PETALING JAYA: Pengarah drama Shuhaimi Lua Abdullah mengakui menyampaikan cerita-cerita artis yang berlaku di dalam produksi penggambaran melibatkannya atas tujuan mempromosikan karya yang dihasilkan.
Shuhaimi, 39, berkata, walaupun begitu, dia akan meminta kebenaran artis terlibat terlebih dahulu sebelum menyampaikan cerita yang berlaku kepada pihak media.
"Mana-mana produksi pun akan menceritakan apa-apa kejadian yang berlaku di set penggambaran sekiranya terdapat masalah yang ditimbulkan seseorang artis.
"Begitu juga dengan saya yang turut melakukan perkara sama, tetapi ia bukanlah bertujuan mencari kontroversi murah untuk mengaibkan mana-mana artis.
"Sebaliknya saya meminta kebenaran artis tersebut untuk menceritakan kejadian yang berlaku kepada media dan mereka pun faham ia sekadar atas tujuan promosi. Atas persetujuan itu barulah saya akan memaklumkannya kepada media," katanya yang dihubungi mStar Online di sini Selasa.
Shuhami diminta mengulas tuduhan kononnya dia suka menjaja cerita yang berlaku di lokasi penggambaran bertujuan untuk meraih publisiti murahan.
Terdahulu kekecohan berlaku apabila Shuhaimi dikatakan telah menegur cara pelakon Fasha Sandha yang meninggalkan lokasi penggambaran telefilem Baju Raya Yaya selepas wanita itu tidak berpuas hati dengan disiplin bintang baru Amyra Rosli yang sering datang lewat ke set drama berkenaan.
Dalam pada itu tambah Shuhaimi, sebagai pengarah dia sering dihubungi oleh pihak media yang mahukan berita-berita tetapi dia bertindak menapis dahulu segala berita yang ingin disampaikan agar tidak timbul sebarang masalah.
Bagaimanapun, Shuhaimi mengakui, sikapnya yang gemar berkongsi maklumat kepada pihak media sedikit sebanyak telah menjejaskan reputasinya apabila ada di kalangan mereka tidak menghormati ‘perjanjian’ off' dan on record'.
"Apabila ada wartawan yang mahu tahu kejadian sebenar masalah yang timbul di lokasi, saya bercerita secara off record' agar ia lebih mudah untuk wartawan tersebut memahami kejadian yang berlaku.
"Bagaimanapun, apa yang berlaku pula menjadi sebaliknya apabila ada beberapa pihak wartawan mengambil kesempatan menulis apa yang tidak sepatutnya ditulis dan saya kesal dengan sikap sebegitu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Shuhaimi bakal muncul dengan karya arahannya berjudul berjudul Beruk Tok Ayah dan bakal memulakan penggambaran drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna untuk siaran TV3.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: