|
DAHULUNYA, ia merupakan sebuah bangunan biasa di kawasan China Town, Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Kini, ia berubah wajah dengan karya seni mural berwajah ayam jantan yang mengagumkan memenuhi ruang hadapan dindingnya.
Ia merupakan cara tersendiri Nando's Malaysia dalam melancarkan inisiatif seni tahunannya yang memasuki edisi ke-7 baru-baru ini.
Dengan tema Alive, Nando's melantik seorang pelukis grafiti tempatan, Kenji Chai bagi menterjemahkan tema pertandingan tersebut pada tahun ini.
Terjemahan itu memperlihatkan sebuah karya seni istimewa meliputi seluruh bahagian hadapan cawangan restoran Nando’s di China Town.
Mural yang begitu menonjol dari segi visual itu juga merupakan satu mercu tanda baharu dalam Inisiatif Seni Nando’s.
Ini kerana, kategori seni Nando’s telah diperluaskan untuk mencakupi seni digital dan seni jalanan atau grafiti di samping seni halus atas kanvas atau cetakan.
Inisiatif Seni Nando’s kali pertama diperkenalkan pada tahun 2008 iaitu pertandingan Nando’s Peri-fy Your Art dan ia telah menjadi wadah untuk pengungkapan serta pembinaan seni kreatif.
Teruja
Ketua Pegawai Eksekutif Nando’s Chickenland Malaysia Sdn. Bhd., Ian Cruddas berkata, dia sebagai penyokong tegar bidang seni berasa teruja dengan pertandingan yang dilancarkan itu.
Menurutnya, ia bertujuan untuk meraikan rasa dan daya cipta asli selain menyokong pelbagai komuniti dengan membuka peluang untuk bakat muda menyerlahkan potensi seni mereka.
“Sejak dimulakan, inisiatif ini telah menjadi batu loncatan bagi pelukis muda yang bercita-cita untuk menempa nama dalam bidang seni sama ada dalam atau luar negara.
“Pada masa sama, inisiatif ini juga adalah cara kami memupuk bakat seni Malaysia dengan menyediakan wadah untuk mereka mengungkapkan rasa seni dengan bebas,” katanya pada majlis pelancaran.
Cruddas menambah, ungkapan kebebasan dalam kehidupan di Nando's menyebabkan Alive dijadikan tema tepat bagi pertandingan tahun ini.
“Secara tidak langsung, ia akan mengajak pelukis untuk meneroka pengertian melalui perspektif dan pengalaman hidup masing-masing," kata Cruddas.
Disebabkan seni digital dan grafiti semakin popular kebelakangan ini, Nando’s berharap kemasukan dua kategori baharu ini akan menarik lebih banyak penyertaan.
Nando’s juga telah menaikkan syarat umur penyertaan kepada semua warga Malaysia berumur antara 18 hingga 29 tahun.
Hakim
Sementara itu, pertandingan pada tahun ini menampilkan barisan hakim tersohor daripada pelbagai latar belakang iaitu Editor Seni TimeOut KL, Rachel Jena; bekas pemenang pertandingan Nando’s Peri-fy Your Art yang kini pelukis dan pengukir, Ali Bebit serta Ketua Inovasi Kandungan Primeworks Studios, Nini Ramlan.
Turut menjadi juri ialah pelukis grafiti, Bee; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nando’s Malaysia, Mac Chung Lynn dan Cruddas.
Inisiatif Seni Nando’s 2014 telah bermula pada 1 Mac lalu dan akan berakhir pada 30 April.
Pengadilan semua karya adalah berdasarkan keaslian dan daya kreatif, interpretasi tema, kualiti seni reka dan gubahan, penggunaan medium dan kekemasan artistik serta kesan keseluruhan.
Untuk maklumat lanjut mengenai Inisiatif Seni Nando’s, para peserta boleh melayari laman web www.nandos.com.my/artinitiative.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: