun sebagai hal yang bukan tabu, Aeril dan Wawa tetap memberikan lakonan semula jadi di hadapan kamera demi kepuasan penonton.
"Saya bawa watak Adam yang bercinta dengan Salmah iaitu Wawa dalam drama ini, namun ibu Salmah cuba memisahkan kami dan mengahwinkan Salmah dengan Dr. Khairuddin (Dazrin)," ungkap Aeril mengenai wataknya dalam drama yang ditayangkan setiap Rabu dan Khamis, pukul 9 malam itu.
Jaga batas
Membenarkan Wawa berlakon di samping Dazrin, Aeril percaya Wawa tahu menjaga batas-batasnya sebagai seorang isteri.
Pelakon berusia 26 tahun itu juga tidak risau andai Wawa bakal bergandingan dengan lelaki lain dalam drama tanpa dirinya berada di lokasi kerana sebagai pelakon dia tahu keadaan sesebuah drama itu dihasilkan.
"Saya tidak perlu risau andai saya tidak bersama Wawa dalam sebuah drama kerana sebagai seorang pelakon, saya tahu keadaan penggambaran. Pengarah tahu untuk mendapatkan babak mesra tanpa perlu bersentuhan hanya dengan menggunakan teknik kamera. Saya juga percaya Wawa tahu batas lakonan dia sampai mana," jelasnya yang tidak meletakkan syarat ke atas mana-mana penerbit andai ingin mengambilnya perlu mengambil Wawa juga.
Biarpun Aeril memberi sepenuh kepercayaan, sebagai isteri yang sudah bertudung, Wawa juga menolak untuk berlakon babak-babak yang memerlukannya bersentuhan dengan lelaki.
Malah, pelakon berasal dari Lahad Datu, Sabah itu mengakui kena lebih selektif dalam lakonan.
"Tidak semua babak boleh saya lakonkan memandangkan kini saya sudah bertudung dan menjadi isteri. Macam Cerita Cinta Kita, ada babak yang memerlukan saya dan Dazrin berpegangan tangan.
"Saya minta supaya tidak diadakan babak tersebut dan Dazrin terima. Kalau setakat babak dia tolak saya itu tiada masalah," ujar Wawa menjelaskan lebih lanjut mengenai pendiriannya.
Tidak risau pendiriannya dan isterinya itu bakal mengehadkan tawaran lakonan yang hadir, Aeril percaya rezeki Allah itu sentiasa ada jika mereka sentiasa menjaga adab dan hukum.
Bukan hanya pada bidang lakonan, Aeril memberitahu, rezeki yang hadir mungkin dalam pelbagai cabang bidang seperti pengacaraan atau menjadi duta sesuatu produk.
"Saya percaya dengan rezeki Allah. Apabila kita menjaga hukum, lebih banyak rezeki yang Allah akan bagi. Jadi kita tidak perlu takut," tuturnya.
Bakal bergandingan bersama sekali lagi untuk beberapa telefilem dan drama pada masa akan datang, Aeril mengakui risau kekerapan berlakon dengan Wawa akan menimbulkan rasa jemu dalam kalangan penonton.
Akan cuba mengehadkan gandingan bersama di dalam kaca TV, namun Aeril juga tidak menolak rezeki lakonan yang hadir untuknya dan isteri.
Enggan dedah anak
Berkongsi mengenai hal anak, kata Wawa, dia sudah berani membiarkan anaknya dijaga oleh ibunya sejak dua bulan lalu.
"Selepas drama Cerita Cinta Kita, kami akan muncul bersama sekali lagi dalam sebuah telefilem raya arahan Mawi AF. Alhamdulillah, sejak mula bekerja dua bulan lalu, ibu banyak membantu menjaga Attar di rumah," ungkapnya mengenai anaknya yang sudah pandai merangkak itu.
Tidak mahu memikirkan cahaya mata kedua, kongsi Wawa lagi, rasa penat melahirkan dan menjaga Attar masih terasa.
Sebaliknya, bagi Aeril pula, dia sudah bersedia menimang cahaya mata kedua pada tahun depan.
Tidak jemu-jemu berkongsi perihal Attar, namun pasangan suami isteri itu menolak andai ada mana-mana media yang ingin mengadakan sesi fotografi bersama Attar.
Bagi Aeril, cukuplah sekadar anaknya itu ditonton dalam laman sosial Instagram.
"Buat masa ini saya belum bersedia bawa anak saya ke mana-mana media. Sesiapa yang dapat tengok anak kami pun hanya di Instagram. Sebabnya, saya tidak mahu dia terdedah dengan publisiti," lantunnya.
Menyambung bicara Aeril, Wawa memberitahu, suaminya itu tidak mahu mendedahkan anak mereka dalam bidang seni.
Cukuplah sekadar mereka berdua sahaja yang terdedah dalam bidang seni.
"Aeril tidak mahu apabila muka Attar sering terdedah di media, ia akan menjejaskan Attar di kemudian hari," kata Wawa.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: