LIMA tahun sudah berlalu tetapi peristiwa pahit yang hinggap dalam hidup Effy masih segar dalam ingatannya.
Apa tidaknya, bahagia perkahwinan yang diimpikan berpanjangan hingga ke anak cucu tidak kesampaian apabila dia diceraikan dengan talak tiga.
Lebih menyedihkan, wanita berusia 36 tahun itu dilepaskan atas kemahuan suami yang lebih berminat dengan kaum sejenis.
Menceritakan kembali kisah rumah tangganya, Effy memberitahu, dia berkahwin dengan Jay atas pilihan keluarga.
Sepanjang tempoh perkahwinan itu, dia akui tidak mengesyaki tindak-tanduk suaminya memandangkan secara luaran jejaka itu tampak maskulin seperti lelaki tulen lain.
Bagaimanapun, lama-kelamaan, dia menyedari Jay mempunyai sifat meragukan menerusi gerak-geri serta pergaulan dengan teman-temannya.
“Pada awalnya, saya tidak perasan apa-apa yang pelik pada dirinya. Manakan tidak, boleh dikatakan kebanyakan kawan-kawannya lelaki sejati.
“Namun, saya mula syak sesuatu selepas melihat perbualannya di laman media sosial yang lebih berkisarkan minat terhadap fesyen dan kecantikan,” imbas Effy.
Metroseksual
Bertutur lanjut, wanita yang berasal dari selatan tanah air itu berkata, dia tidak mahu bersangka buruk dan berpendapat, suaminya itu hanya lelaki metroseksual yang sangat mementingkan gaya dan penampilan diri.
“Golongan lelaki lazimnya sukakan sukan bola sepak, kereta, permainan komputer dan gajet elektronik tetapi Jay tidak. Minatnya lebih menjurus kepada pakaian, alat solek dan barang kelengkapan rumah.
“Malah, dia juga gemar menghabiskan masa dengan membeli-belah dan mengunjungi salun kecantikan yang sepatutnya menjadi kegemaran wanita,” katanya.
Tambah Effy, tabiat songsang suaminya itu akhirnya dapat dihidu apabila dia menemui gambar suaminya dalam keadaan mesra dengan lelaki lain.
Lebih malang, dia turut menemui aplikasi yang sering digunakan golongan lelaki gay untuk mencari pasangan dalam telefon pintar milik suaminya.
“Saya benar-benar terkejut dan tertekan selepas mengetahui perkara sebenar. Patutlah kehendak serta tuntutan naluri saya sebagai seorang isteri tidak pernah dipenuhinya.
“Bayangkan, walaupun sudah beberapa tahun berkahwin, dia tidak pernah menyentuh apatah lagi meniduri saya. Alasannya tidak bersedia atau belum mahukan zuriat lagi,” luahnya.
Tambah Effy, dia juga tidur secara berasingan dengan Jay biarpun mereka tinggal sebumbung.
“Kalau perlu tidur sekatil, kami akan tidur seperti adik-beradik,” ujarnya yang mengakui masih dara.
Effy yang memang inginkan zuriat tidak menolak kenyataan bahawa dia pernah cuba menggoda suaminya itu namun dibalas dengan ugutan cerai.
“Jay akan memarahi dan mengugut akan menceraikan saya jika saya berterusan bertanyakan soal anak.
“Puas saya pujuk dan nasihat supaya dia berubah dan kembali ke pangkal jalan tetapi usaha itu ibarat mencurahkan air ke daun keladi,” katanya kesal.
Hutang
Akibat tidak tahan dengan keadaan itu, Effy berkata, dia memohon agar Jay melepaskan dirinya secara baik.
Penantian anak sulung daripada tiga adik-beradik itu berakhir setelah mahkamah mengesahkan perceraian mereka pada Oktober 2010.
Bagaimanapun, entah di mana silapnya, penderitaan wanita berstatus janda itu tidak bernoktah di situ sementelah dia terpaksa menanggung hutang Jay dengan ceti haram.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh ah long bahawa Jay telah meminjam wang sebanyak RM500 namun gagal membayar balik sehingga faedahnya mencecah RM10,000.
“Terpaksalah saya menjelaskan hutang itu memandangkan Jay menghilangkan diri selepas bercerai. Saya bernasib baik kerana meskipun terpaksa ikat perut, hutang itu habis dibayar dalam tempoh dua tahun,” ujarnya yang bekerja sebagai penyelia di sebuah butik pakaian di Singapura.
Akur dengan ketentuan perjalanan hidupnya, Effy kini lebih selesa hidup bersendirian.
Menurutnya, dia sungguh menyesal dengan perkahwinannya itu tetapi tiada apa yang mampu dilakukan kerana semua yang berlaku adalah suratan takdir.
Sungguhpun begitu, jauh di sudut hatinya, dia berharap agar Jay diberikan petunjuk dan hidayah oleh Tuhan supaya kembali ke jalan yang benar.
“Saya tidak mahu memikirkan soal jodoh lagi buat masa ini. Saya cuma mampu berdoa agar Tuhan menunjukkan jalan kepadanya agar dia berubah,” ujarnya menutup bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: