- Sebahagian pengawal keselamatan berhimpun secara aman bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap majikan mereka.
Segalanya bermula kira-kira enam bulan lalu apabila kontrak untuk pengawal keselamatan telah bertukar tangan kepada syarikat baharu yang berpangkalan di Sabah dan turut mempunyai pejabat cawangan di negeri ini.
Kesemua pengawal keselamatan yang berkhidmat di 13 sekolah yang dinaungi syarikat berkenaan bukan sahaja lewat mendapat gaji, malah bayaran turut dilakukan secara beransur-ansur.
Wakil pengawal keselamatan berkenaan, Muhammad Radzi Ibrahim berkata, mereka pernah meminta penjelasan daripada pihak majikan tetapi tidak diendahkan dan tiada sebarang tindakan diambil.
“Kami akui syarikat baru yang mengambil alih (majikan sekarang) menawarkan gaji lebih sedikit berbanding syarikat sebelum ini, namun apa yang menjadi masalah sekarang adalah gaji yang diterima setiap bulan adalah lewat sehingga telah masuk bulan baru..gaji bulan lepas baru dibayar.
“Keadaan ini sememangnya memberi tekanan kepada kami yang mempunyai tanggungan besar, di mana belanja anak sekolah, keperluan rumah dan sebagainya hingga ada antara kami yang terpaksa meminjam duit dengan orang lain,” katanya.
Menurut Muhammad Radzi, apa yang sedang dilalui mereka kini terlalu berat.
“Belum lagi masuk soal gaji pokok yang tidak dibayar mengikut pelaksanaan gaji minimum RM900, sebaliknya kami dibayar mengikut berapa jam bekerja.
“Jadi, kami harap agar pihak yang berkenaan termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu menjadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah kami dengan syarikat kawalan keselamatan,” katanya.
Katanya lagi, sebelum ini, pihak sekolah pernah mengajukan permasalahan berkait bayaran gaji kepada syarikat kawalan yang terbabit, namun jawapan diterima amat mendukacitakan.
“Kita juga ingin berterima kasih kepada pihak sekolah yang banyak membantu dengan menghubungi syarikat kawalan keselamatan bertanyakan bayaran gaji kami, namun pihak sana (syarikat kawalan keselamatan) hanya memaklumkan akan membuat bayaran dalam masa terdekat, namun setiap kali itu jugalah mereka gagal menepati syarat perjanjian asal.
“Mengikut surat tawaran pekerjaan yang diterima sebelum ini, syarikat berjanji untuk membayar gaji pada 7 hari bulan untuk setiap bulan, namun ternyata sekadar janji manis semata-mata,” katanya.
Muhammad Radzi berkata, ketiadaan persatuan atau organisasi khusus untuk membela nasib mereka jika berlaku perkara yang tidak diingini termasuk penindasan oleh majikan sememangnya amat mendukacitakan.
“Kami terpaksa ambil tindakan sendiri dengan membuat aduan di Pejabat Buruh atau Biro Pengaduan Awam dengan harapan masalah yang dihadapi ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: