FILEM bikin semula merupakan salah satu medium bagi penerbit dan pengarah dalam memberikan nafas baharu terhadap karya yang dahulunya pernah menjadi kegilaan ramai. Filem-filem seperti ini biasanya diadun semula supaya selari dengan peredaran waktu dan setanding dengan teknologi yang sering digunakan masa kini.
Bagi filem RoboCop yang baru sahaja menemui penonton minggu lalu, versi bikin semula ini dilihat berjaya dari segi teknikal dan pengolahan watak.
Paling ketara ialah sut besi yang dikenakan oleh Alex Murphy lakonan Joel Kinnaman. Ia ditampilkan dalam dua warna iaitu kelabu dan hitam. Ini sedikit sebanyak mampu memberikannya kelainan berbanding dua filem RoboCop yang dahulu.
Selain itu, kesan imej janaan komputer (CGI) yang disuntik dalam babak pergaduhan pada pengakhiran cerita langsung tidak mencacatkan konsep robotik yang ingin diketengahkan dalam filem ini.
Watak Alex dikembangkan dengan jayanya oleh pengarah José Padilha melalui mainan emosi yang dijalinkan antara anak dan isterinya sebelum dia berubah sepenuhnya menjadi robot.
Memori dan ingatan yang ada pada Alex turut tidak pernah padam walau- pun tubuh badannya tidak beroperasi secara normal.
Dalam pada itu, José bijak mengimbangi kesinambungan watak Alex apabila cita-citanya untuk memburu penjenayah yang cuba membunuhnya sebelum ini tercapai apabila dia berjaya merungkai masalah tersebut yang didalangi oleh orang kuat tempat dia bekerja.
Dari segi penceritaan dan plot, kelancaran filem ini sedikit terganggu apabila Pat Novak lakonan Samuel L. Jack- son sering muncul membuat ulasan mengenai kepolisan robot menerusi ranca- ngan kendaliannya berjudul The Novak Elemen. Banyak babak penting kelihatan terpotong dan tergantung akibat babak selingan Pat.
Babak paling meninggalkan kesan adalah sewaktu Alex kembali ke rumah untuk bertemu dengan isteri dan anaknya selepas tiga bulan ‘dirawat’ di China. Ketika itu, dia masih mengingati aktiviti yang dilakukan bersama anaknya walaupun dia bukanlah dirinya yang sebenar.
Melalui babak itu, kesan emosi yang terjalin antara robot dan manusia yang cuba diketengahkan oleh pengarah sampai kepada para penonton.
Sedikit mengecewakan apabila klimaks bagi filem ini tidak meninggalkan kesan kepada penonton. Mungkin ada beberapa babak yang boleh dikategorikan sebagai babak penting tetapi cara penyampaian yang kurang rencah menyebabkan babak tersebut dipandang sepi walaupun selepas tamat menonton filem ini.
Namun, pujian harus diberikan kepada Michael Keaton yang memegang watak Raymond Sellars. Pelakon yang pernah menjayakan watak Batman ini ternyata mampu membawakan karakter antogonis dengan baik.
RoboCop mengisahkan seorang detektif, Alex Murphy yang mengalami kecederaan serius apabila seluruh tubuhnya melecur teruk akibat letupan bom yang dipasang pada keretanya.
Kejadian itu berlaku kerana dia cuba menyelesaikan jenayah yang melibatkan penyeludupan senjata api yang berlaku di balai polis tempatnya bertugas.
Pada masa sama, sebuah syarikat yang mengendalikan rekaan robot, Omni Foundation berhasrat untuk menghasilkan jentera kepolisan yang berasaskan robot.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: