• Motosikal dari bahan terpakai Mat Te menunjukkan motosikal buatan sendiri yang dihasilkannya dan diberi nama 'Mat Tie'.
GUA MUSANG - Ilmu yang diperoleh semasa mengikuti kursus di Pusat Giat Mara Chiku 5, empat tahun lalu tidak disia-siakan seorang peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, dekat sini, apabila berjaya menghasilkan sebuah motosikal buatan sendiri.

Mat Te Mat Sin, 46, berjaya menyiapkan motosikal berkenaan dalam masa hampir sebulan dengan menggunakan pelbagai komponen terbuang di samping membelanjakan RM2,500 untuk membeli alat ganti bersesuaian.

Ketika ditemui di RKT Kesedar, Mat Te berkata, idea untuk menghasilkan motosikal itu timbul apabila dia melihat banyak komponen dibuang begitu sahaja di sekitar tanah rancangan berkenaan lalu berusaha mengumpulnya.

"Saya ingin buktikan ilmu diperoleh daripada kursus di Pusat Giat Mara pada 2010 lalu mampu membawa perubahan diri saya ke arah lebih kreatif dengan menghasilkan sebuah motosikal yang ada nilai kreativiti tersendiri.

"Apa yang saya lakukan ini bukan untuk kebanggaan diri, tetapi lebih kepada ilmu, berikutan pengajian di Pusat Giat Mara boleh dikatakan berada pada tahap membanggakan," katanya.

Menurutnya, hampir keseluruhan rangka motosikal dibuat menggunakan batang paip besi, manakala tangkinya dibuat daripada zink manakala enjin motosikal pula diambil daripada motosikal jenis Honda C70 yang tidak boleh digunakan lagi.

Mat Te mengakui, bukan perkara mudah untuk menghasilkan sebuah motosikal yang lengkap dan sepanjang menyiapkan motosikal tersebut, dia sentiasa memikirkan untuk membuktikan kemampuan dirinya.
"Syukur kepada ALLAH SWT kerana apa yang saya lakukan ini sudah berjaya dan motosikal tersebut adalah untuk kegunaan sendiri di sekitar tanah rancangan ini kerana memang sukar untuk didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mendapatkan cukai jalan.
"Motosikal ini saya namakan 'Mat Tie'. Sekarang, sudah ramai penduduk sekitar tanah rancangan ini telah cuba menunggangnya untuk mengelilingi kampung dan mereka dapati tiada masalah termasuk kerosakan," katanya.