|
SAINGAN separuh akhir Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) yang berlangsung baru-baru ini telah mencetuskan kontroversi membabitkan pelawak Nabil Ahmad yang membuat lawak tentang aktres terkenal Indonesia, Luna Maya yang juga merupakan salah seorang juri tetap program tersebut.
Akibatnya, Nabil telah dikecam hebat lantaran oleh para peminat yang tidak berpuas hati kerana lawak ditampilkan seperti membangkitkan kisah peribadi Luna.
Pada final MLM 2013 yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor minggu lalu, Kosmo! cuba mendapatkan komen Luna berhubung isu berkenaan.
Malah, sebelum meminta kebenaran untuk membuat temu bual dengannya secara eksklusif, Luna seperti agak keberatan dan seolah-olah sudah dapat mengagak soalan yang akan ditujukan kepadanya.
Bagaimanapun, pelakon itu yang pada mulanya kelihatan agak ceria ketika ditanya tentang pembabitannya bersama MLM 2013 selama 13 minggu, kemudian dilihat seperti mahu mengelak apabila ditanya tentang kontroversi yang timbul itu.
Kosmo!: Bagaimanakah anda melihat perjalanan rancangan MLM 2013 sepanjang 13 minggu?
LUNA: Ia merupakan suatu pengalaman yang sangat menyeronokkan dan agak terharu kerana menjadi pilihan untuk menjadi salah seorang juri dalam rancangan ini.
Sepanjang 13 minggu saya menjadi juri, saya melihat komedi yang ditampilkan oleh para peserta cukup menghiburkan. Selain itu, dengan sambutan peminat yang amat meriah, itu yang membuatkan saya cukup teruja.
|
Adakah anda pernah menjadi juri untuk pertandingan komedi sebegini di Indonesia sebelum ini?
Saya pernah dilantik sebagai juri, cuma tidaklah membabitkan tempoh yang amat panjang. Biasanya saya menjadi juri untuk satu atau dua minggu sahaja berbanding 13 minggu bersama MLM 2013.
Adakah anda mengalami kesukaran sepanjang menjadi juri MLM 2013?
Pada mulanya, saya berhadapan dengan sedikit kesukaran, terutamanya dari segi bahasa untuk saya memahami lawak yang dipersembahkan. Namun begitu, lama-kelamaan kesukaran itu sudah dapat diatasi sehingga membuatkan saya terhibur dengan persembahan para peserta.
Memandangkan nama anda semakin dikenali di Malaysia, adakah anda bersedia menerima sebarang tawaran berlakon di negara ini?
Tidak dinafikan MLM 2013 telah menjadi platform untuk saya lebih dikenali ramai di Malaysia. Cuma saya masih belum bersedia lagi melebarkan sayap lakonan di negara ini.
Namun, sekiranya ada tawaran yang menarik dan sesuai saya bersedia mempertimbangkannya.
Berhubung kontroversi membabitkan lawak yang dipersembahkan oleh Nabil membabitkan diri anda baru-baru ini, boleh berikan sedikit komen mengenai perkara tersebut?
Saya rasa tidak perlu untuk menjawab soalan ini.
Adakah anda tahu tentang segelintir peminat yang telah menghentam Nabil?
No komen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: