Friday, June 6, 2014

Karier, keluarga dan kecantikan Fauziah


FAUZIAH LATIFF tidak mahu terburu-buru melakukan konsert kerana berpendapat dirinya perlu mempunyai stamina yang bagus serta pasukan produksi yang cekap untuk mendapatkan sebuah konsert yang meninggalkan impak.


BELIAU tidak banyak meluncurkan butir perkataan sepanjang berbicara, adakalanya tersenyum simpul dan banyak merendah diri. Lagaknya seperti enggan ditemu bual tapi selepas diajak untuk bersembang kosong, Fauziah Latiff atau lebih mesra disapa Jee seraya melabuhkan punggung di kerusi berdepan dengan penulis.
Katanya, tiada apa untuk diceritakan. Beliau mengaku bukan lagi sepopular dahulu dan serunya agar menemubual pelakon atau penyanyi yang lebih tersohor masa kini.
"Zaman saya sudah berlalu, biarlah adik-adik saya pula yang merasa popular. Kalau ditanya tentang perkembangan pun tidak banyak yang dapat saya kongsikan," luahnya dalam nada merendah diri.
Mana mungkin seorang penyanyi yang dahulunya menjadi fenomena dalam industri hiburan tiada yang ingin dikongsikan?
Bermula dengan tanya khabar, susur galur cerita berkembang pelbagai kisah semasa dan impian seorang Fauziah Latiff.
"Acara saya sekarang lebih tertumpu pada jemputan korporat, selain itu lebih kepada membesarkan kedua-dua anak saya.
"Bukan tidak mahu membuat kemunculan semula tapi saya fikir masa saya sudah berlalu.
"Saya pernah berada di tempat yang mana saya sering menjadi tumpuan. Ke mana saja pergi, apa-apa yang saya buat semua mahu diperhatikan. Ya, itulah kuasa populariti," katanya ketika diajukan mengenai impian untuk membuat kemunculan semula.
Konsert
Sepanjang kariernya, Jee atau nama sebenarnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff baru dua kali beraksi di pentas teater iaitu Teater Muzikal Tun Abdul Razak dan Rubiah namun tidak berpeluang untuk sebuah konsert mega atas tiket diri sendiri.
SEKIAN lama memegang status ibu tunggal, penyanyi ini memberitahu, dia masih belum mempunyai keinginan untuk berkahwin semula atas alasan sunyi.


Mempunyai rangkaian lagu hit yang malar segar hingga kini, aura, pesona, kredibiliti dan pengalaman rasanya sudah menjadi ramuan lengkap untuk beliau menjayakan sebuah konsertnya sendiri.
Mengulas mengenai impian itu kata Jee, untuk menjayakan sesebuah konsert adalah cita-cita teragung baginya namun dia perlu realistik.
"Saya seorang yang mementingkan kesempurnaan! Untuk menjayakan konsert, saya sendiri perlu mempersiapkan diri daripada segi fizikal dan mental saja selama enam bulan.
"Itu belum masuk aspek teknik yang perlu lebih banyak dipertimbangkan dengan lebih teliti.
"Kalau mahu membuat konsert saya tidak mahu stamina saya nanti diperkatakan. Risau juga nanti tidak cukup latihan saya pula dibilang senang pancit," ujarnya.
Beliau menjadikan contoh Konsert Anuar Zain; Muzik, Cinta & Sanubari tahun lalu sebagai sebuah inspirasi dan penanda aras sekiranya benar dia mahu melaksanakan impiannya itu.
Malah, kekhuatiran mengenai masalah mendapatkan penganjur bukan alasan utama Jee sementelah beliau beberapa kali pernah disunting oleh syarikat besar untuk penajaan konsert.
Berkongsi sedikit perkembangan terkini, kata Jee beliau sedang dalam proses perbincangan dengan beberapa komposer untuk merakamkan single terbaharunya.
Keluarga dan cinta
Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya enggan mengulas lanjut mengenai gosip terdahulu yang mengaitkannya dengan golongan kerabat.
Jelasnya, perkara itu (gosip) sudah berlalu sekian lama dan dia kini lebih selesa dengan kehidupan sendirian.
"Sunyi? Mana mungkin. Kedua-dua anak lelaki saya Jeffry dan Jeremy sentiasa ada untuk saya.
"Lagipun, saya sudah terbiasa dengan kehidupan begini. Untuk mencari teman hidup rasanya belum sampai masanya lagi," tegas penyanyi kelahiran Perak itu.
Untuk lari daripada terlalu memikirkan soal peribadi, Jee cenderung untuk menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti termasuk mengusahakan bisnes produksi belakang tabir.
Sebelum ini, Jee pernah mendirikan rumah tangga dengan Johan Indot pada tahun 1997 tapi bercerai pada tahun 2007.
Menerusi perkahwinan itu beliau dikurniakan dua cahaya mata iaitu Jeffri Joaquim Indot, 15, dan Jeremy Jay Indot, 13.
JEE mengaku dia lebih menumpukan kepada amalan pemakanan dan aktiviti harian untuk kekal sihat dan kelihatan muda.


Motor besar
Aktiviti lain kata Jee, adalah rutin sediakala bersama Lady Bikers Malaysia yang tidak pernah sepi daripada pelbagai agenda.
"Kalau bosan-bosan kami akan berkumpul beramai-ramai dan membincangkan pelbagai hal. Memandangkan semuanya sudah menjadi kawan rapat rasanya tidak kekok untuk bersembang pelbagai cerita.
"Jika teringin untuk berjalan jauh, kami beramai-ramai akan konvoi ke destinasi tertentu seperti Pahang, Melaka dan Johor dalam waktu-waktu tertentu," kongsinya.
Berdepan dengan pelbagai risiko terutama apabila melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi wanita, Jee mengakui beliau masih perlu banyak belajar.
"Saya bukanlah penunggang profesional, malah aktiviti ini pun sekadar hobi.
"Memang sejak kebelakangan ini banyak berlaku kejadian tidak diingini membabitkan penunggang motosikal berkuasa besar tapi doa saya agar dijauhkan daripada sebarang malapetaka setiap kali sebelum menunggang.
"Malang itu tidak berbau jadi saya sendiri perlu memastikan langkah keselamatan diikuti," ujarnya yang pernah menunggang motorsikal berkuasa besar ke Phuket, Thailand.
Kecantikan
Seri yang tidak lekang dimamah usia itulah tafsiran yang paling tepat untuk diri wanita anggun ini.
Biarpun sudah memasuki usia 44 tahun, wajahnya tidak banyak berbeza daripada usia mudanya. Adakah mungkin Jee mengamalkan resipi kecantikan tertentu?
"Saya dahulu memang suka makan masakan pedas, makin banyak cili makin saya suka. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini saya perlu lebih mengawal pemakanan saya.
"Tiada sebarang resipi tertentu pun, paling tidak saya mengambil jamu untuk kesihatan dalaman wanita. Selain itu, suplemen seperti Vitamin C dan zat besi penting untuk saya yang aktif bergerak sana sini.
"Tidak cukup dengan menjaga makan, amalan kesihatan seperti bersenam juga perlu," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai keperluan pembedahan kosmetik.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: