|
SELEPAS empat tahun mendirikan rumah tangga bersama arkitek tersohor, Datuk Raja Bahrin Shah, penyanyi Jazz Noryn Aziz akhirnya mendapat khabar gembira bahawa dia bakal bergelar ibu tidak lama lagi.
Barangkali berdepan dengan kegusaran mengenai risiko hamil pada usia lewat 30-an, Noryn, 37, menjelaskan, dia cuba mengamalkan petua yang diberikan oleh teman-teman rapatnya dalam industri.
Sementelah sedang hamil, Noryn juga memberitahu, dia masih aktif mengadakan persembahan nyanyian dan bakal terbabit menjayakan persembahan Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya(PICC) pada 16 dan 17 April ini.
Ikuti temu bual lanjut bersama Noryn Aziz yang ditemui pada majlis sidang akhbar Minggu Setiausaha PICC di Putrajaya baru-baru ini.
KOSMO!: Empat tahun mendirikan rumah tangga akhirnya impian Noryn untuk bergelar ibu tertunai. Sudikah sekiranya dikongsikan sedikit perasaan gembira anda?
NORYN AZIZ: Alhamdulillah, ini hadiah tahun baru yang paling bermakna buat saya dan suami. Saya mendapat tahu bahawa saya mengandung tepat pada 1 Januari lalu dan setinggi-tinggi syukur saya panjatkan. Usia kandungan saya kini sudah memasuki usia 18 minggu dan saya dijangka bersalin pada bulan September nanti.
Adakah sepanjang tempoh empat tahun itu anda ada merancang untuk hamil?
Ya, kami tidak putus-putus berdoa dan berusaha sejak empat tahun lalu dan pelbagai ikhtiar telah kami lakukan. Memang saya mahukan anak sejak dari awal berkahwin lagi dan pastinya ini impian tertinggi setiap insan yang bergelar wanita. Insya-Allah anugerah ini pelengkap rumah tangga kami.
Bagaimanakah momen pertama mendapat tahu berita kehamilan itu dan apakah reaksi suami anda?
Pada mulanya saya tidak percaya sehingga saya membeli lebih 10 alat penguji kehamilan pelbagai jenama untuk membuat pemeriksaan sendiri. Akhirnya saya bertemu doktor dan mengesahkan berita ini.
Sudah pasti dia (suami) menjadi individu paling gembira dan rasa lega kerana penantian kami selama ini berbaloi.
Apakah usaha yang anda lakukan sepanjang tempoh empat tahun itu?
Paling penting adalah pemeriksaan dalaman diri sendiri. Pada awalnya doktor memaklumkan bahawa saya kurang darah jadi saya melebihkan pengambilan zat besi. Kemudian, saya mengikut nasihat Nurul Depp yang banyak memberikan petua berguna pada awal kehamilan. Dia juga memberi saranan agar saya membuat rawatan akupuntur setiap minggu selama empat bulan tanpa henti.
Bagaimanakah kerisauan anda apabila hamil pada usia lewat 30-an?
Memang gementar tapi Alhamdulillah selepas pemeriksaan, doktor mengesahkan kandungan saya normal. Saya tidak mengalami alahan yang terlalu teruk. Memang pada mulanya saya akan rasa loya-loya apabila terhidu bau masakan. Sampaikan saya langsung tidak boleh memasak pada tiga bulan pertama, itu sebab saya ‘tutup dapur’ sekejap melainkan sarapan ringan untuk suami saja yang saya sediakan.
Adakah anda akan membataskan pergerakan dan mengurangkan aktiviti menyanyi selepas ini?
Sejak hamil saya semakin suka berjalan tapi saya mengurangkan pemakaian kasut tumit tinggi. Saya tetap aktif mengadakan persembahan, malah bulan Mac saja saya sudah membuat tiga persembahan pentas. Insya-Allah pada bulan April saya akan terbabit dengan Minggu Setiausaha Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pula.
Bercakap mengenai persembahan pada Minggu Setiausaha Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, bagaimanakah konsep persembahan anda?
Saya akan berkongsi pentas bersama Kris Dayanti, Afgan dan Awi Rafael pada 16 dan 17 April nanti. Untuk persembahan itu saya akan mendendangkan empat atau lima buah lagu popular saya.
Selain itu, apakah perkembangan terbaharu anda selain aktif dalam bidang nyanyian?
Saya sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dan insya-Allah pada bulan Mei depan saya akan melancarkan produk kecantikan dan kesihatan, Delima Bella.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: