Monday, February 10, 2014

#tag sedia bersaing

#TAG terdiri daripada Hez Hazmi (kanan) dan Akira Shukri.


SEIRING dengan perkembangan teknologi yang berlaku sekarang ini, ternyata semakin ramai penyanyi baharu yang muncul apabila bakat mereka dikenal pasti menerusi laman web YouTube.
Selepas kemunculan penyanyi seperti Yuna, Najwa Latif dan Ainan Tasneem, kini kumpulan duo yang dikenali sebagai #tag mula dikenali ramai menerusi single sulung mereka berjudul My Crush.
Dianggotai oleh dua orang anak muda yang cukup berbakat dalam bidang muzik, Muhammad Hazmi Nadzim Hamdan, 22, dan Ahmad Shukri Zakaria, 22, ternyata #tag cukup bertuah apabila berpeluang bernaung bawah KRU Music.
Menceritakan tentang gandingan yang dibentuk itu, Hazmi atau mahu dikenali sebagai Hez Hazmi berkata, semuanya bermula apabila dia dan Shukri dilamar oleh KRU Music untuk menjalani uji bakat pada bulan November tahun lalu.
“Kami berdua sudah berkawan cukup lama dan bersekolah di tempat yang sama iaitu SK Taman Rakan, Kajang. Kemudian ketika sekolah menengah, kami terpisah apabila saya bersekolah di SMK Bandar Baru Sg. Long dan Shukri pula di SMK Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang.
“Biarpun belajar di sekolah berlainan kami terus berkawan dan mempunyai minat yang sama iaitu gemar mencipta dan merakamkan lagu yang dihasilkan sendiri dan dimuat naik ke laman YouTube,” ujarnya ketika ditemui semasa sesi fotografi bersama Kosmo!.
Jelas Hez, sambutan yang diterima terhadap lagu-lagu nyanyian mereka di YouTube mendapat sambutan cukup baik sehingga mereka dihubungi pihak KRU Music untuk menjalani uji bakat.
Menyangkakan pada mulanya uji bakat tersebut bertujuan mencari penyanyi solo memandangkan mereka datang pada hari yang berlainan, akhirnya timbul idea untuk membentuk kumpulan duo.
“Sebenarnya Edry Abdul Halim merupakan individu yang memberi idea untuk membentuk #tag ini setelah melihat penampilan kami menerusi lagu My Crush di YouTube.
“Lagipun kami merasakan ia adalah suatu langkah yang baik memandangkan kami sudah lama berkawan dan pastinya tidak sukar untuk mencari keserasian bersama apabila digandingkan,” jelasnya.
Ketika ditanya tentang persediaan mereka untuk memberi persaingan kepada penyanyi sedia ada, Hez menyatakan, dia yakin peminat akan menerima kehadiran mereka berdasarkan kelainan yang ditampilkan.
Meskipun mereka merupakan artis yang baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia nyanyian tempatan tetapi kemampuan mencipta lagu dan lirik sendiri adalah suatu kelebihan yang dimiliki.
“Kami sedar semakin ramai penyanyi baharu yang muncul, terutamanya menerusi program realiti televisyen. Namun begitu, tidak ramai kumpulan duo yang muncul dan kami sedia bersaing secara sihat serta berharap kehadiran #tag dapat diterima ramai,” ujarnya.
Mengenai pemilihan nama #tag pula, ia diputuskan oleh pihak KRU Music memandangkan ia merupakan perkataan yang cukup sinonim dalam kalangan generasi sekarang yang aktif menggunakan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.
Pengalaman sendiri
Sebagai pendatang baharu, #tag yang ditubuhkan kira-kira tiga bulan lalu telah mempertaruhkan single terbaharu mereka berjudul My Crush yang dihasilkan mereka berdua yang kini diberi nafas baharu, terutamanya susunan muzik yang lebih segar.
Seorang lagi anggota #tag iaitu Shukri atau Akira Shukri berkata, single tersebut yang dihasilkan pada bulan Ogos 2012 agak unik dan mengambil masa selama sebulan sebelum dimuat naik di YouTube sehinggalah disaksikan lebih 100,000 orang.
“Lagu itu dihasilkan ketika saya menjadi pelajar Diploma Seni Lakon Dan Teater di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. Saya mengambil masa selama sehari untuk menyiapkan melodi lagu tersebut.
“Kemudian melodi lagu yang telah siap saya hantar kepada Hez menerusi aplikasi WhatsApp memandangkan ia langkah paling mudah memandangkan kami berjauhan. Selepas itu, barulah Hez menghasilkan pula lirik untuk lagu berkenaan sehinggalah terciptanya My Crush.
Sementara itu, Hez yang memiliki Diploma Sains dari UiTM Arau, Perlis memberitahu bahawa lirik lagu yang dihasilkannya itu merupakan pengalaman sendiri yang pernah dilaluinya.
“Lagu My Crush mengisahkan tentang seorang lelaki yang memendam perasaan terhadap seorang gadis. Bagaimanapun, dia takut untuk meluahkan isi hati dan gadis berkenaan juga tidak tahu lelaki berkenaan meminatinya. Saya akui pernah berhadapan dengan situasi tersebut sebelum ini,” luahnya.
Biarpun selesa menyanyikan lagu-lagu yang dicipta sendiri tetapi Hez menjelas, kan, #tag tidak keberatan menyanyikan lagu hasil ciptaan komposer lain dan ia bergantung kepada perancangan KRU Music.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: