Thursday, February 6, 2014

Usaha N:Sonic melakar nama



GENRE K-Pop sememangnya digilai oleh pendengar muzik di seluruh dunia, terutamanya dari negara-negara di rantau Asia.
Gerak tari dan kelincahan setiap ahli kumpulan yang terdiri daripada lelaki-lelaki muda ketika melakukan persembahan begitu memukau para peminat yang menonton.
Ditambah dengan raut wajah yang tampan dan polos, sesiapa sahaja mampu tertawan dengan penampilan mereka.
Bagaimanapun, tidak semua kumpulan K-Pop mampu mendominasi pasaran muzik antarabangsa.
Mungkin dengan lambakan muzik yang mempromosikan imej serta gaya persembahan yang agak serupa, ada dalam kalangan kumpulan-kumpulan ini tidak mampu untuk berdiri sama tinggi dengan kumpulan K-Pop yang lain.
Begitulah situasi yang boleh digambarkan oleh kumpulan N:Sonic, sebuah kumpulan yang berasal dari Korea Selatan yang memulakan langkah mengejar populariti dalam dunia hiburan sejak tahun 2011 menerusi lagu We Are Superboys.
Malangnya, kumpulan ini dilihat seperti lesu tanpa sebarang sambutan mahupun promosi.
Lebih mengecewakan apabila tiga ahli kumpulan yang asal, Eunho, Jonguk dan Yunjun membuat keputusan untuk keluar daripada kumpulan itu dan membawa haluan masing-masing.
Berkat kemasukan empat orang ahli baharu, bintang kumpulan itu yang kini dianggotai oleh J-Heart, Black J, Choi Byul, Zion, Sihoo dan Minkee kembali bersinar apabila dapat meluaskan sayap ke Malaysia, khususnya apabila diberi peluang untuk membuat kemunculan istimewa melalui filem Ah Beng: Mission Impossible.
Berpeluang menemu bual enam anak muda itu di Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka jelas teruja dengan kolaborasi yang terjalin antara syarikat pengurusan N: Sonic di Korea, Leon Entertainment dengan pengarah filem tersebut, Silver Chung.

AKSI lincah N:Sonic ketika mengadakan persembahan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Bukan bintang terkenal
"Kami sangat berbangga kerana diberi peluang untuk membuat kemuncuan istimewa menerusi Ah Beng: Mission Impossible.
"Walaupun ia hanyalah kemunculan untuk babak yang kecil sahaja, namun kami berbesar hati kerana diberi peluang untuk bekerja dengan produksi filem Malaysia.
"Tambahan pula, watak yang kami lakonkan adalah sebagai sebuah kumpulan paling popular di Korea. Jadi, walaupun tidak sepopular mana, peranan itu sudah mencukupi buat kami berenam," kata J-Heart atau nama sebenarnya, Kwon Jae Hwan yang bertindak sebagai ketua kumpulan mewakili ahli-ahli yang lain.
Walaupun mengakui bahawa mereka tidaklah setanding dengan kumpulan-kumpulan K-Pop lain yang telah membina nama di persada antarabangsa, namun peluang yang diberikan untuk berlakon bersama Jack Lim yang memegang watak Ah Beng serta Jeff Chin merupakan suatu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan.
"Sewaktu menerima tawaran untuk berlakon dengan produksi di Malaysia, kami berasa sungguh teruja. Lebih-lebih lagi apabila dapat berlakon bersama Jack Lim dan Jeff Chin.
"Kedua-dua mereka sungguh baik dan tidak sombong. Kami sungguh gembira kerana dapat berlakon dengan dua pelakon yang terkenal itu," ujarnya.
Tambah J-Heart, selain dapat berlakon dengan pelakon-pelakon yang hebat, peluang bekerja dengan pengarah Silver Chung merupakan salah satu pengalaman yang tidak mungkin mereka lupakan sepanjang bergelar bintang.
"Silver merupakan salah seorang pengarah yang terkenal di Malaysia. Kami berasa sungguh berbesar hati kerana dapat bekerja bawah arahannya. Mungkin suatu hari nanti, kami dapat bekerja dengannya lagi," kata Silver yang berharap dapat kembali ke Malaysia dan berlakon jika diberikan peluang.
Berbahagi minat
Walaupun pada asalnya mereka mula menempa nama sebagai penyanyi berkumpulan, minat yang mendalam terhadap dunia lakonan sedikit sebanyak mempengaruhi mereka untuk mencuba sesuatu di luar ruang selesa pada masa hadapan.
Melanjutkan perbualan pada sesi temu bual yang diadakan pada petang Jumaat itu, Minkee atau nama sebenarnya, Jun Min Ki jelas begitu tertarik dengan dunia lakonan.
Katanya, selain menyanyi dan menghiburkan peminat dengan suara dan kelincahannya menari di atas pentas, dia juga ingin menceburi bidang lakonan lebih-lebih lagi selepas terlibat dengan Ah Beng: Mission Impossible.

