• Tengking peminat: Bukan salah suami!
TIMBUL cerita tidak enak mengenai suami pelakon dan penyanyi Betty Banafe, iaitu Bruce Dargus, apabila dikatakan telah memarahi dan menyergah salah seorang peminat yang mendekati mereka di sebuah pusat membeli-belah, di ibu kota, baru-baru ini.

Menyedari perkara itu, Betty, bagaimanapun tampil bersuara bagi mengelakkan salah faham yang berlarutan.

"Ketika kami berjalan-jalan, tiba-tiba datang seorang peminat yang menjerit teruja apabila ternampak kami bersama anak (Julia) dan cuba memegangnya. Bagi saya, itu biasa saja. Iyalah mungkin peminat kami tengok anak kami ni comel sangat. Tapi Bruce, pula terkejut mungkin takut anak kami dicederakan.

"Lepas itu dia menjauhkan anak dan memarahi peminat tu. Dia juga bertanya kepada peminat tu 'Do I know you??'. Mungkin sebab itulah peminat terkejut dan berbangkitlah isu ini. Bagi saya ia tidak ada sebarang masalah. Cuma mungkin Bruce memang tidak biasa dengan keadaan seperti itu. Saya hanya ketawa melihat gelagatnya.

"Bruce yang saya kenal memang sangat pentingkan keselamatan anak kami (Julia Clair Dargus). Di sini, saya tidak boleh menyalahkan peminat mahupun suami saya, kerana perkara itu berlaku secara spontan," katanya.

Lebih bertanggungjawab

Ditanya mengenai kehidupannya sejak bergelar ibu empat bulan lalu, Betty mengakui sangat teruja dan mahu lebih memahami tanggungjawab dan pengorbanan seorang ibu. Melihat anak yang sedang membesar di depan mata, membuatkannya mahu berusaha memberikan yang terbaik.

“Memang seronok jadi ibu. Tapi saya lebih kagum kepada ibu yang mempunyai ramai anak dalam masa yang sama mereka turut bekerja. Bagi saya nak menjaga seorang pun sudah rumit. Tapi Alhamdulillah, Julia seorang anak yang sangat senang diuruskan.

"Dia bukan yang mudah merengek. Itu yang membuatkan saya lebih mudah bergerak dan tak menyukarkan saya untuk membawanya ke tempat kerja.

"Malah, sekarang ini keutamaan saya adalah keluarga dan anak. Mereka yang paling penting dalam hidup saya," katanya yang bakal menjalani penggambaran klip video bagi single keduanya, Naluri, yang juga merupakan tema telemovie Pelesit.