• 105 staf hotel bakal diberhentikan Hotel Quality Shah Alam terpaksa ditutup bermula 1 Jun kerana tidak mahu terus tanggung kerugian.
SHAH ALAM – Selepas kemelut 30 kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Holdings diberhentikan kerja Februari lalu, kali ini 105 kakitangan Hotel Quality Shah Alam, di bawah Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang juga anak syarikat kerajaan negeri bakal menerima nasib sama.

Nasib 105 kakitangan berjawatan tetap itu kini dalam keadaan terumbang-ambing selepas dimaklumkan terpaksa diberhentikan oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) berkuat kuasa 1 Jun ini.

Difahamkan pekerja hotel tersebut terkejut selepas dimaklumkan berita berkenaan dalam sesi taklimat kelmarin.

Tindakan drastik itu dikatakan terpaksa dibuat kerana prestasi kewangan hotel yang sudah beroperasi selama 26 tahun itu terjejas.

Ketua Jabatan Perhubungan Awam, Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat KPS, Amin Lin Abdullah berkata, keputusan untuk menghentikan operasi hotel tersebut dibuat selepas perbincangan tahun lalu.

“Perniagaan perhotelan di sini sememangnya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pelanggan mungkin disebabkan oleh faktor lokasi yang kurang strategik kerana jauh dari Kuala Lumpur.

“Jadi kita akan tutup hotel ini bermula 1 Jun,” katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan mengatakan arahan penutupan tersebut dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas arahan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Amin Lin menafikannya.

Amin Lin menegaskan, keputusan tersebut tiada kena mengena dengan Anwar dan Abdul Khalid kerana ia dibuat berdasarkan perbincangan Pengurusan dan Lembaga Pengarah Perangsang Selangor berpandukan prestasi kewangan hotel yang tidak memberangsangkan.

Menurutnya, hotel itu tidak mampu menanggung kadar sewa baru mengikut kadar pasaran semasa.

Ketika ditanya sama ada bangunan berkenaan akan dijual sebagai aset, Amin Lin berkata, KPS tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjual Plaza Perangsang.

Menurutnya, hotel tujuh tingkat dari tingkat 18 ke 24 itu akan dibangunkan semula sebagai ruang pejabat.

Berkenaan nasib 105 kakitangan hotel, Amin Lin berkata, kesemua yang dihentikan itu akan menerima pampasan bernilai lebih RM5 juta.

Menurutnya, pihaknya cuba sedaya upaya membantu mereka dengan menyerapkan mana-mana kakitangan ke bahagian di dalam KPS.

“Selain pampasan RM5 juta, kita sediakan bantuan seperti nasihat temu duga, nasihat mencari pekerjaan, khidmat kaunseling, penggunaan komputer dan mesin fotostat untuk surat permohonan pekerjaan, mengeluarkan testimoni dan penawaran peluang keusahawanan," katanya.