N:SONIC pernah hampir berkubur apabila tiga anggota asalnya bertindak keluar daripada kumpulan ini, namun ia kembali utuh dengan kemasukan empat anggota baharu.


"Saya teringin untuk berlakon sekali lagi kerana dalam filem itu, saya tidak diberi kesempatan untuk berdialog dengan banyak. Justeru, jika diberi peluang pada masa akan datang untuk berlakon filem, pasti saya akan mencuba lagi," katanya.
Berkongsi perancangan lain, Minkee berkata, dia dan Sinhoo bekerjasama dalam sebuah sitkom yang telah memulakan penggambaran pada Januari lalu.
"Saya dan Sinhoo akan berlakon dalam sebuah sitkom yang akan disiarkan di Korea Selatan. Ini merupakan kali kedua saya beraksi di hadapan kamera.
"Bezanya, pada kali ini, saya dan Sinhoo perlu berlakon watak komedi yang lari daripada watak yang kami pegang dalam filem pertama ini," katanya lagi.
Suka Malaysia
Ketika membuat kemunculan istimewa menerusi Ah Beng: Mission Impossible, keenam-enam mereka tidak menjalani penggambaran di Malaysia.
Sebaliknya, kru filem tersebut termasuk para pelakon dan pengarah terbang ke Korea Selatan bagi meneruskan penggambaran di sana.
Justeru, kali pertama N:Sonic menjejakkan kaki ke Malaysia ialah sewaktu produksi filem tersebut mengadakan malam gala tayangan perdana Ah Beng: Mission Impossible di Pavilion, Kuala Lumpur, sehari sebelum temu bual ini berlangsung.
Sewaktu ditanya mengenai Malaysia, J-Heart memberitahu, mereka begitu teruja dengan sambutan menggalakkan yang diterima daripada peminat di sini.
Selain keramahan dan kesudian peminat menerima muzik mereka, keadaan Malaysia yang aman damai juga turut menarik perhatian enam anggota kumpulan itu.
"Sebaik sahaja tiba di sini untuk mengadakan persembahan, kami berasa sungguh terkejut dengan sambutan yang diterima. Peminat di sini sungguh peramah dan bertenaga. Suasana di Kuala Lumpur juga sungguh tenang dan selesa.
"Saat paling mengujakan apabila kami mengadakan persembahan sebelum malam gala tayangan Ah Beng: Mission Impossible. Peminat yang hadir memberikan sokongan yang begitu padu," jelasnya.
J-Heart turut berkongsi, mereka akan muncul dengan album baharu pada musim bunga akan datang serta merancang untuk datang semula ke Malaysia bagi bertemu dengan para peminat.
"Memandangkan kami begitu diterima di sini, kami berharap dapat berkunjung ke Malaysia sebaik sahaja album terbaharu kami dilancarkan pada pertengahan tahun ini," jelasnya mengakhiri perbualan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: