• Didakwa pukul, rantai leher isteriSuspek (tengah) keluar dari mahkamah selepas dikenakan reman, semalam.

KOTA BHARU - Seorang lelaki berusia 26 tahun dikenakan perintah reman tiga hari oleh mahkamah majistret di sini, semalam, bagi membantu siasatan kes memukul dan merantai leher isteri, bulan lalu.

Perintah dikeluarkan Timbalan Pendaftar, Amni Mat Jahari terhadap suspek berkuat kuasa semalam dan berakhir 19 Februari ini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azham Othman yang dihubungi semalam, mengesahkan perkara itu.

“Suspek yang juga suami mangsa ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan suspek yang diburu lebih dua minggu, ditahan sepasukan polis di sebuah rumah kosong di kawasan belukar berhampiran Kampung Tembisu, Pasir Tumboh, di sini, jam 5.30 pagi, kelmarin.

Dia kemudian dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Dalam kejadian di Kampung Temusu, Limbat, di sini, suspek bertindak kejam terhadap isterinya berusia 21 tahun selepas dikatakan tidak diberi wang seperti diminta. Kejadian berlaku pada jam 7 malam, 30 Januari lalu.

Mangsa yang baru habis berpantang kerana melahirkan anak kedua mengalami kecederaan di kepala, leher serta lebam di bahagian badan dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.